Hiburan

Lucu tapi kesian. Dah 6 kali rakam tapi bunyi cicak ganggu jurubahasa isyarat

SITUASI pandemik Covid-19 yang masih belum reda menyebabkan kita semua perlu menyesuaikan diri dengan norma baharu.

Hampir segala aktiviti perlu dilakukan secara dalam talian (online) kerana ketika ini rakyat dinasihatkan untuk bekerja dari rumah.

Sudah tentunya situasi ini mempunyai pelbagai cabaran yang tersendiri, sama ada dari sudut rangkaian internet, kelengkapan, situasi sekeliling dan sebagainya.

Baru-baru ini tular satu video di mana seorang pensyarah mengalami ‘gangguan’ ketika sedang membuat rakaman sebagai seorang jurubahasa isyarat.

Menerusi perkongsian seorang pelayar, Muhammad Azhari Hafiz Kamal Ariffin di Twitter, dia berkongsi detik lucu yang berlaku ketika ibunya sedang tekun beraksi di hadapan kamera.

Menerusi video berdurasi 45 saat itu, kedengaran bunyi cicak beberapa saat selepas rakaman berjalan, sebelum secara tiba-tiba kain yang dijadikan latar belakang pula terjatuh.

Perkongsian Azhari mengenai gelagat ibunya menjadi tular di Twitter.

“Alahai comel jer my mum nak record video tetiba background tercabut,” tulisnya pada perkongsian video berkenaan yang sehingga kini meraih hampir 11,000 retweet.

Insiden tersebut membuatkan netizen terhibur namun tidak kurang juga ada yang bersimpati dengan ibu pemuda berkenaan yang kelihatan seolah-olah kepenatan.

Menurut pemuda berkenaan dan juga adiknya, Nurul Aiman Izzati yang berkongsi cerita dengan mStar, insiden lucu yang berlaku beberapa hari lalu itu adalah sewaktu ibu mereka, Azlina Mohamed Isa merakamkan video untuk segmen berita Radio Televisyen Malaysia (RTM).

“Rakaman dijalankan waktu petang. Sebenarnya sepanjang hari tu ibu ada urusan, jadi berkesempatan rakam video waktu petang tu saja.

Antara komen netizen yang kagum dengan kesungguhan ibu Azhari meskipun kepenatan.

“Kami tolong ibu masa proses rakaman termasuk suntingan kain ‘green screen’ yang dijadikan latar belakang. Masa tu kalau tak silap dah kali keenam rakaman. Sebab tu ibu nampak kecewa sikit.

“Sebelum tu bunyi motorlah, ada tak jadilah… kali keenam tu background pula yang tercabut. Kami tergelak secara spontan bila tengok background terjatuh sebelum betulkan semula,” katanya.

Menurut Azhari, dia yang bertujuan untuk berkongsi video lucu bersama rakan-rakan pengikutnya di Twitter sama sekali tidak menyangka ia menjadi tular.

Ada yang komen adik saya tak patut ketawa seoalah-olah tak hormat ibu. Sebenarnya, ibu tahan ketawa… disebabkan penat, dia tak jadi nak ketawa.

Gembira dengan respon positif netizen yang rata-ratanya terhibur dengan gelagat ibu mereka, Azhari dalam pada itu tidak menafikan ada juga netizen yang beranggapan mereka tidak sepatutnya ketawa ketika itu.

“Iya, ada yang komen lucu tapi kesian. Ada yang komen adik saya tak patut ketawa seoalah-olah tak hormat ibu. Sebenarnya, ibu tahan ketawa… disebabkan penat, dia tak jadi nak ketawa. Sebenarnya benda macam tu normal sahaja dalam keluarga kami.

“Bila video ni viral, ibu terkejut dan malu-malu juga sebab ada rakan staf yang Whatsapp,” ujar pemuda ini.

Bercerita serba sedikit perihal ibunya, Azhari berkata wanita itu merupakan pensyarah di sebuah Insitusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTA) dan juga jurubahasa isyarat untuk stesen televisyen.

Ibu Azhari dan Izzati merupakan seorang jurubahasa dan juga pensyarah.

“Ibu memang seorang yang komited. Sekarang ni bila kena bekerja dari rumah, sebelum mulakan pengajaran secara online, dia akan pastikan dah buat persediaan lebih awal. Waktu malam tu dia sedia dah dengan bahan-bahan.

“Biasalah, peringkat usia macam ibu, pasti agak sukar sikit nak biasakan dengan segala macam teknologi. Kami adik beradik yang akan bantu ibu kalau bab-bab ni.

“Nampak ibu struggle nak berikan yang terbaik untuk pelajarnya. Jadi baik tenaga pengajar dan juga pelajar, harus sama-sama ada toleransi antara satu sama lain,” katanya lagi.

Bahan pengajaran efektif pastikan keberkesanan PdPR

Sesi persekolahan 2021 dibuka secara rasminya, kelmarin. Bagaimanapun, peningkatan kes COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) merencatkan keterujaan khususnya murid.

Namun, gelagat hari pertama persekolahan dijalankan secara dalam talian mencuri tumpuan masyarakat. Pelbagai reaksi dirakam dengan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian.

Guru, pelajar mahupun ibu bapa menghadapi cabaran baharu dalam melaksanakan sesi PdPR secara dalam talian ini, tetapi apakah sistem pendidikan tanah air sudah bersedia?

Isu capaian internet, kesediaan pelajar dan persediaan guru, kemampuan B40 serta M40, pembabitan ibu bapa antara persoalan asas perlu dijawab bagi memastikan kejayaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam talian ini.

Sebenarnya, isu ini sudah lama dibangkitkan. Michael Fullan dalam buku The New Meaning of Educational Change menyatakan perlunya tindakan penyesuaian dalam sistem pendidikan apabila berlaku bencana atau wabak.

Kini, keadaan semasa ‘memaksa’ semua guru bertindak lebih responsif. Pelbagai kaedah dan platform diguna pakai bagi proses PdPR, termasuk realiti visual dan realiti terimbuh (AR) yang membolehkannya secara interaktif selari kaedah PdP abad ke-21.

PdPR memberikan tanggungjawab baharu dalam membuat persediaan sesi pembelajaran kepada guru termasuk mereka yang mengajar beberapa mata pelajaran dan peringkat kelas berbeza.

Ia pasti memberikan kesan terhadap tanggungjawab guru dalam mendidik dan melahirkan modal insan selari hasrat Kementerian Pendidikan (KPM) mendokong agenda Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030.

Golongan ini tidak wajar dipersalahkan kerana bebanan masa dalam menyediakan bahan PdPR. Justeru, KPM perlu memikirkan penyelesaian terbaik dalam konteks PdPR dalam talian ini.

Diakui KPM banyak melaksanakan pelbagai inisiatif terutama pembelajaran dalam talian bagi meletakkan sistem pendidikan negara setanding negara maju seperti diakui Pengerusi Persatuan Teknologi Pendidikan Malaysia (PTPM), Prof Madya Dr Mahizer Hamzah.

Ini diterjemahkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 dengan menjadikan kesamarataan akses pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa serta memanfaatkan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).

Bagaimanapun, kurikulum dibina harus disesuaikan dengan pembelajaran dalam talian, termasuk berpusatkan murid dengan mengambil kira kandungan pelajaran, pendekatan pembelajaran dan kaedah penilaian berbeza. Pelan tindakan perlu diambil segera melihat kepada situasi semasa apabila gelombang COVID-19 sukar diramal bilakah akan berakhir.

Bagi memberi fokus kepada guru dalam melahirkan kemenjadian pelajar, KPM perlu memikirkan modus operandi terbaik. Penghasilan pembangunan bahan pengajaran perlu dilakukan segera bagi membantu proses PdPR.

Antara cara meringankan beban guru adalah menyediakan bahan pengajaran efektif dengan merakam sesi pengajaran dijalankan guru berpengalaman dan cemerlang merangkumi setiap bab dalam mata pelajaran, manakala rakaman itu boleh diedarkan kepada sekolah atau diletakkan di media sosial KPM sendiri.

Dengan cara ini, tugas guru lebih tertumpu kepada membimbing pelajar dan mampu memberi perhatian dalam proses membentuk kemenjadian murid.

Bagi menyelesaikan masalah capaian internet di pedalaman atau keluarga kurang berkemampuan untuk memiliki komputer riba dan telefon pintar, KPM perlu merancakkan semula TV Pendidikan dan bekerjasama dengan penyiaran swasta untuk menyiarkan rakaman setiap mata pelajaran yang boleh diulang siar 24 jam.

Apa yang penting, pelan tindakan bersepadu perlu dibuat KPM bagi menyelaraskan PdPR dalam talian bagi pendidikan di negara ini.

Pastinya semua pihak mencari cara terbaik menghadapi isu PdPR. Tidak wajar kita membandingkan PdPR dalam talian ini dengan PdP secara bersemuka.

Kesan PdP di kelas melalui proses sangat matang jika hendak dibandingkan kesan PdPR dalam talian yang umurnya baru setahun jagung.

Perubahan dalam sistem pendidikan menjadi ujian kepada keberkesanan teori connectivism yang dikatakan sebagai teori pembelajaran era digital, keupayaan pendidik dan pelajar dalam pelaksanaan PdP melalui amalan sibergogi.

Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan dijalankan Februari ini boleh dijadikan penanda aras menguji keberkesanan teori connectivism terbabit.

Dr Fahmi Abdul Rahim

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *