Uncategorized

Selepas Kerajaan Benar Aktiviti Sukan, Rekreasi, Ini Yang Berlaku Di Kelab Golf

Kuala Lumpur: Aktiviti sukan dan rekreasi tanpa membabitkan sentuhan seperti joging, brisk walking, berbasikal, tenis, badminton, ping pong, permotoran, latihan kemahiran kendiri secara berseorangan, gimnasium dan golf dibenarkan bermula esok.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengemukakan permohonan untuk membenarkan beberapa lagi aktiviti sukan khususnya yang bersifat individu serta tanpa sentuhan bagi tujuan kecergasan diri, penjagaan kesihatan individu dan peningkatan kemahiran kendiri serta kelangsungan industri sukan negara.

Menurutnya, setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN), kerajaan bersetuju untuk membenarkan aktiviti sukan joging/ brisk walking, berbasikal dan senaman yang terhad kepada dua orang dan dilakukan dalam kawasan kejiranan sahaja.

“Sukan tenis, badminton, ping pong pula hanya membabitkan acara perseorangan sahaja dan sukan permotoran (dua roda dan empat roda).

“Aktiviti sukan seperti bola sepak, bola keranjang, hoki, dan sepak takraw boleh dilakukan secara latihan kemahiran kendiri (tanpa aktiviti bersentuhan), ” katanya pada sidang media MKN, di sini, hari ini.

SUKAN tenis turut dibenarkan
Ismail Sabri berkata, penggunaan fasiliti sukan dan rekreasi komersial seperti pusat kecergasan, gimnasium, dewan badminton, gelanggang tenis, ping pong, sepak takraw, padang hoki, bola sepak, futsal, bola keranjang, pusat litar permotoran dan padang golf hendaklah secara penjadualan dan tempahan,” katanya.

”Sehingga kini semua jenis sukan dan aktiviti rekreasi yang membabitkan sentuhan, masih lagi tidak dibenarkan.

“Prosedur operasi standard (SOP) terperinci boleh dirujuk di laman sesawang KBS dan MKN. Pematuhan SOP turut akan dipantau oleh pasukan sukarelawan yang ditubuhkan atas inisiatif KBS iaitu Rakan Muda Sports Bubble Volunteers,” katanya.

Kelab golf penuh sampai minggu depan

Kuala Lumpur: Kebenaran beberapa aktiviti sukan boleh dilaksanakan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dimanfaat sepenuhnya masyarakat sempena cuti umum Tahun Baharu Cina, hari ini.

Golf, gimnasium, memancing dan berbasikal antara aktiviti sukan sudah dibenarkan kerajaan, mulai hari ini.

Beberapa kelab golf di Lembah Klang memaklumkan tempahan sehingga minggu depan sudah penuh.

Menurut kakitangan kelab golf berkenaan, tempahan mula penuh sebaik pengumuman dibuat kerajaan, petang semalam.

“Kami perlu mengehadkan pemain bagi setiap slot kerana jumlah buggy terhad memandangkan prosedur operasi standard (SOP) kerajaan hanya seorang pemain untuk setiap buggy.

“Malah slot perlawanan sudah penuh sehingga minggu depan,” katanya, hari ini.

AKSI pemain golf yang mula dibenarkan turun padang, hari ini.
Beliau berkata, pemain dinasihatkan untuk membuat tempahan awal slot untuk mengelak kesesakan di kaunter jika datang terus ke kelab.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran beberapa aktiviti sukan tanpa sentuhan bermula hari ini.

Namun, SOP ketat perlu dipatuhi pemain dan pengurusan pusat aktiviti sukan bagi mengelak penularan wabak Covid-19.

Sejak PKP 2.0 dilaksanakan, kebanyakan aktiviti sukan tidak dibenarkan kecuali joging dan berbasikal di kawasan kejiranan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *