Hiburan

Makin manis selepas bertudung, Syanie mahu kotakan janji saat mereka diijabkabulkan

DEMI menjaga maruah suami, pelakon dan usahawan Syanie Hisham menetapkan hati untuk terus mengenakan hijab sejak hari pernikahannya pada 19 Februari lalu.

Menurut Syanie, 47, keputusan itu sebenarnya sudah disuarakan kepada suaminya, Zahril Hafiz Mohammed Nor sejak tahun lalu.

“Saya ada berkongsi dengan suami yang ketika itu masih berstatus tunang tentang keputusan mahu bertudung dan dia ada bertanya bila saya akan ke arah itu. Saya hanya jawab belum pasti bila akan bertudung.

“Bagaimanapun saya ada beri bayangan akan bertudung secara rasmi pada hari pernikahan.

Penampilan terkini Syanie.

“Tanpa bercakap panjang, dia hanya tunduk bersetuju. Alhamdulillah saya kotakan perkara itu saat kami diijabkabulkan,” katanya kepada mStar.

Syanie melangsungkan pernikahan kali ketiganya dengan perunding kewangan berusia 41 tahun berstatus duda tanpa anak itu di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Majlis ringkas itu berlangsung dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Saya ada berkongsi dengan suami (ketika itu masih berstatus tunang) tentang keputusan mahu bertudung.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Syanie bakal muncul dengan filem terbaharu berjudul, Hantu Kuat Ketawa yang diarahkan oleh Mawi.

Filem itu juga bakal menyaksikan penyatuan keempatnya bersama rakan gandingan Saiful Apek.

Syanie berkahwin dengan Zahril pada 19 Februari lalu.

“Secara kebetulan dan bagai dipermudahkan, filem kedua arahan Mawi yang menggandingkan saya dengan Saiful Apek itu memang watak bertudung.

“Jadi, saya ‘on’ saja. Insya-Allah penggambaran filem itu akan bermula 27 Februari ini. Saya sendiri teruja kerana filem komedi seram itu akan mengimbau kembali kenangan berlakon dengan Saiful Apek suatu ketika dahulu.

“Daripada zaman filem Senario, Cinta Luar Biasa, Laila Isabella dan Biar Betul, saya sebenarnya terlalu rindu untuk kembali beraksi dengan Saiful Apek. Terima kasih Mawi kerana kembali menyatukan kami,” katanya.

“Zahril berani bertemu dengan ibu luah hasrat hati”

Terdahulu bekas peserta program realiti, MasterChef Selebriti musim kedua ini berkongsi berita gembira itu dengan memuat naik foto dia bersama suaminya di Instastory pada Jumaat.

Untuk rekod, Syanie pernah mendirikan rumah tangga buat kali pertama pada 1996 namun bercerai pada 2002 manakala perkahwinan keduanya pada 2014 hanya bertahan selama dua tahun.

Dalam pada itu, Syanie mengakui kegagalan dua perkahwinan sebelum ini membuatkan dia tidak berasa yakin untuk mendirikan rumah tangga lagi biarpun sudah mengenali suaminya sejak tiga tahun lalu.

Namun hati pelakon filem Lagi-Lagi Senario itu berubah selepas melihat kesungguhan Zahril yang berani bertemu dengan ibunya untuk meluahkan hasrat memperisterikannya.

“Kalau nak diikutkan, Zahril mula mendekati saya sejak tiga tahun lalu. Ketika itu saya fikir, belum masanya mencari pengganti. Selepas dua tahun berkawan, akhirnya saya terbuka hati untuk terima dia.

“Saya menjadi semakin yakin selepas melihat kesungguhan Zahril nak jadikan saya isteri dan dia pun berani bertemu dengan ibu saya untuk luah hasrat nak kahwin,” ujarnya.

Apa kata anda? Kongsikan bersama kami

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *