Uncategorized

Ibu Cemas Ular Sawa Melingkar Di Bahu Anak Perempuan 2 Tahun

Suri rumah berdepan detik cemas selepas mendapati seekor ular sawa seberat enam kilogram melingkar di bahu anak perempuannya yang sedang tidur di atas katil di Kampung Gangsa, Durian Tunggal di sini, semalam.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Nurul Fatehah Amran, 24, berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 9 malam ketika dia ingin menukar baju anak perempuannya yang berusia dua tahun.

Kredit foto: BH/Utusan

“Anak saya tidur kira-kira pukul 7.15 malam dan pada pukul 9 malam saya masuk ke dalam bilik kerana ingin menukar baju dipakainya, tiba-tiba, saya ternampak ada satu benda berkilat bercorak batik di bahunya.

“Ketika ingin mengangkat anak, benda tu tiba-tiba bergerak. Dalam keadaan menggigil, saya terus angkat anak saya dan berlari keluar memanggil suami dan abang memberitahu ada ular di atas katil,” katanya ketika dihubungi.

Tambahnya lagi, dia yang bimbang dengan keadaan anaknya terus memeriksa tubuh badan kanak-kanak itu dan meluahkan rasa syukur selepas tidak menjumpai sebarang kecederaan.

“Alhamdulillah, anak saya tidak mengalami sebarang kecederaan. Abang saya kemudian telah menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) bagi menangkap ular tersebut yang mungkin datang dari kawasan semak tidak jauh dari rumah kami,” jelasnya.

Sementara itu, Pegawai Operasi, Bencana dan Logistik Pejabat Pertahanan Awam Daerah (PPAD) Alor Gajah, Leftenan (PA) Abdul Hadi Baharom berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 9.40 malam.

“Sepasukan empat anggota telah dikejarkan lokasi untuk operasi kes menangkap ular (KMU) dan setiba di tempat kejadian, kita dapati ular sawa tersebut masih berada di bawah bantal.

“Pasukan mengambil masa kira-kira 10 hingga 15 minit untuk menangkap ular seberat enam kilogram dengan panjang satu meter itu sebelum dilepaskan ke habitat asal jauh dari kawasan perumahan,” katanya.

Secara umumnya, ini antara langkah yang boleh dilakukan jika anda bertemu ular.

1. Jangan panik dan perhatikan tingkah-laku ular.

2. Tanam rasa hormat dalam diri anda terhadap ular. Anggap semua ular sebagai berbisa melainkan anda terlatih dalam mengenalpasti spesies ular.

3. Jangan tunjukkan rasa takut anda kerana ular boleh mengesan reaksi ketakutan anda.

4. Jika ular berada dalam kedudukan jarak yang jauh, jangan mendekati ular tersebut dan jangan cuba mencederakan mereka menggunakan apa-apa cara sekalipun.

5. Jika ular masuk ke dalam rumah atau reban ayam, telefon 999 untuk meminta bantuan dari pihak bomba. Jangan mengendalikan ular secara bersendirian.

6. Kurangkan pergerakan kerana majoriti ular tertarik pada sebarang bentuk pergerakan. Ular kapak pula tertarik kepada haba yang dibebaskan badan. Sebenarnya, ular adalah rabun dan tidak bergantung kepada daya penglihatan semata-mata.

7. Jika ular melingkar pada kaki atau badan anda, sila bertenang! Mereka hanya akan menyerang jika terkejut. Ini boleh disebabkan oleh tindakan mangsa yang cuba melepaskan ular tersebut secara kasar.

8. Awas jika badan ular membentuk ‘S’ kerana jarak serangan mereka boleh menjadi bertambah jauh.

9. Bergerak secara perlahan-lahan untuk menjauhi ular.

10. Jangan mengambil gambar dengan menggunakan flash kamera.

11. Ular akan menunjukkan tanda amaran dan stres seperti mengangkat kepala, membuat bunyi, kencing atau berak.

Oleh itu, jauhi mereka. Sesungguhnya, mereka tidak akan menyerang jika tidak diganggu. Kebanyakan serangan yang berlaku adalah untuk menyelamatkan diri mereka.

Sumber: UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *