Hiburan

Ramalan AJL35: Ramai Cakap ‘Peluang Kedua’ Bakal Cipta Kejutan, Tapi Calon Juara Di Luar Jangkaan

Menjelang malam final Anugerah Juara Lagu ke-35 yang bakal berlangsung pada 14 Mac ini di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), ramai nampaknya dah tak sabar melihat persembahan artis kegemaran mereka.

Paling mencuri tumpuan ialah tiga lagu ciptaan bersama penyanyi dan komposer, Hael Husaini mara ke AJL35 bersama 9 finalis lain. Adakah Hael bakal mengulangi sejarah muncul juara AJL seperti yang dilakukannya pada edisi AJL32 menerusi lagu Jampi dan gandingan bersama bersama Dayang Nurfaizah menerusi lagu Haram pada AJL33. Berikut merupakan ramalan kami.

Tempat ketiga – Peluang Kedua

Walaupun berat untuk kami menulis namun harus diakui lagu Peluang Kedua mempunyai kekuatan tersendiri dari segi susunan muzik dan lirik. Penyanyi asal, Nabila Razali menolak untuk menyanyikan lagu ini kerana masalah kesihatan sewaktu Separuh Akhir Muzik-Muzik, namun Hael tidak mempunyai sebarang masalah untuk membawa lagu ciptaannya itu ke pentas final.

AJL35 merupakan pertandingan lagu, jadi Peluang Kedua ada ‘pakej’ yang tersendiri bagi dinobat antara lagu terbaik. Setuju? Menurut laporan, Nabila Razali sahkan dirinya akan nyanyi sendiri lagu ini di final. Confirm lagi best kan?

Di Youtube, muzik video lagu ini telah ditonton lebih 29 juta kali! Memang ‘berhantu’.

Naib juara – Belenggu Rindu

Bagilah lagu apa pun, bila ‘otai’ yang nyanyi confirm meletop! Seperti yang dijangka, gandingan artis lagenda, Jamal Abdillah dan Wany Hasrita menerusi lagu Belenggu Rindu berjaya mara ke final AJL35. Jamal sebelum ini mengakui single duet bersama artis Wany merupakan strateginya untuk menarik minat orang muda.

Belenggu Rindu bukan lagu biasa, sebaliknya diselitkan dengan nasihat kepada anak muda dalam menempuhi alam percintaan.

Sia-sia jika diturutkan hatimu yang terleka dibuai kata-kata palsu.
Bukan benar bagai dikata, godaan manisan pujangga, Dah kita dicipta bukan untuk bermegah.

Atau adakah Jamal Abdillah bakal mengulangi sejarah muncul juara seperti yang dilakukan beliau pada AJL12 menerusi lagu Ghazal Untuk Rabiah? Menarik untuk disaksikan.

Juara AJL35 – 7 Nasihat

Padat dengan pesanan dan kiasan menerusi bait-bait lirik, lagu 7 Nasihat ternyata mempunyai kekuatan tersendiri. Gabungan muzik rap dan muzik kemelayuan membuatkan lagu ini sedap didengar halwa telinga. Sehingga kini muzik video lagu tersebut telah meraih lebih 4 juta tontonan di Youtube.

Lagu ciptaan ‘rapper’, komposer dan penerbit yang semakin meningkat naik iaitu pasangan duo Kmy Kmo dan Luca Sickta turut menampilkan Dato’ Siti Nurhaliza. Namun bagi pentas final, Shiha Zikir bakal menggantikan Dato’ Siti Nurhaliza. Tugas berat kini digalas Shiha dalam membawakan lagu tersebut dengan baik. Kalau tengok masa separuh akhir, rasanya tak ada masalah untuk Shiha ‘perform’.

Vokal terbaik – Aina Abdul

Tiada siapa yang dapat menafikan kehebatan vokal Aina Abdul. Sejak kebelakangan ini karier seni Aina Abdul sering mendapat perhatian ramai. Mana tidaknya, tahun lalu Aina muncul juara di dua rancangan popular, Vokal Mania dan Masked Singer Malaysia. Ini masa yang sesuai untuk Aina Abdul buktikan sesuatu selepas lagu ciptaannya sendiri ini layak ke final AJL35!

Selain Aina, Ernie juga disebut sebut bakal merangkul anugerah ini. Memang dah tak ada orang lain yang mampu nak lawan dua orang ini punya vokal.

Nyatakan ramalan korang pula, agaknya siapa bakal bergelar juara?

AJL35 kekal tiada penonton

KUALA LUMPUR: Anugerah Juara Lagu Ke-35 (AJL35) tetap berlangsung tanpa penonton, biarpun acara hiburan sudah boleh dihadiri khalayak.

Perkara itu disahkan Penerbit Eksekutif AJL35, Nurhul Huda Khalid.

Ini bererti malam kemuncak AJL35 anjuran TV3 dan Media Prima Berhad itu bakal disiarkan secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), malam esok, kekal tanpa penonton.

“Kami tidak bersedia mengajak penonton datang menonton AJL35 secara langsung berikutan perancangan sudah dibuat sebelum ini.

“Diakui, AJL selama ini meriah dengan kehadiran penonton, namun TV3 akur situasi pandemik COVID-19 membataskan segala-galanya.

“Biarpun diberi kelonggaran dan kebenaran kerajaan membolehkan penonton datang menonton secara langsung, kami tidak mahu mengambil risiko,” katanya kepada BH Online.

Nurhul Huda berkata, ruang persembahan akan dipenuhi pentas, orkestra dan kru yang bertugas.

“Bagaimanapun, kami menyediakan tempat duduk di aras tingkat empat untuk barisan penaja dan orang kenamaan,” katanya.

Taklimat bersama polis dan Majlis Bandaraya Shah Alam untuk garis panduan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. – Foto TV3
Tambah Nurhul Huda lagi, persiapan juga hampir sempurna.

“Kami hanya memberi sentuhan akhir pada masa ini. Harap semuanya akan berjalan lancar, malam esok. Syukur juga keputusan ujian calitan membabitkan finalis, artis jemputan dan kru semuanya negatif.

“Finalis dan artis jemputan mendapat tajaan ujian calitan daripada Pusat Perubatan Management And Science University (MSUMC), Shah Alam,” katanya.

Selepas sekian lama tertunda, Nurhul Huda berkata, dia percaya peminat AJL yang mengangkat kredibiliti pencipta lagu sudah lama menunggu detik malam kemuncak.

“Selain persaingan 12 finalis, persembahan artis undangan dilihat antara kejutan untuk peminat AJL35,” katanya.

Tirai persembahan AJL35 dibuka dengan persembahan Ratu Rock, Ella bersama Naim Daniel dan Yonnyboii.

Selain itu, buat kali pertama, lagu istimewa nyanyian Faizal Tahir, Jaclyn Victor, Siti Nordiana dan Tuju yang berjudul Baik Semula akan dipersembahkan.

Lagu berkenaan berkisar situasi yang berlaku di Malaysia sekarang.

Selain itu, persembahan interlude AJL35 bertemakan Projek Band akan menampilkan Hujan, Hazama & The Penglipur Lara dan Akim & The Majistret.

Semua kumpulan akan mempersembahkan aksi medley dan ‘mash up’ lagu terbaik, sambil bergandingan dengan Misha Omar, Dayang Nurfaizah dan Ziana Zain.

Manakala, Awal Ashaari, Sherry Alhadad dan Haziq Hussni selaku hos akan mengendalikan acara berprestij dalam situasi norma baharu.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *