Amalan

Vincent Tan akan derma separuh hartanya, sebabnya buat ramai respek

Kuala Lumpur: Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Berjaya Corporation Berhad Tan Sri Vincent Tan akan mendermakan separuh hartanya untuk tujuan amal apabila beliau men.inggal dunia kelak dan berharap perkara sama dilakukan oleh rakyat Malaysia berusia 70 ke atas yang kaya-raya.

Jutawan itu berkata, tindakan tersebut akan membantu mereka yang kurang bernasib baik memiliki kediaman kerana rumah merupakan satu keperluan asas dan amat penting, khususnya dari segi maruah dan keselamatan seseorang.

“Saya rasa adalah kurang bijak untuk meninggalkan semua kekayaan kita kepada keluarga kita sahaja memandangkan harta benda ini kita kumpul menerusi sokongan rakyat Malaysia, dan lesen serta konsesi kerajaan serta bantuan-bantuan lain daripada banyak pihak yang kita temui sepanjang kita mengumpul kekayaan itu,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan The Star yang disiarkan hari ini.

“Saya juga amat berminat dalam pembinaan rumah mampu milik untuk rakyat Malaysia. Berjaya telah mereka bentuk dan membina rumah seluas 900 kaki persegi (kps) dilengkapi lima bilik tidur dan empat bilik air/tandas serta unit seluas 750 kps dengan empat bilik tidur serta tiga bilik air/tandas.

“Sektor swasta harus bersedia untuk menjual rumah mampu milik dalam lingkungan harga antara RM250,000 dan RM300,000 bagi sebuah pangsapuri seluas 900 kps di bandar berbeza di Malaysia,” katanya.

Dalam temu bual bersama penasihat The Star Datuk Seri Wong Chun Wai itu, tokoh korporat berkenaan berkata, beliau beroleh kekayaan bukan menerusi sesuatu yang beliau cipta, sebaliknya melalui tuah kerana menerima banyak peluang seperti mendapat francais untuk McDonald’s dan Starbucks selain dapat membeli 7-eleven pada harga yang munasabah daripada sekumpulan rakyat Malaysia.

“Memang sewajarnya saya mengembalikan separuh kekayaan saya kepada masyarakat dan negara. Itulah perkara yang patut dilakukan,” tambahnya.

Tan berkata, bagi tujuan itu, beliau merupakan penandatangan Giving Pledge yang dimulakan oleh jutawan Amerika Syarikat Bill Gates dan isterinya Melinda serta Warren Buffet.

Taikun itu mengejutkan dunia korporat Malaysia baru-baru ini menerusi pelantikan Abdul Jalil Rasheed sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Berjaya Corp, dan menyatakan itu merupakan langkah pertama beliau untuk melepaskan kawalan terhadap syarikat.

Abdul Jalil, 38, yang juga bekas CEO Permodalan Nasional Berhad, merupakan ‘orang luar’ pertama yang dilantik sebagai CEO Berjaya.

“Saya sudah berusia 69 tahun dan akan berumur 70 tahun pada tahun depan. Saya fikir cukup-cukuplah. Saya telah bekerja sejak berusia 17 tahun, bermula dengan menjadi kerani di sebuah bank dan kini sudah bekerja tanpa henti selama 52 tahun,” katanya.

Tan juga mendedahkan bahawa beliau tidak mahu anak-anaknya terlibat dalam syarikat-syarikat senarai awam di bawah kumpulan itu dan membiarkan syarikat terbabit diuruskan oleh pengurus profesional.

“Anak-anak saya boleh mulakan perniagaan mereka sendiri kerana mereka sudahpun memiliki perniagaan. Kita perlu ada pembatasan yang jelas tentang entiti disenaraikan dan syarikat swasta,” tegasnya.

Mengenai kerja amal beliau, Tan berkata beliau merupakan penyokong kuat Tzu Chi Foundation, sebuah badan kemanusiaan antarabangsa, dan akan menguntukkan lebih banyak masa kepada pertubuhan itu.

“Keputusan terbaik yang pernah saya buat sepanjang hidup saya ialah menjadi vegan selepas berjumpa (Tzu Chi) Master Cheng Yen. Saya rasa sihat dari segi fizikal, mental lebih peka dan lebih kaya secara rohani,” kata Tan.

Tan Seri Dato’ Vincent Tan

Nilai bersih: $820 juta (RM3.35 bilion)

Pencapaian: Forbes Malaysia’s 50 Richest 2017 (Tempat ke-20)

Jawatan: Pengerusi dan ketua eksekutif Berjaya Group

Pekerjaan dahulu: Kerani bank

Tan Sri Dato’ Seri Vincent Tan Chee Yioun atau lebih dikenali sebagai Vincent Tan, merupakan seorang ahli perniagaan dan pelabur. Beliau adalah pengasas Berjaya Corporation Berhad atau juga dikenali sebagai Berjaya Group, konglomerat yang tersenarai di bursa saham Malaysia.

Perniagaan utamanya termasuk pemasaran pengguna dan jualan langsung, pelaburan hartanah dan pembangunan, hotel dan resort, pembangunan rekreasi, pengurusan permainan dan loteri, makanan dan minuman, perkhidmatan kewangan, perkhidmatan alam sekitar dan pelaburan teknologi bersih, perdagangan dan pengedaran motor, serta telekomunikasi dan perkhidmatan, penyelesaian dan produk yang berkaitan dengan teknologi maklumat.

Pada Disember 1980, Tan membeli francais McDonald’s di Malaysia. Kemudiannya pada tahun 1985, beliau membeli Sports Toto apabila agensi loteri itu diswastakan oleh kerajaan. Tan memperoleh lesen untuk perniagaan loterinya daripada penswastaan yang tidak ditender pada tahun 1985. Sebelum itu, beliau pernah bekerja sebagai kerani bank.

Beliau kini merupakan pemilik Thera Sdn Bhd dan Pengerusi Berjaya Group. Sejak tahun 1984, Berjaya Group menjalankan pelbagai jenis perniagaan. Antaranya seperti surat khabar The Sun, serta judi berlesen sah melalui Berjaya Sport Toto Berhad, Pan Malaysian Pool Sdn Bhd dan Magnum Corporation Berhad. Selain itu, beliau juga memiliki pasukan bola Cardiff City FC, FK Sarajevo, Los Angeles FC dan K.V. Kortrijk.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *