Hiburan

Ibu Dr Amalina mula dedah sifat sebenar menantu lelaki

INSAN yang paling gembira menerima berita pernikahan pakar bedah kelahiran Malaysia, Dr Amalina Che Bakri bersama jejaka Inggeris, Alexander Charles di London, United Kingdom, pada Rabu lalu sudah tentunya ibu beliau sendiri.

Walaupun tidak dapat hadir ke majlis ringkas yang berlangsung di Masjid Central London, ibu Dr Amalina, Sabariah Hassan berpeluang menyaksikan detik istimewa itu menerusi panggilan video menggunakan aplikasi Facetime.

Sabariah, 61, berkata, dia mengucapkan kesyukuran apabila majlis pernikahan anaknya itu selesai dan berjalan lancar meskipun tiga kali tertangguh berikutan ‘lockdown’.

“Menerusi video, saya berpeluang untuk menyaksikan sendiri pernikahan Amalina dari kediaman saya di Ulu Tiram, Johor. Saya rasakan seperti berada bersamanya ketika itu.

“Saya tengok dari sebelum majlis, ketika berlangsung dan selepas selesai nikah saya dapat bercakap dengan Amalina dan keluarga Alex (Alexander).

“Perasaan gembira saya bercampur sebak ketika itu, terutama sewaktu dilafazkan Amalina sah bergelar isteri kepada Alex. Sebagai ibu, sudah tentu saya gembira melihat Amalina bertemu jodoh dengan lelaki terbaik buat dia,” katanya secara eksklusif kepada mStar.

Dr Amalina sah menjadi isteri Alexander Charles di Masjid Central London. foto instagram dramalinabakri / nickrayphoto

Sabariah berkata, pernikahan Dr Amalina itu dibuat setelah mendapat surat kebenaran nikah di luar negara daripada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (Jainj).

Mengikut perancangan asal, katanya, Dr Amalina sepatutnya bernikah di Malaysia pada Disember lalu tetapi disebabkan pandemik Covid-19, ia kemudian bertukar lokasi di UK.

“Tiket penerbangan untuk saya ke London sudah pun ditempah dan terpaksa ditunda juga berikutan ‘lockdown’ di UK beberapa kali. Memang Amalina mahu saya ada sama ketika nikah.

“Saya pun mahu berada di sampingnya. Tapi atas faktor keselamatan berikutan wabak Covid-19, saya fikir biarlah saudara Amalina di sana wakilkan,” katanya yang merujuk kepada hanya enam tetamu yang dibenarkan hadir bersama mengikut peraturan Covid-19.

Sabariah (kiri) bersama anaknya, Dr Amalina pada 2019.

Pesara guru dan bekas pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ulu Tiram di Johor itu turut meluahkan rasa syukur apabila Dr Amalina terbuka hati untuk melangsungkan pernikahan bersama jejaka pilihannya.

“Tiga tahun lalu, masa Amalina umur 30 tahun, saya ada berpesan kepada dia untuk bernikah. Tapi dia mahu memberi tumpuan kepada latihan pakar bedah, kerjaya dan pengajian PhD (Doktor Falsafah) terlebih dahulu.

“Katanya mungkin nak berkahwin pada usia 35 tahun. Saya tidak pernah memaksa Amalina malah menyokong dia, tetapi sekadar menyarankan apa yang terbaik agar ada seseorang yang terbaik dapat menjaganya. Alhamdulillah, Amalina bersedia untuk bergelar isteri pada umur 33 tahun ini,” ujarnya.

Perasaan gembira saya bercampur sebak, terutama sewaktu dilafazkan Amalina sah bergelar isteri kepada Alex. Saya gembira melihat Amalina bertemu jodoh dengan lelaki terbaik buat dia

Mengulas lanjut, Sabariah berpandangan bahawa Alex yang juga berusia 33 tahun sebagai seorang lelaki yang lemah-lembut, baik hati dan bertanggungjawab terhadap Dr Amalina sambil menambah kedua-dua keluarga merestui hubungan mereka.

“Alex seorang lemah-lembut, berhati baik dan menghormati saya sebagai ibu kepada Amalina. Saya bertemu dengannya beberapa kali ketika kunjungan saya ke UK.

“Bukan sekadar Alex, keluarga dia pun baik-baik. Saya berdoa agar Allah SWT sentiasa memberi kerahmatan kepada Amalina dan suami agar berbahagia ke jannah, dan dikurniakan zuriat yang baik-baik. Semoga kami semua dirahmatiNya,” katanya.

Dr Amalina (kiri) menggayakan kurung moden rona putih rekaan Cosry, manakala Alex mengenakan sut lengkap berwarna hitam serta putih. foto instagram dramalinabakri / nickrayphoto

Dalam pada itu, Sabariah turut meluahkan rasa rindu menebal terhadap anak tunggal kesayangannya itu, yang kali terakhir ditemuinya pada Hari Raya 2019 ketika pembedahan yang berjaya membuang tumor 200 gram di mulut bayi berusia sembilan bulan, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin di sebuah hospital kanak-kanak di London hasil inisiatif Dr Amalina.

“Selepas itu kami masih belum berjumpa disebabkan oleh wabak Covid-19. Ikutkan Hari Raya tahun lepas Amalina bercadang untuk pulang ke Malaysia.

“Buat masa ini belum ada ketetapan bilakah majlis resepsi Amalina dan Alex di Malaysia, semuanya bergantung kepada perkembangan semasa Covid-19,” katanya.

Terdahulu, menerusi laman Instagram, Dr Amalina memuat naik sekeping fotonya bersama suami di sebuah taman.

Dr Amalina menggayakan kurung moden rona putih rekaan Cosry, manakala Alex yang juga seorang pengarah di sebuah syarikat perisian mengenakan sut lengkap berwarna hitam serta putih.

Pasangan itu mengikat tali pertunangan pada Ogos, tahun lalu.

Seorang Lelaki Pintar

Mengimbas kembali ketika hari mereka bertemu, Dr Amalina mengatakan bahawa dia dan Charles terus “tertarik” pada pertemuan pertama mereka.

“Dia adalah seorang yang pintar, seorang lelaki, sangat hormat, sopan dan cerdas – semua sifat yang saya suka pada seorang lelaki.”

Membalas pujian tersebut, Charles berkata: “Dia sangat cerdas, seorang yang sangat penyayang dan sangat cantik.”

Charles mengatakan bahawa dia menyedari bahawa pengantin barunya adalah ikon awam yang mempunyai lebih dari satu juta pengikut di Instagram dan Twitter dan menambah dia telah membiasakan orang menyapa Dr Amalina di jalanan untuk mengatakan ‘hai’ atau mengambil gambar dengannya .

“Saya rasa tinggal di UK, kita tidak terlalu terdedah kepadanya (kemasyhuran Dr Amalina) dengan cara yang sama seperti jika kita berada di Malaysia. Sudah tentu kita masih ada orang yang datang untuk mengucapkan ‘hai’ kepadanya dan mengambil gambar, jadi saya fikir itu tidak terlalu menganggu kehidupan kami sehari-hari, “tambahnya.

Dengan memanfaatkan cuaca yang hangat, pasangan itu, ditemani oleh seorang jurugambar, menyeberang ke Regent’s Park untuk mengambil gambar hari yang paling penting dan tidak dapat dilupakan dalam hidup mereka, dengan orang-orang yang baik-baik saja yang keluar menikmati sinar matahari sambil mengucapkan “selamat pegantian baru” kepada pasangan bahagia tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *