Amalan

Lelaki bukan Islam dah 10 tahun bayar zakat, rupanya ada sebab kenapa dia tak pernah lupa tunai ‘tanggungjawab’

Selain melaksanakan ibadah berpuasa di bulan Ramadan, umat Islam juga diwajibkan membayar zakat bagi memenuhi rukun Islam yang telah ditetapkan dalam agama.

Walau bagaimanapun, pada bulan Ramadan juga, tak hanya orang Islam sahaja yang berpuasa, mereka yang bukan Islam turut sama-sama menahan lapar dan dahaga demi merasai sendiri nikmat berpuasa disamping dapat menjaga kesihatan badan.

Tak hanya itu, ada juga sesetengah individu bukan Muslim turut sama membayar zakat dengan tujuan berkongsi rezeki mereka kepada semua masyarakat. Hal ini kerana pusat zakat tidak hanya menyalurkan kutipan zakat kepada orang Islam sahaja, tetapi turut kepada yang bukan Islam.

Bukan Islam tak miss bayar zakat

Menerusi laporan Astro AWANI, seorang lelaki bernama Chandramogan Jasingo yang juga seorang penganut agama Hindu telah membayar zakat fitrah setiap bulan Ramadan di Lembaga Zakat Negeri Kedah sejak 10 tahun lalu.

“Hidup saya dulu bukanlah senang sebab itu saya sangat faham macam mana kehidupan sebagai orang susah.”
“Saya juga dibesarkan di persekitaran budaya orang Melayu dan agama Islam, jadi agama Islam dan budaya orang Melayu bukan perkara asing dalam kehidupan kami sekeluarga,” ujar Chandra kepada Astro AWANI

Semua agama ajar tentang kebaikkan

Mesra disapa Chandra, lelaki berusia 40 tahun itu mengakui kehidupannya susah pada masa lalu membuatkan dirinya terpanggil untuk terus membantu orang lain dan perkara tersebut menjadi

titik permulaan dirinya membayar zakat.
Selain daripada itu, pengurus di sebuah syarikat insurans ini juga memaklumkan pernah membaca banyak buku berkenaan agama dan kepercayaan. Kesemuanya mengajar untuk melakukan kebaikan tanpa sebarang prejudis.
“Saya juga baca apa yang terkandung dalam hadis dan saya rasa kesemuanya menyuruh kita untuk membantu orang yang susah.”
“Tidak rugi kalau kita berbuat baik atau tolong orang lain… percayalah Tuhan akan menambah rezeki kita dalam setiap sedekah, derma atau bantuan kita pada orang lain, yakinlah,” ulas Chandra.

Setiap rezeki kita ada rezeki orang lain

Dia juga memaklumkan bahawa menerusi pembacaannya, setiap orang tidak boleh bersikap sombong dengan apa yang diperoleh kerana setiap rezeki tak 100 peratus adalah milik kita.

“Kita kena ingat bahawa setiap rezeki yang kita perolehi itu bukan 100 peratus milik kita… di dalamnya ada bahagian hak orang lain.”
“Jadi jangan takbur dengan harta-harta yang kita ada, itu semua Tuhan bagi pinjam pada kita sahaja dan Dia akan ambil (bila-bila masa) jika Dia mahu,” kata Chandra

Pernah hidup susah jugaDalam pada itu, Chandra turut sempat mengenang kembali kisah perjalanan hidupnya yang pernah bekerja kilang dan hanya memakai kereta Proton Saga lama pada 10 tahun lalu.

Menurutnya, kereta tersebut pernah tersadai dalam tempoh waktu yang lama memandangkan dia tidak mempunyai wang untuk membeli minyak.

“Dulu saya kerja kilang selama 10 tahun, bawa kereta Proton Saga model 1985, kadang-kadang kereta tersadai di tepi jalan sebab saya tak mampu nak isi minyak,” Tambahnya lagi.

Syukur diberi kesempatan bayar zakat lagi
Menerusi sumber juga, Chandra turut memaklumkan sangat bersyukur kerana pada tahun ini berkesempatan lagi untuk membayar zakat fitrah seperti tahun-tahun sebelumnya.

“Syukur Alhamdulillah masih bernyawa menunaikan tanggungjawab sebagai salah seorang umat di muka bumi,” ulasnya.

Bayar zakat hidup berkat

Setiap umat Islam perlu menanam kefahaman serta keyakinan apabila dia menafkahkan sebahagian hartanya ke jalan Allah SWT termasuk berzakat, pasti ada pulangannya.

Tidak dinafikan, sudah menjadi lumrah manusia berasa cinta dan sayangkan harta yang dimilikinya. Sukar bagi mereka untuk memberi hartanya kepada orang lain sekiranya tidak menerima sebarang ganjaran.

Yakinlah akan janji Allah SWT dengan berzakat tidak akan mengurangkan harta seseorang, malah akan bertambah keberkatan dan kesuburan harta si pemiliknya.

Di dunia lagi, apabila seorang lelaki melunaskan zakat yang diwajibkan ke atasnya, dia akan dikurniakan isteri solehah, anak yang taat serta rumah tangga yang tenteram.

Allah SWT berfirman bermaksud: “Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat) supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan mensucikan mereka (daripada akhlak yang buruk) dan doakanlah untuk mereka kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah at-Taubah, ayat 103)

Sumber: Astro AWANI (Raja Hisyam Raja Zaid), Chandra EG Empire

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *