Hiburan

Menyesal tak tunjuk contoh baik, Neelofa tampil dalam satu video

SELEPAS teruk dikecam gara-gara tidak sensitif dengan berkongsi foto dan video aktiviti bersantai ketika berada di Pulau Langkawi, selebriti Noor Neelofa Mohd Noor akhirnya tampil mengakui kesilapannya itu.

Kesal kerana menimbulkan rasa kurang senang orang ramai, Neelofa, 32, berkata dia sepatutnya menjadi contoh yang baik kepada masyarakat.

“Saya nak mohon maaf kerana kurang menjaga sensitiviti tentang hal ini.

“Ada banyak perkara yang saya terlepas pandang… saya sepatutnya memberi contoh yang lebih baik,” katanya menerusi rakaman video kepada mStar.

Perkongsian Neelofa di Instagram ketika bermain jet ski.

Tambah isteri kepada Pencetus Ummah (PU) Riz ini lagi, dia terbuka menerima sebarang tindakan daripada pihak berkuasa berhubung isu pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).

“Saya seikhlas hati mohon maaf atas segala kesalahan SOP yang dalam pengetahuan mahupun luar pengetahuan saya.

“Saya dan suami menerima dengan hati terbuka segala keputusan dan tindakan daripada pihak berkuasa,” katanya.

Saya dan keluarga saya, serta suami dan keluarganya hadir di IPD Dang Wangi untuk membantu siasatan pihak berkuasa.

Terdahulu Neelofa dan Riz atau Haris Ismail, 26, mengundang kemarahan ramai apabila dilihat seolah-olah menyalahgunakan kebenaran rentas negeri ke Langkawi.

Perkongsian aktiviti bersantai di pulau peranginan itu dilihat bercanggah dengan tujuan asal mereka ke sana yang dikatakan atas urusan kerja.

Selain itu polis juga membuka kertas siasatan selepas timbul kekecohan bahawa majlis pernikahan mereka yang berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur gagal mematuhi SOP dan tiada penjarakan fizikal.

Foto yang menjadi pertikaian netizen berhubung dakwaan pelanggaran SOP ketika majlis pernikahan Neelofa.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Mengulas mengenai perkembangan siasatan kes berkenaan, Neelofa berkata anggota keluarga kedua-dua belah pihak selesai memberi keterangan kepada polis.

“Alhamdulillah akhirnya selesai… saya dan keluarga saya serta suami dan keluarganya hadir di IPD Dang Wangi untuk beri kerjasama dan juga keterangan untuk membantu siasatan pihak berkuasa,” katanya.

Neelofa dan Riz diijabkabul pada 27 Mac lalu di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur.

Terdahulu Polis mengesahkan mereka sudah merekod keterangan daripada pasangan selebriti popular, Noor Neelofa Mohd Noor dan suaminya, Haris Ismail semalam.

Ketua polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata Neelofa dan Haris atau PU Riz itu hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi kira-kira jam 6 petang.

“Rakaman percakapan terhadap kedua-duanya berlangsung kira-kira sejam, mereka dibenarkan pulang sebaik Pegawai Penyiasat (IO) berpuas hati dengan keterangan yang diberi,” katanya dipetik Kosmo!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *