Hiburan

PM umum boleh rentas negeri tanpa halangan pihak berkuasa, tapi ini syaratnya

RAKYAT Malaysia yang sudah menerima dua dos vaksin Covid-19 akan dibenarkan melakukan perjalanan rentas negeri dan daerah, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata, penyelidikan terbaharu di peringkat antarabangsa mengenai vaksin menunjukkan bahawa mereka yang telah diberi dua dos vaksin dan sijil pengesahan bebas melakukan perjalanan ke mana sahaja.

“Ada pandangan awal mengatakan bahawa mereka yang telah divaksinasi dapat dilindungi dari jangkitan tetapi mungkin menjadi pembawa virus yang berpotensi. Tetapi sekarang, telah ditemukan bahawa ia tidak benar.

“Saya telah membincangkan hal ini dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membenarkan sesiapa yang sudah mendapat dua dos suntikan boleh merentas daerah, negeri atau ke sana ke sini, tanpa halangan pihak berkuasa,” katanya pada Sesi ‘Townhall’ Wawasan Kemakmuran Bersama, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Kuching, pada Khamis.

Muhyiddin, yang menjawab pertanyaan seorang peserta townhall tentang vaksinasi, mengatakan bahawa kelonggaran itu bukan insentif tetapi sebagai dorongan bagi mereka yang telah divaksinasi dan diberi sijil pengesahan.

“Sekiranya anda belum ada suntikan vaksin dan tidak mempunyai sijil digital, maka anda tidak boleh pergi. Tetapi jika anda telah menerima dua dos, maka anda boleh terbang ke mana saja,” katanya.

Muhyiddin juga berkata, perjalanan antarabangsa juga akan dibenarkan bagi mereka yang telah diberi dua dos vaksin.
“Kita telah memulakan perbincangan dengan beberapa negara untuk membolehkan warganegara kita yang telah menerima dua dos dengan sijil pengesahan untuk travel,” katanya.
Pada masa ini, perjalanan rentas negeri masih tidak dibenarkan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)

PKPB telah dilanjutkan dari 30 Mac hingga 12 April di Sarawak dan dari 1 hingga 14 April di Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang dan Kelantan.

Sembilan negeri lain dan Labuan dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dari 1 hingga 14 April. – THE STAR

Rentas negeri raya

Dalam perkembangan lain Kerajaan sedang meneliti sama ada rentas negeri untuk Aidilfitri ini pada Mei depan, dibenarkan atau tidak, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata, pengumuman akan dibuat sebaik semua data berkaitan dianalisa Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negeri (MKN).

Muhyiddin berkata, segala keputusan bergantung kepada situasi semasa kes harian Covid-19.

“Ini antara isu yang kerajaan sedang timbang. Sekarang hampir bulan puasa, mufti pun sudah keluar fatwa solat terawih dah boleh, dulu tak boleh.

“Mungkin apabila nak raya, kita mungkin boleh buat sembahyang raya bersama-sama takbir atau boleh melawat ziarah rentas negeri.

“Buat masa ini rentas negeri untuk Aidilfitri, kerajaan masih belum dapat beri jawapan lagi.

“Kita akan teliti dan diumumkan apabila tiba masanya nanti,” katanya ketika bersarapan pagi bersama masyarakat di Warung Noorizwan, FELCRA Bukit Kepong, di Pagoh, hari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *