Hiburan

30 Tahun Dilabel Pelakon Tempelan, Bell Ngasri Akhirnya Jadi Pilihan Utama Pengarah

Setelah lebih tiga dekad membina nama dalam industri seni tanah air, pelakon dan pelawak Bell Ngasri meluahkan rasa syukur apabila bakatnya masih menjadi perhatian ramai sehingga kini.

Dalam memastikan dirinya kekal relevan, Bell atau nama sebenar Nasrizal Ngasri, 41, berkata dia tidak memilih tawaran lakonan dan tidak pernah berkecil meskipun namanya sering menjadi pilihan kedua penerbit.

” Alhamdulillah rezeki saya… saya pun sebenarnya tak tahu nak jawab apa bila orang tanya apa saya lakukan untuk kekal berada di sini.

” Cuma yang boleh saya cakap, saya cuma pastikan diri saya sentiasa ada, itu sahajalah strategi saya.

” Sebelum ini saya selalu sahaja jadi artis kedua, ketiga tapi saya tak kisah saya terima sahaja dan buat yang terbaik untuk mereka. Mungkin sekarang baru orang semakin nampak karier saya.

” Saya ni dah berlakon sejak kecil… banyak juga cerita lakonan saya popular semasa itu.

” Sekarang ni saya tak kisah, selagi ada orang suka, orang nak tengok saya akan cuba bawa apa sahaja watak dengan sebaik mungkin,” katanya kepada mStar.

Sementara itu, pelakon utama filem 18 Puasa Di Kampong Pisang ini mengakui tidak tercabar dengan kehadiran ramai pendatang baharu dalam industri.

Malah, Bell berkata dia seorang pelakon mudah untuk didekati oleh pelakon senior dan baharu.

” Sekarang ni ramai pelawak lahir dari program Raja Lawak… ada yang saya di belakang mereka tapi saya tak kisah dan tak pernah rasa ada gap antara kami!

” Saya cuba jadi kawan mereka, sedangkan ada pelakon dalam usia saya tak boleh sesuaikan diri dengan dunia sekarang, tapi saya pula tak ada masalah tentang itu.

” Apabila saya bersama budak baharu, mereka anggap saya dalam kelompok mereka, kalau bersama pelakon lama pula mereka rasa saya macam pelakon senior juga… jadi memang tak ada masalah nak berkawan dengan mereka semua,” ujarnya.

Gambar – Bell (tengah) kini sering menjadi pilihan membintangi filem arahan pengarah terkenal, Mamat Khalid.

Selepas 34 tahun berada dalam industri seni, Bell berkata dia tidak pernah meletakkan harga tinggi seperti didakwa oleh adiknya yang juga pelakon dan penerbit, Darling Ngasri.

Sebenarnya harga saya jauh lebih murah

” Apabila semakin lama dalam industri, orang ingat harga saya mahal, sebenarnya harga saya jauh lebih murah dari artis-artis baharu yang lebih popular sekarang.

” Saya hanya ambil sebahagian dari mereka… itu pun orang kata mahal ke? Alhamdulillah rezeki saya masih ada!” ujarnya.

Pada 2019, Darling Ngasri pernah mendedahkan abangnya Bell Ngasri sebenarnya antara selebriti yang mempunyai nilai bayaran tinggi. meskipun sering tampil dengan watak tempelan.

Kata Darling atau nama sebenarnya Nasreen Ngasri, nilai tinggi yang diletakkan Bell membuatkan dia tidak mampu untuk menawarkan sebarang tawaran drama kepada abangnya itu.

” Sebenarnya bukan sahaja director yang meminati Bell… saya sendiri suka bekerja dengan dia.

” Sebenarnya Bell selalu juga tanya kenapa tak mahu ambil dia berlakon untuk drama yang saya terbitkan… saya katakan sebab memang tak boleh nak bayar dia.

” Dia terlalu mahal! Lagipun dia sangat busy,” katanya.

Sumber:mstar dan IG Bell Ngasri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *