Hiburan

“Setiap Kali Org Cakap Sabarlah… Sampai Rasa Nak Cakap Boleh Diam Tak?,” – Datuk Nora Mula Luah Rasa

Penyanyi, Datuk Nora Ariffin ada berkongsi cerita mengenai pengalaman dirinya setelah hampir 5 tahun bergelar ibu tunggal.

Eksklusif menerusi program YouTube Media Hiburan, Nora atau nama sebenarnya, Wan Norafizah Wan Ariffin berkata bukan satu perkara mudah untuk menempuhi ujian kehilangan suami serta anak untuk selamanya.

“Bukan mudah sebenarnya walaupun nampak saya ketawa, senyum. Jadi bila dia tak ada tu, saya rasa macam hidup ini dah tiada harapan.

“Bila setiap kali orang cakap sabarlah, kadang-kadang sampai rasa nak cakap boleh diam tak? Sebab kita selalu dengar perkataan tu tapi orang tak faham.

“Anda tak akan faham sampai anda lalui benda itu sendiri. Saya pun tak faham sebab saya tak pernah laluinya sebelum ini.

“Tapi bila saya sudah hadapi, saya belajar macam mana untuk menerima itu semua. Saya juga belajar satu benda iaitu apa benda yang kita ada, suami kita, kita sayang suami kita kan. Siapa yang tak suami? Siapa yang tak sayang isteri?

“Tapi kita kena faham bahawasanya hakikat hidup kita apa yang kita miliki semuanya pinjaman. Allah akan menguji dengan apa yang kita sayang,” katanya.

Imbas kembali, Nora mendirikan rumah tangga bersama komposer terkenal, Johan Nawawi pada tahun 1992 dan dikurniakan 4 orang cahaya mata.

Arwah Johan telah menghembuskan nafas terakhir pada 24 Mac 2017 akibat serangan sakit jantung.

Selepas itu, anak keduanya Muhammad Syakir Alif meninggal dunia pada 14 Disember 2019 ketika usia 20 tahun.

Mahu mengetahui lebih lanjut mengenai Nora? Ikuti video penuhnya di sini ;

Nora perjelas gosip kahwin dengan Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Penyanyi terkenal, Datuk Nora Ariffin menjelaskan bahawa laporan mengenainya sudah menikahi Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa adalah tidak benar dan tidak masuk akal.

Penyanyi terbabit mengakui tergamam sebaik dimaklumkan anak sulungnya, Muhammad Syakir Iman mengenai laporan tersebut.

“Saya tergelak juga bila membacanya, tapi dalam masa sama perkara itu sangat-sangat tidak masuk akal.

“Saya buat keputusan untuk mengabaikannya kerana itu hanyalah gosip semata-mata, tidak pernah berlaku apa yang dikhabarkan,” tegas Nora kepada ketika dihubungi Astro Awani.

Sejak Rabu, tular di Twitter kononnya Nora kini sudah bernikah sehingga menyebabkan Muhammad Syakir tampil mempertahankan ibunya dengan menafikan Annuar kini bergelar ayah tirinya.

Nora didakwa bergelar isteri kedua tokoh politik itu.

Seperkara lagi, menurut penghibur kelahiran Kelantan itu lagi, beliau dengan Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh juga mempunyai pertalian keluarga.

Sementara itu, Nora memohon pihak yang mencetuskan berita palsu mengenai pernikahan beliau dengan Anuar agar berhenti daripada berbicara hal-hal fitnah sebaliknya menumpukan kepada amal ibadah apatah lagi dalam bulan Ramadan ini.

“Apa pun saya maafkan orang yang menyebarkan berita palsu ini,” kata Nora.

Nora, 48, masih sendirian selepas kehilangan suami tercinta, Allahyarham Johan Nawawi sekitar empat tahun lalu apabila komposer ternama tanah air itu meninggal dunia pada 24 Mac 2017.

sumber: media hiburan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *