Hiburan

Kasut Aliph x Search. Amy dan Nasir tampil bersuara buat ramai peminat tak senang duduk

Kuala Lumpur: Tindakan bekas penyanyi kumpulan Search, Amy; pemain bass, Nasir dan waris pemain dram, Allahyarham Yazit Ahmad mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap individu bernama Mozylir Mokhtaruddin dan syarikat Home of Champions jika tidak menghentikan kegiatan serta perniagaan yang didakwa menggunakan nama kumpulan itu tanpa kebenaran mengundang reaksi berbeza kebanyakan peminat Search di media sosial.

Rata-ratanya dilihat memihak kepada dua lagi anggota Search iaitu pemain gitar, Noordin dan Kid yang didakwa menjadi ‘mngsa’ konflik itu.

Malah, mereka turut mengkritik Amy yang dikatakan tidak mementingkan ikatan persahabatan sebaliknya lebih kepada soal material terutama membabitkan penggunaan nama Search untuk tujuan komersial.

Ada di antara mereka turut meminta Amy dan Nasir menggunakan ‘budi bicara’ serta memberi ruang kepada Noordin dan Kid menggunakan nama Search dalam menjana pendapatan mereka.

Malah, segelintir peminat Search turut mempertikaikan tindakan Amy melarang penggunaan nama Search sedangkan dia turut menggunakan jenama Amy Search selain sudah meninggalkan kumpulan itu, Mac tahun lalu.

Amy Search Sudah Daftar MyIPO

Dalam masa sama, Amy turut membuat penjelasan di ruangan komen media sosial berkenaan mengatakan nama Amy Search sudah didaftarkan di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Malah, nama Search turut didaftarkan di bawah MyIPO dan ia adalah milik lima anggotanya iaitu Amy, Nasir, Noordin, Kid dan Yazit.

Namun, jika salah seorang daripada mereka mahu menjalankan perniagaan menggunakan nama Search, ia perlu mendapat kebenaran semua.

Sementara itu, Amy ketika ditanya mengenai hak Noordin dan Kid menggunakan nama Search berkata, mereka boleh menggunakan nama Search jika ada persetujuan semua anggota Search.

Ini berikutan tindakan mereka mengadakan persembahan menggunakan nama Search dengan meletakkan Akim sebagai penyanyi di Melaka, baru-baru ini.

Nasir berkata, dia tidak mahu terbabit dalam persembahan itu kerana baginya, itu bukan Search.

“Jika Noordin dan Kid nak buat persembahan, gunalah nama Din Search & Kid Search feat. Akim, jangan gunakan nama Search,” katanya.

Dalam pada itu, Amy mengakui wujud perselisihan faham dengan Nasir ketika dia mengumumkan keluar dari Search, Mac tahun lalu.

“Kami sudah berdamai sekarang. Biasalah, kawan-kawan lama. Kami tak pernah berbincang mengenai saya berundur secara tetap. Hak dan nama saya terhadap Search tidak pernah hil4ng atau saya lepaskan. Itu memang hak saya dan empat lagi anggota Search,” katanya.

Nasir mohon peminat Search bertenang

Kuala Lumpur: Pemain bass Search, Nasir mengajak netizen terutama peminat kumpulan rock legenda itu supaya memahami dengan mendalam mengenai isu hak cipta dan harta intelek sesuatu jenama itu.

Ini berikutan isu penggunaan nama Search untuk tujuan perniagaan seperti dilakukan individu dan satu syarikat, baru-baru ini.

Isu terbabit turut panas dengan reaksi kebanyakan peminat Search yang dilihat seperti tidak bersetuju dengan tindakan Amy dan Nasir itu.

Nasir dalam satu kenyataan di Facebook hari ini, meminta supaya semua pihak bertenang dan menyerahkan proses perundangan kepada mereka yang lebih arif.

“Saya dengan rendah diri meminta supaya semua pihak terutama peminat-peminat yang kami sayangi bertenang sebentar. Kita serahkan kepada yang arif untuk tangani isu ini.

“Ini bukan pergaduhan atau peperangan tetapi suatu transaksi perniagaan yang memerlukan penjelasan dan pencerahan.

“Saya percaya peminat, penyokong Search serta rockers adalah golongan yang cintakan keamanan dan kedamaian,” tulisnya.

Menurutnya, akibat kekurangan pemahaman mengenai isu utama menyebabkan Search terutamanya Amy dihujani kecaman.

“Isu hak cipta dan harta intelek adalah perkara utama. Kita lihat pelbagai komen serta ragam daripada netizen terhadap isu yang sedang hangat ini.

“Ada yang okay dan berikan nasihat yang baik dan ada yang membuat komen negatif terhadap Search. Tak kurang juga yang mencerca Amy kononnya bekas anggota Search,” tulisnya.

Menurut Nasir, kenyataan media yang dikeluarkan pihaknya bersama Amy dan waris Allahyarham Yazit perlu dibaca dengan teliti sebelum membuat andaian.

“Ramai yang kurang mengerti atau tidak memahami isu dan apa yang sedang berlaku sebenarnya. Kenyataan media yang Search, kelmarin harus dibaca dan diteliti dengan bijak.

“Perkara yang dinyatakan di dalam kenyataan media itu ialah Search mendapat tahu bahawa Home of Champions (HOC) menjalankan perniagaan menggunakan nama Search atau imej-imej yang berkaitan dengan Search tanpa kebenaran kami. Malah tidak ada perjanjian bertulis walaupun sekeping kertas. Selain itu, tiada perbincangan rasmi bersama semua anggota Search,” tulisnya.

Nasir berkata, dia bersama Amy dan waris Allahyarham Yazit Ahmad tampil demi pembelaan, keadilan dan hak mereka yang sewajarnya.

“Perjuangan ini adalah untuk semua lima anggota yang ada hak di dalam Search mahupun yang sudah tiada,” tulisnya.

Semalam, Amy, Nasir dan waris Yazit dalam sesi Instagram Live memberi tempoh tujuh hari terhadap individu bernama Mozylir Mokhtaruddin dan syarikat Home of Champions untuk menghentikan kegiatan serta perniagaan yang didakwa menggunakan nama kumpulan itu tanpa kebenaran.

Berikut pula reaksi dari netiizan

“Susah klau ade sikap tamak.ni….islam galak kita membudayakan kongsi rezeki…tapi bab duit depa org islam sendiri suke guna kaedah org putih hak cipta bagai…semualah klau peniaga guna kaedah kapitalis…huntong double tripple lps tu bange kata usahawan berjaya..Huntongnya 100%…zakatnya 30% pun berkerut dah…itu contoh…tp dlm.kes brand ni xbolehkah kita ni kompromi…jgnlah ade sikap monopoly x baik kwn tu pun ade tanggungan…bx org lain ahli anggota susah senang nak penaik name group jgk…adoi…susahlah…ingat makin tua maakin kita matang…tp law org putih jgk depa taksub”

Kasut Aliph x Search ‘limited edition’ tak ‘legit’? Peniaga didakwa guna nama Search tanpa kebenaran

MENGGUNAKAN nama kumpulan Search untuk mengaut keuntungan tanpa kebenaran, bekas penyanyi kumpulan tersebut iaitu Amy, pemain bass, Nasir dan waris keluarga pemain dram, Allahyarham Yazit memberi amaran kepada Mozylir Mokhtaruddin dan syarikat, Home of Champions atas tindakan tersebut.

Menerusi satu kenyataan kepada mStar, mereka meminta individu berkenaan berhenti penggunaan nama Search dalam penjualan pakaian dan aksesori di beberapa platform digital.

Individu dan syarikat berkenaan didakwa menggunakan nama ‘fenomenasearch’ melalui laman web serta menggunakan alamat emel yang memakai nama domain fenomenasearch.com.

Ini termasuk penjualan pakaian dan aksesori menggunakan nama Search atau imej yang berkaitan dengan Search melalui laman web itu, Facebook, Instagram dan Shopee selain menjual kasut Aliph x Search – Edisi 2021 atas dasar penjualan terhad kepada 999 unit.

Anak Amy iaitu Nabila Huda turut menyuarakan rasa kurang dengan tindakan individu berkenaan menjual kasut menggunakan nama Search di Instagram.

“Kami sudah mengambil nasihat guaman dan mengeluarkan tuntutan terhadap Mozylir dan Home of Champions untuk menghentikan kegiatan itu,” katanya dalam kenyataan yang dihantar pada Khamis.

Anggota Search bersetuju untuk memastikan hak-hak Yazit kepada nama Search dan kerja-kerjanya untuk Search sejak tahun 1981 akan diberikan kepada waris-warisnya!
Dalam pada itu, ketiga-tiga ahli kumpulan ini turut menjelaskan mengenai persetujuan bersama untuk menjaga hak Yazit walaupun selepas dia meninggal dunia pada 2019.

“Selepas Yazit meninggal dunia, anggota Search bersetuju untuk memastikan hak-hak Yazit kepada nama Search dan kerja-kerjanya untuk Search sejak tahun 1981 akan diberikan kepada waris-warisnya,” katanya.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Sementara itu, Home of Champions dalam satu kenyataan di Facebook berkata pihaknya akan membuat kenyataan menerusi peguam mereka dalam masa terdekat.

“Berhubung kenyataan media yang kami terima daripada pihak Amy dan Nasir di platform media sosial, pihak kami akan membuat satu kenyataan balas melalui pihak guaman, ” tulis pengendali akaun.

Search ditubuhkan pada 1981 dianggotai oleh Amy, Yazit, Hillary Ang serta Daud dan kemudiannya disertai oleh Nasir dan Noordin.

Selepas album ketiga berjudul Mentari Merah Di Ufuk Timur, Hillary meninggalkan Search dan digantikan oleh Kid.

Album terakhir iaitu Katharsis yang dihasilkan pada 2017 menampilkan Amy, Nasir, Noordin dan Kid tanpa Yazit yang uzur.

Amy mengambil keputusan berundur daripada Search pada tahun lalu.

Search kemudian menggunakan khidmat penyanyi Wings, Datuk Awie untuk Konsert Projek Bikin Wilayah 2021.

Bagaimanapun, konsert yang sepatutnya berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam pada Februari lalu dibatalkan berikutan penularan Covid-19.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *