Amalan

Bekas kandang kambing jadi teduhan. Kisah empat beranak ini buat ramai sayu

Memang hajat di hati mahu ada rumah yang selesa, namun kerana kekangan yang ada, sepasang suami isteri dan dua cahaya mata mereka terpaksa menjadikan kandang kambing sebagai tempat berteduh dari panas dan hujan.

Dengan sedikit ubah suai di kandang kambing yang terletak di Kampung Babong, Kota Bharu itulah Mohd Azlam Yusof berumah sejak enam tahun lalu.

Selain Mohd Azlam, 26, turut tinggal di situ ialah isterinya Raja Sazila Raja Hanuzi, 24, serta dua cahaya mata mereka, Nur Aidyah Syafiqah, 6, dan Amsyar Syazuran, 1.

Seolah-olah kesempitan sedia ada tidak mencukupi, datang pula pandemik Covid-19 yang menyebabkan kehidupan mereka bertambah ‘gelap’ kerana Mohd Azlam tidak dapat bekerja sekali gus menjejaskan pendapatan.

Sementara itu Raja Sazila berkata, sebelum ini mereka menumpang di rumah ibu Mohd Azlam yang terletak bersebelahan sebelum mengambil keputusan untuk menjadikan kandang kambing sebagai tempat tinggal.

“Asalnya kandang kambing ini kecil sahaja, kemudiannya suami ubah suai dengan untuk besarkan lagi untuk lebih selesa.

“Sepanjang tinggal di sini, paling sukar ketika hujan keseluruhan rumah akan basah kerana bumbung bocor, menyebabkan kami empat beranak sukar untuk tidur selain keadaan lantai kayu juga hampir reput,” katanya ketika tinjauan media, hari ini.

Raja Sazila berkata, suaminya bekerja sebagai tukang rumah dengan pendapatan RM50 sehari,

Namun sejak munculnya Covid-19 tahun lalu bermakna Mohd Azlam tidak boleh bekerja seperti biasa, sekali gus pendapatan mereka terputus. Pada ketika tertentu, kata Raja Sazila, mereka anak-beranak terpaksa mengikat perut.


Katanya, sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0, suami sudah tidak bekerja menjadikan keadaan semakin sukar.

“Jika ada telur sebagai hidangan itu sudah mencukupi dan kadang-kadang kulit ayam juga turut dijadikan lauk.

“Suami tidak mampu untuk menyewa di tempat lain. Maka di sini sahaja kami terpaksa bertahan. Menumpang tandas dan bilik mandi rumah ibu mentua.

“Bekalan elektrik juga terpaksa disambung dari rumah mentua. Tak ada apa yang diharapkan melainkan dapat tempat berteduh yang lebih selesa berbanding sedia ada,” katanya.

Terdahulu, keluarga tersebut menerima kunjungan Ketua Pemuda Amanah Kelantan, Hazmi Hassan, yang menghulurkan sumbangan kepada mereka.

Hazmi berkata, pihaknya melalui NGO Pertubuhan Amal Harapan Kelantan menyumbang sebuah motosikal kepada Mohd Azlam.

“Pada asalnya kami mahu membina rumah, tetapi sudah ada pihak lain yang menyatakan komitmen untuk membina rumah untuk keluarga ini.

“Jadi memandangkan mereka tidak mempunyai kenderaan, kami menghulurkan sumbangan sebuah motosikal berharga sekitar RM6,000 bagi memudahkan keperluan keluarga ini,” katanya.

Sementara itu Raja Sazila berkata, minggu lalu ada pihak yang hadir dan menyatakan hasrat membinakan rumah untuk mereka.

“Kami harap ia menjadi kenyataan, dan kami boleh berteduh di rumah yang lebih selesa,” ujarnya yang turut berterima kasih kepada pihak yang sudi membantu mereka.

PM umum pakej rangsangan baru bernilai RM150 bilion

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej rangsangan terbaru berikutan keputusan kerajaan melanjutkan fasa satu Pelan Pemulihan Negara.

Pengumuman tersebut disiarkan secara langsung pada jam 5 petang ini.

Semalam, Muhyiddin berkata fasa satu akan dilanjutkan sehingga kes Covid-19 kurang daripada 4,000 sehari, kapasiti katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) mencukupi dan 10 peratus penduduk diberi vaksin penuh.

Katanya, kerajaan akan mengumumkan bantuan yang lebih menyeluruh kepada semua golongan termasuk untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Negara hari ini mencatatkan lebih 5,000 kes Covid-19 untuk hari keenam berturut-turut, dengan Selangor kekal menjadi negeri yang merekodkan jumlah jangkitan tertinggi.

Menjelang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) bermula 1 Jun lalu, Muhyiddin mengumumkan bantuan ekonomi bernilai RM40 bilion di bawah inisiatif Pemerkasa Plus yang merangkumi suntikan fiskal langsung sebanyak RM5 bilion daripada kerajaan pusat.

Pada masa itu Muhyiddin berkata ia merupakan tambahan kepada pakej rangsangan yang diumumkan sebelum ini berjumlah lebih RM100 bilion.

Pemerkasa Plus menyaksikan tambahan RM2.1 bilion untuk program Bantuan Prihatin Rakyat, serta moratorium automatik selama 3 bulan atau boleh memilih untuk mendapatkan pengurangan bayaran balik secara ansuran sebanyak 50 peratus selama tempoh 6 bulan bagi B40, mereka yang hilang pekerjaan dan perusahaan kecil dan sederhana yang tidak dapat beroperasi semasa PKP.

Dengan pelaksanaan PKP 3.0, pelbagai pihak menggesa kerajaan memberikan lebih banyak bantuan, termasuk kebenaran mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di bawah kemudahan i-Sinar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *