Hiburan

Keputusan SPM dh keluar, Wawa Zainal nak hadiahkan RM200. Ini syaratnya

PETALING JAYA – Pelakon dan usahawan Wawa Zainal tidak lokek berkongsi rezeki untuk meraikan pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia 2020 (SPM 2020) yang diumumkan semalam.

Menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam InstaStory miliknya, Wawa atau nama sebenarnya Nur Hawa binti Zainal Abidin, 29, meminta pelajar yang memperoleh keputusan minimum 7A untuk menghubunginya menerusi Instagram bagi menuntut hadiah berupa wang tunai berjumlah RM200 setiap seorang.

“Tahniah kepada adik-adik yang dapat keputusan SPM tadi (semalam). Siapa yang dapat 7A? Mari DM (mesej peribadi) kak Wawa keputusan sebab nak bagi hadiah,” ujarnya.


WAWA membuat pengumuman terbuka pemberian hadiah wang tunai bernilai RM200 untuk setiap pelajar yang memperoleh minimum 7A dalam SPM 2020.
Isteri kepada pelakon Aeril Zafril itu ketika dihubungi Kosmo! Online memberitahu, dia cuma ingin berkongsi rezeki dan memberi penghargaan kepada pelajar SPM tahun lalu dalam mengharungi kepayahan belajar dalam suasana pandemik Covid-19.

“Saya kagum sebenarnya dengan mereka kerana ramai rupanya yang bijak pandai dan mendapat keputusan cemerlang dalam SPM walaupun terpaksa mengharungi kesukaran mengikuti sesi pembelajaran secara dalam talian.

“Saya sendiri mengakui sukar untuk fokus jika belajar secara maya, namun mereka membuktikan bahawa mereka boleh,” kata Wawa.

PAPARAN transaksi yang telah dilakukan Wawa sebagai hadiah buat pelajar-pelajar cemerlang SPM 2020.
Ditanya tentang sambutan yang diterima, Wawa berkata dia mendapat terlalu banyak mesej daripada pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang, namun tidak kisah untuk berbahagi rezeki kepada mereka.

“Kita tidak tahu mungkin ada dalam kalangan pelajar tersebut mungkin benar-benar hidup susah, tetapi cemerlang dalam SPM.

“Semoga rezeki yang saya kongsikan ini sedikit sebanyak dapat membuatkan mereka gembira,” katanya.

Rata-rata pengikut ig Wawa melahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih

Semalam, seramai 401,105 calon SPM 2020 memperoleh keputusan mereka yang diumumkan secara dalam talian.

Malah Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin maklum bahawa keputusan SPM 2020 yang diumumkan semalam adalah pencapaian terbaik dalam tempoh lima tahun.

Pencapaian calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2020 adalah lebih baik berbanding tahun sebelumnya dengan Gred Purata Nasional (GPN) adalah 4.80 berbanding 4.86 pada tahun 2019.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Radzi Jidin berkata, GPN tahun itu juga adalah yang terbaik dalam tempoh lima tahun.

“Ingin saya ingatkan bahawa nilai GPN yang lebih kecil menunjukkan pencapaian calon yang lebih baik.

“Jika kita lihat GPN tahun ini adalah 4.80 berbanding 4.86 pada tahun 2019. Data ini menunjukkan bahawa pencapaian calon adalah lebih tinggi pada tahun 2020 berbanding 2019.

“Analisis ini berdasarkan kepada calon yang mendaftar untuk kali pertama, untuk sekurang-kurangnya enam mata pelajaran dan menduduki sekurang-kurangnya satu mata pelajaran,” katanya pada sidang akhbar khas keputusan SPM 2020 secara maya pada Khamis.

Jelasnya, secara keseluruhan, seramai 401,105 calon mendaftar dengan 381,894 calon menduduki SPM 2020 yang berlangsung dalam dua sesi pada 22 Februari hingga 25 Mac lalu serta 6 hingga 23 April lalu.

Katanya, peperiksaan itu diadakan di 3,310 pusat membabitkan sebanyak 83 mata pelajaran.

“Ingin juga saya maklumkan bahawa Calon Layak Sijil SPM juga menunjukkan peningkatan sebanyak 1.96 peratus iaitu 88.68 peratus bagi SPM 2020 berbanding 86.72 peratus untuk SPM 2019.

“Bagi Calon Berkeperluan Khas (CBK) Layak Sijil SPM, terdapat 6.88 peratus peningkatan iaitu 68.22 peratus bagi SPM 2020 berbanding 61.34 peratus untuk SPM 2019,” katanya.

Radzi juga turut memberitahu keputusan peperiksaan itu boleh disemak mulai jam 10 pagi ini pada Khamis.

“Calon-calon atau ibu bapa boleh menyemak keputusan SPM 2020 ini melalui laman sesawang myresult1.moe.gov.my dan myresult2.moe.gov.my,” katanya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *