Hiburan

Melihat prestasi hambar skuad Harimau Malaya, ini tawaran menarik dari TMJ buat ramai teruja

Prestasi hambar skuad Harimau Malaya dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) ketika ini cukup membimbangkan.

Harian Metro menulis, Antara yang meluahkan rasa itu adalah pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang bimbang dengan kemerosotan pasukan negara.

Lantas, Tunku Ismail meminta izin dan menawarkan diri untuk mengendalikan serta menguruskan skuad kebangsaan dalam saingan antarabangsa selepas ini.

“Kepada Presiden FAM, izinkan saya mengendalikan pemain dalam pasukan kebangsaan. Saya akan memberi mereka kemudahan latihan dan jurulatih terbaik.

“Saya tidak dapat menjanjikan kejayaan segera, tetapi saya dapat memberi jaminan pasukan ini akan meningkat,” katanya di laman Story Instagram miliknya hari ini.

Tawaran Tunku Ismail itu susulan kekalahan demi kekalahan yang dialami oleh skuad kendalian Tan Cheng Hoe dalam empat aksi antarabangsa dilalui setakat ini.

Daripada empat aksi itu, Malaysia tewas dua kali dalam aksi persahabatan di tangan Kuwait dan Bahrain dengan keputusan 1-4 dan 0-2.

Prestasi longlai itu berterusan dalam dua aksi kelayakan apabila tumbang 0-4 kepada UAE sebelum kalah 0-2 dengan Vietnam pada Jumaat lalu.

Ujar Tunku Ismail lagi, terdapat beberapa faktor yang mungkin menyebabkan kemerosotan mendadak pasukan meskipun skuad kali ini dilabel antara yang terbaik ekoran kehadiran tiga tonggak naturalisasi iaitu Guilherme de Paula, Liridon Krasniqi dan Mohamadou Sumareh.

Malah, kekuatan skuad Harimau Malaya di atas kertas semakin ampuh apabila pertahanan kacukan Belgium-Malaysia, Dion Cools diumumkan sebagai pemain ke-26 pasukan.

Katanya, beliau akan melakukan perkara sama yang dilaksanakan di JDT sekiranya diberi tanggungjawab untuk menguruskan pasukan negara.

“Anda ingin tahu apakah perkara pertama yang saya buat di JDT? Saya mengawal akses atau pasukan.

“Dari media, wartawan, syarikat, dan juga pemain menggunakan media sosial,” kata bekas Presiden FAM itu.

Ujarnya lagi, beliau juga akan memastikan kriteria pengambilan pemain naturalisasi diperketatkan bagi membolehkan mereka yang terbaik sahaja menyarung jersi Malaysia.

“Ketika ini menjalankan tugas negara bukan lagi misi atau tugas besar bagi sesetengah pemain. Ia seperti percutian musim panas, sistem mesti berubah.

“Lepas ini naturalisasi jangan sebarang sebarang. Akan dikendalikan dan dianalisis oleh pasukan teknikal pasukan kebangsaan. Sama ada pemain sesuai dengan gaya permainan kita”.

Berikut status yang di muat naik oleh TMJ di IG Story yang menarik perhatian banyak pihak

De Paula tak sesuai wakili Harimau Malaya – TMJ

Sekalipun tidak menilai Guilherme de Paula hanya berdasarkan satu perlawanan, pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyifatkan penyerang kelahiran Brazil itu tidak sesuai untuk dijadikan ‘Harimau Import.’

Ini berikutan usia pemain itu yang kini mencecah 34 tahun boleh dianggap lanjut sekali gus tidak memungkinkan dia untuk beraksi bagi tempoh jangka masa panjang bersama skuad kebangsaan.

“Saya tiada apa-apa isu dengan De Paula, dia pun pemain saya. Cuma apabila kita naturalisasikan dia, umurnya tidak sesuai untuk diberi peluang terbabit. Kita kena cari untuk jangka masa panjang di mana mereka boleh bermain sekurang-kurangnya empat atau lima tahun untuk skuad kebangsaan,” katanya dalam sesi temubual menerusi program Nindia Bola bersama Hafizal Hamad di laman Instagram, kelmarin.

Terdahulu, De Paula menjadi sasaran kritikan peminat dan dilabel pemalas selepas gagal menyerlah ketika Harimau Malaya dibelasah 4-0 oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu yakin seorang lagi pemain JDT, Gonzalo Cabrera yang dijangka menjadi pemain tempatan pada tahun depan pasti menjadi aset terbesar buat skuad kebangsaan memandangkan dia pemain yang versatil.

“Gonza pula akan jadi aset pasukan kebangsaan kerana dia boleh bermain sebagai penyerang tengah, di belakang penyerang, sayap kiri, ‘False 9’ dan pemain tengah menyerang. Dia ada kualiti khususnya untuk menjana serangan ke depan.

“Saya rasa dia akan ada impak yang besar untuk skuad kebangsaan. Begitu juga dengan Endrick (Dos Santos) atas faktor usianya kalau dia diperlukan dalam skuad kebangsaan,” katanya

Tunku Ismail Sultan Ibrahim tiada ada apa-apa isu dengan De Paula.

sumber: hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *