Hiburan

Finas serbu lokasi penggambaran filem, ini yang mereka jumpa

SEBUAH syarikat produksi yang melakukan penggambaran di sebuah pusat beli-belah di Cheras diserbu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) pada Selasa lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif, Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, serbuan yang dilakukan Unit Penguatkuasa, Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan Finas selepas mengesan terdapat produksi menjalankan aktiviti penggambaran di premis itu ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Saya meminta semua syarikat produksi di negara ini tidak sesekali melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKP 3.0 yang kini masih dilaksanakan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan kepada media pada Jumaat.

Tempoh fasa pertama PKP yang bermula sejak 15 Jun lalu dilanjutkan sehingga nilai ambang Pelan Pemulihan Negara (PPN) kurang 4,000 kes.

Pada 11 Jun lalu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa negara diletakkan di bawah PKP bermula 15-28 Jun.

Keadaan di set penggambaran yang diserbu Finas.

Dalam pada itu, Ahmad Idham memberitahu tindakan penguatkuasaan sudah diambil ke atas pihak terbabit dan kes disiasat di bawah Seksyen 22 (1) Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Akta 244).

“Finas ingin mengingatkan kepada semua syarikat produksi untuk terus mematuhi segala SOP dan garis panduan yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam membendung kes penularan Covid-19 ketika ini.

“Justeru, Finas akan memberi komitmen bertindak lebih agresif dalam menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan pematuhan SOP ketika PKP 3.0 ini.

“Pihak kami juga mengalu-alukan sebarang aduan daripada masyarakat awam sekiranya mengetahui ada aktiviti penggambaran dijalankan,” katanya.

Sementara itu, Finas juga tidak akan teragak-agak untuk bertindak jika mendapati berlaku pelanggaran SOP membabitkan aktiviti penggambaran yang sememangnya tidak dibenarkan ketika ini.

Terdahulu Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yassin, Fasa 1 PKP 3.0 akan diteruskan sehingga nilai ambang Pelan Pemulihan Negara (PPN) kurang 4,000 kes.

Kerajaan juga akan mengumumkan mengenai bantuan menyeluruh yang akan diberikan kepada rakyat pada Isnin atau Selasa ini.

Pada 11 Jun lalu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa negara diletakkan di bawah PKP bermula 15-28 Jun.

Walaupun berita palsu berkaitan lanjutan PKP 3.0 tular pada Sabtu, namun situasi dan keadaan semasa Covid-19 berdasarkan nilai ambang PPN dilihat tidak memungkinkan negara beralih ke Fasa 2. – Sinar Harian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *