Uncategorized

Datuk Ayob Khan dedah mcm mana Long Tiger buka gari sebelum lari ke utara

Johor Bahru: Lelaki Rohingya dikenali sebagai Long Tiger atau nama sebenar Abd Hamim Ab Hamid, 33, yang meloloskan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak, pada 15 Disember lalu, dipercayai dalam perjalanan melarikan diri ke negara jiran sebelum ditahan di Jalan Kuala Ketil, Alor Setar, Kedah, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, banduan itu turut dibantu oleh dua individu lain untuk melarikan diri ke Kedah.

“Hasil siasatan polis membuat tangkapan susulan ke atas dua lelaki berusia 36 dan 38 tahun yang dipercayai bersekongkol dengan suspek di sekitar Batu Pahat, antara jam 7.25 malam hingga 3 pagi tadi.

“Mereka dipercayai membantu suspek dengan memotong gari selain membeli kad sim sebelum melarikan diri ke utara negara.

“Polis percaya Long Tiger yang melarikan diri ke Kedah dalam perjalanan keluar dari negara ini, sama ada ke Thailand dan Indonesia,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Media sebelum ini melaporkan Long Tiger yang berjaya ditahan semalam, didapati menyembunyikan diri di rumah seorang pondan di Jalan Kuala Ketil, dekat sini.

Ketika ditahan kira-kira jam 3 petang itu, Long Tiger dikesan sekali lagi cuba melarikan diri dengan memanjat bumbung namun tergelincir jatuh di lantai dapur rumah.

Untuk rekod, Long Tiger meloloskan diri melalui pintu utama Mahkamah Majistret Tangkak sebelum perbicaraan bermula pada 15 Disember lalu, kira-kira jam 11.55 pagi.

Sejak kehilangannya, Long Tiger menjadi buruan polis selain peguam mewakilinya, Datuk Sharudin Ali turut menarik diri daripada mewakilinya.

Dua anggota polis turut digantung tugas bagi membantu siasatan berhubung insiden berkenaan kerana disyaki terbabit secara langsung atas kesalahan cuai sehingga menyebabkan tahan itu melarikan diri.

Peguam Long Tiger tarik diri

Johor Bahru: Peguam Datuk Shaharudin Ali menarik diri daripada mewakili lelaki Rohingya, Ab Hamim Ab Hamid atau dikenali sebagai Long Tiger yang kini menjadi buruan polis.

Shaharudin berkata, beliau yang juga Peguambela dan Peguamcara bagi Shaharudinali Azfarazmi & Co, sebelum ini dilantik mewakili Ab Hamim dalam beberapa kes jenayah dan sivil lelaki itu yang sedang berjalan.

“Kami dengan berat hati terpaksa menarik diri sebagai peguambela Ab Hamim dalam kes-kes berkenaan kerana mengalami masalah untuk mendapatkan arahan seterusnya daripada anak guam bagi maksud perjalanan kes yang membabitkan dirinya.

“Sebagai peguambela, kami juga merasai, Ab Hamim telah melarikan diri semasa perjalanan prosiding kes beliau dan ini mencerminkan bahawa dia tiada keyakinan dengan khidmat guaman oleh pihak kami selain tiada keyakinan dengan prosiding mahkamah yang sedang berlangsung.

“Namun begitu, Ab Hamim mungkin mempunyai sebab sebab tertentu mengapa dia mengambil tindakan sedemikian dan tetap tidak bersalah kecuali selepas disabitkan mahkamah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Minggu lalu, media melaporkan orang ramai diminta tampil membantu polis mengesan Abd Hamim, 33 tahun yang juga warga Myanmar selepas meloloskan diri daripada lokap Mahkamah Majistret Tangkak, di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohd Fadhil Minhat, berkata polis kini melancarkan Ops Tutup di sekitar daerah berkenaan dalam usaha mengesan suspek yang melarikan diri dalam keadaan tangan bergari.

Dalam kejadian itu, suspek memakai baju T cerah, berseluar panjang coklat serta memakai selipar, melarikan diri dari lokap dengan keadaan tangan bergari, kira-kira jam 11.55 pagi.

Minggu lalu, Shaharudin dilaporkan mendakwa terkejut dengan insiden anak guamnya itu meloloskan diri daripada lokap Mahkamah Majistret Tangkak selain dilaporkan mendakwa anak guamnya itu menerima ugutan untuk mencederakan atau membunuhnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.