Amalan

Jangan Panik! Ini Tip Penting Sekiranya ‘Terpaksa’ Memandu Redah Jalan Yang Dinaiki Air

Ketika hujan ada setengah jalan akan dinaiki air. Kita pun redah saja kerana nampak air cetek dan kereta di hadapan mampu melepasinya.

Tapi bila dah melalui jalan tersebut kita jadi gelabah kerana rupanya paras air agak tinggi. Ini antara situasi biasa dilalui oleh pemandu ketika musim hujan.

Jika anda berada dalam keadaan ini, berikut adalah cara pemanduan yang perlu kita praktikkan.

1.Paling penting sebolehnya elak daripada redah banjir! Jangan fikir kereta di hadapan anda lepas, kereta anda juga boleh lepas. Lebih selamat berpatah balik.

2. Jika satu-satunya jalan keluar adalah dengan mengharungi jalan dinaiki air, pandu dengan perlahan-lahan pada gear rendah/gear 2 (dalam 20km/h) pada kelajuan yang tetap.

3. Jangan lepaskan minyak, teruskan revving engine kenderaan anda kerana air boleh masuk melalui ekzos dan kotak angin. Bagi kereta manual, jangan tukar-tukar gear ketika meredahi banjir dan bagi yang automatik kekalkan pada D atau lebih rendah.

4. Jangan panik dan jangan cuba memandu laju. Memandu laju dalam banjir boleh menyebabkan tayar hilang cengkaman dan boleh menyebabkan aquaplaning (tayar kenderaan berada atas air bukan atas jalan)

Kalau terjadi aquaplaning ini, pegang kuat dan kemas steering anda dan lepaskan pedal minyak sampai tayar grip semula di atas permukaan jalan.

5. Setelah berjaya mengharungi jalan yang banjir, uji break dahulu. Mula-mula tekan break sampai anda yakin brek berfungsi. Kemudian pegang stering dengan kuat dan tekan brek sedikit demi sedikit untuk beberapa kali bertujuan untuk mengeringkan brek.

6. Kalau kereta telah di kelilingi air anda gagal melepasi banjir, tinggalkan kereta cepat-cepat dan terus pergi ke tempat yang lebih tinggi. Selamatkan nyawa anda dulu daripada kereta.

Bahayanya jalan dinaiki air ini adalah kita tidak tahu berapa kedalaman air. Kereta berisiko dihanyutkan air jika paras air terlalu tinggi.

INFO

Air setinggi lebih kurang 6 inci sudah cukup untuk mencecah bawah kereta dan menyebabkan kereta hilang kawalan dan boleh terbalik!

Paras air sekaki (lebih kurang 30cm) sudah boleh terapungkan kereta kalau lebih lagi, kenderaan boleh hanyut.

Jalan-jalan yang ditenggelami air dianggap tidak boleh dilalui kereta sekiranya -Paras banjir sedalam 0.35m (14″) di permukaan jalan. –Sekiranya paras banjir meningkat sedalam 0.76m (2’6″) di permukaan jalan ia tidak boleh dilalui semua kenderaan.

Sumber: AFS auto garage

Keadaan banjir di Shah Alam pada Sabtu. foto ihsan penduduk Alam Sanjung, Batu 3 Shah Alam

Hujan sehari bersamaan hujan sebulan di Selangor – PM

TABURAN hujan pada Sabtu adalah bersamaan dengan taburan hujan untuk sebulan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dengan merujuk kepada kejadian banjir di Selangor, Ismail Sabri berkata, perkara tersebut dimaklumkan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa).

“Hujan yang berlaku di Selangor semalam (Sabtu) yang berlaku satu hari tu, biasanya berlaku untuk satu bulan. Jumlah hujan yang turun satu hari tu sepatutnya jumlah dalam satu bulan.

“Sebab itulah bila berlaku tiba-tiba seperti itu, maka berlaku kekalutan. Sebab itu tidak ada persediaan untuk berpindah rumah dan sebagainya. Tak sangka air naik begitu cepat,” katanya pada sidang media, petang Ahad.

Ismail Sabri berkata, keadaan itu menyebabkan penduduk yang terjejas akibat banjir terkandas dan terpaksa menunggu bantuan untuk dibawa ke tempat pemindahan sementara.

“Ada yang terpaksa tunggu di rumah untuk diambil oleh agensi-agensi terlibat dari segi perpindahan.

“Makanan tak dapat dihantar semalam sebab semua jalan ditutup. Jalan ditenggelami air. Kalau ada pun, jalan penuh dengan kereta yang tersangkut, tak memungkinkan lalu untuk menghantar makanan,” katanya.

Beliau bagaimanapun difahamkan keadaan banjir di Selangor semakin pulih pada Ahad.

Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata, isu mereka yang terperangkap dalam banjir telah selesai.

“Bagaimanapun kalau tak pulih, kita mempunyai alternatif lain. Kita dah bincang kalau ada jalan yang tidak boleh dilalui, helikopter pun akan kita gunakan untuk menghantar makanan.

“Bagi kita, hari ini tidak ada isu lagi sepatutnya timbul. Semua isu yang timbul semalam kita anggap selesai,” katanya yang merujuk kepada bantuan dari segi pemindahan dan penghantaran makanan untuk mangsa banjir membabitkan agensi-agensi berkaitan.

Hujan berterusan di beberapa negeri termasuk di Selangor dan Kuala Lumpur sejak Jumaat, mengakibatkan banjir di beberapa kawasan seperti Klang, Shah Alam dan Hulu Langat.

Leave a Reply

Your email address will not be published.