Uncategorized

“Kehilangan seorang abang dalam GV” – Dato Fazley ulas isu Upiak menangis

Penyingkiran Datuk Fazley Yaakob pada konsert Gegar Vaganza lapan (GV8) minggu keempat malam tadi, ternyata memberi impak cukup besar untuk penyanyi Upiak Isil.

Pertemuan secara tidak diduga antara Upiak dan Fazley usai konsert keempat semalam menjadikan pekarangan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) ‘dibanjiri’ dengan tangisan penyanyi Indonesia itu.

Difahamkan, momen penuh emosi itu berlaku ketika Upiak sedang memasuki kenderaan.

Bagaimanapun, kehadiran Fazley yang secara tiba-tiba melalui jalan sama menyebabkan Upiak terus dilanda emosi, sekali gus mengalirkan air mata.

Dalam sekelip mata, suasana pekarangan PICC yang sebelum ini ceria terus bertukar hiba.

Menurut Fazley, kesedihan dialami Upiak itu terjadi kerana hubungan antara mereka berdua sangat rapat.

“Dalam GV saya paling rapat dengan dua orang iaitu Bandi Amuk dan Upiak. Upiak ni rapat sebab kami sebenarnya satu kampung dekat Bukit Tinggi

“Atuk saya belah ibu memang daripada situ dan kebetulan kampung Upiak sebelah-sebelah je.

“Upiak pun banyak cabarannya di sini, banyak masalah dihadapi, jadi Upiak bercerita pada abang.

“Banyak perihal masalahnya. jadi saya banyak bagi semangat, kekuatan, bantu bagi dia keyakinan bila dia down, pasal baju la, show la,” katanya.

Jelas Fazley, disebabkan semua itu, hubungan mereka semakin rapat dan Upiak menganggapnya sebagai abang.

“Jadi mungkin kesedihan tadi dia rasa kehilangan sebab dah tak ada abang dalam GV,” katanya.

Untuk rekod, Datuk Fazley Yaakob menjadi bintang Gegar Vaganza 8 (GV8) kedua tersingkir pada konsert keempat yang berlangsung sebentar tadi.

Bertemakan Berdiri Bulu Romaku, Fazley yang menyanyikan lagu Mahligai Syahdu hanya mampu menerima markah 50% berbanding bintang lain.

PUNCA KENAPA DATO FAZLEY TERSINGKIR

Maestro muzik terkenal, Datuk Ramli MS memuji keberanian cef selebriti Datuk Fazley Yaakob yang berjuang habis-habisan hingga minggu keempat Gegar Vaganza 8 (GV8).

Biarpun tersingkir awal, kata Ramli, Fazley sudah menunjukkan keberaniannya dan mencabar diri dalam bidang nyanyian.

“Tekad keberanian dia masuk dalam GV saya respek dan kagumi. Dia berani walaupun dia mungkin berisiko terkeluar awal.

“Saya tak rasa dia nak popular sebab dia dah ada platform lain. Tapi dia nak menyanyi, tak apa. Saya kagum,” komen Ramli.

Dalam pada itu, ulas Ramli, juara Masterchef Selebriti Malaysia 2012 itu hilang banyak markah pada vokalnya menerusi persembahan lagu Mahligai Syahdu (Datuk Hattan).

Dibandingkan secara keseluruhan, Fazley hanya berjaya mengumpul markah sebanyak 50%, kurang 0.5% dari penyanyi negara seberang, Upiak Isil.

“Kalau tengok kreativiti, ia duduk dalam persembahan iaitu cuma 20 peratus. Vokal 80 peratus dan hilang banyak markah pada vokal.

“Kadang-kala dia tak menolong walau dapat markah tinggi dari segi persembahan pentas, memang dia dapat agak tinggi.

“Tapi secara matematiknya, markah vokal lagi tinggi jika dibandingkan dengan persembahan pentas,” ujarnya lagi.

Dihoskan oleh Jihan Muse dan Nabil Ahmad, GV8 bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selama 10 minggu pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam.

GV8 turut menampilkan Datuk Ramli MS dan mengembalikan Hetty Koes Endang serta Datuk Syafinaz Selamat sebagai juri tetap dan akan dibantu juri jemputan setiap minggu.

Sumber : GEMPAK

Leave a Reply

Your email address will not be published.