Uncategorized

Pemilik muntah ikan paus dakwa sudah uji ketulan, sekali UMT tunjuk kajian ini

Kuala Terengganu: Pengesahan ketulenan perlu dibuat untuk memastikan sama ada ketulan yang didakwa muntah ikan paus atau ambergris yang ditemukan berhampiran jeti Lembaga Kemajuan Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Marang November lalu mempunyai nilai sangat tinggi dalam industri minyak wangi atau hanya kandungan lemak semata-mata.

Pengarah Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan (PPPL) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Profesor Madya Dr Hasrizal Shaari berkata, bersesuaian dengan harganya yang sangat tinggi di pasaran, ketulenan ambergris perlu melalui satu analisis makmal yang kompleks dan perlu dirujuk kepada satu standard yang khusus.

“Setakat ini, UMT adalah satu-satunya universiti di Malaysia yang berupaya untuk menentusahkan ketulenan sampel ambergris itu berdasarkan kepakaran PPPL yang turut dibantu oleh pakar di Fakulti Sains dan Sekitaran Marin UMT serta Universiti Plymouth di England,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Ambergris adalah bahan berwarna kelabu atau kehitaman kusam yang padat, berlilin dan mudah terbakar. Bahan berharga ini dihasilkan oleh rembesan saluran hempedu yang terdapat di dalam sistem pencernaan ikan paus sperma.

Ambergris sangat dihargai oleh pembuat minyak wangi sebagai bahan penetap yang membolehkan aroma minyak wangi tahan lebih lama, namun kesukaran mendapatkan ambergris menyebabkan kebanyakannya kini digantikan oleh ambroksida sintetik.

Hari ini, media melaporkan seorang wanita dari Kemaman menjumpai ’emas terapung di lautan’ itu ketika memancing berhampiran jeti Lembaga Kemajuan Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Marang pada akhir November lalu.

Mengulas lanjut, Hasrizal berkata muntah ikan paus yang bernilai tinggi akan mempunyai bahan aktif yang terdiri daripada tiga bahan utama iaitu ambrein (25 hingga 45 peratus), epicoprosterol 30 hingga 40 peratus) dan coprostanone (tiga hingga empat peratus).

“Tanpa kandungan tiga bahan aktif berkenaan ketulan itu tidak mempunyai apa-apa nilai. Setakat ini, PPPL UMT telah melakukan analisis bagi menentusahkan ketulenan 18 sampel yang dipercayai ambergris sebelum ini.

“Kesemua 18 sampel yang dihantar untuk dilakukan ujian itu tidak menunjukkan kehadiran tiga bahan aktif yang menjadi elemen penting kepada ketulenan sesuatu sampel ambergris dan ia langsung tidak mempunyai harga di pasaran,” katanya.

Untuk menjalankan proses itu, UMT mengenakan sedikit bayaran untuk membuat analisis dan keputusannya boleh diketahui dalam tempoh seminggu.

Sehubungan itu, UMT sedia menawarkan kepakarannya untuk mengesahkan ketulenan muntah ikan paus yang dijumpai itu untuk memudahkannya membuat keputusan.

Saya sudah uji ketulan ini, bila dibakar ia meleleh, berbau wangi’

Chukai: “Kalau kena dengan harganya saya akan jual,” kata Aida Zurina Long, 41, yang bersedia menjual ketulan yang dipercayai muntah ikan paus yang ditemuinya.

Aida berkata, setakat ini, dia tidak menerima sebarang panggilan daripada mana-mana pihak yang menyatakan minat membeli muntah ikan paus terbabit.

“Saya bersama suami dan ayah sudah berbincang dan bersetuju untuk menjual ‘barang’ ini. Kalau ada yang berminat boleh datang berbincang.

“Saya sudah timbang muntah ikan paus ini. Beratnya melebihi lima kilogram dan kini muntah itu menjadi sedikit keras berbanding ketika saya menemuinya pada November lalu ,”katanya.

Katanya, dia dan suaminya sudah menguji dengan membakar ketulan itu dan ianya meleleh seperti lilin serta mengeluarkan bau yang wangi,

“Kami membuat ujian itu sebagaimana yang saya lihat di Internet dan hasil ujian itu seakan sama sebagaimana muntah ikan paus yang asli.

“Jadi saya tak letak benda itu seratus peratus asli dan sekiranya ada pihak ingin membuat ujian di makmal bagi mengesahkan kesahihan benda ini saya bersedia untuk bekerjasama,” katanya.

Aida berkata, setakat ini dia dimaklumkan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menawarkan kepakaran untuk mengesahkan ketulenan muntah ikan paus terbabit.

“Setakat ini saya tidak mendapat panggilan daripada UMT dan saya sedia memberi kerjasama,” katanya.

Pada Januari lalu, seorang nelayan di Thailand, Chalermchai Mahapan, 20, menemui ketulan lilin yang dipercayai muntah ikan paus dan berjaya menjual dengan harga bernilai 210,000 paun (RM1.16 juta).

Penemuan muntah ikan paus sebelum itu turut ditemui nelayan di Bengkelulu, Indonesia pada 2017, sekali gus menjadi jutawan segera dengan berjaya menjual muntah terbabit seberat 150 kilogram dengan harga 22 juta rupiah sekilogram membolehkan dia memperoleh 3.3 bilion rupiah (RM927,000).

Muntah ikan paus digunakan dalam pengeluaran kosmetik dan pewangi agar bau wangian itu kekal lama menyebabkan harganya mahal dan sesetengah saintis menggelar ia emas terapung.

Pada 2016, nelayan Oman menjual 80 kilogram muntah paus ditemuinya dengan harga AS$2.5 juta (RM10.4 juta ) dan pada 2013, seorang lelaki di Britain menemui ketulan 2.7 kilogram muntah paus di pantai Lancashire yang dianggar bernilai £100,000 (RM549,623).

Leave a Reply

Your email address will not be published.