Uncategorized

Penjaja di lampu isyarat muncul kembali, alasan mereka sanggup b4hayakan diri buat ramai bergenang air mata

SHAH ALAM: Penjaja di persimpangan lampu isyarat dilihat muncul kembali walaupun kerajaan sudah melarang aktiviti tersebut dijalankan di lokasi berkenaan pada tahun lalu kerana ia bukan sahaja mengundang bahaya kepada mereka bahkan turut mengganggu lalu lintas.

Tinjauan Sinar Harian di Seksyen 29 dan 30, di sini pada Selasa mendapati mereka mula kembali menjaja di persimpangan lampu isyarat bermula jam 9 pagi.

Hasil tinjauan mendapati penjaja terbabit bertindak berjalan di atas pembahagi jalan sambil membawa makanan yang telah dibungkus untuk dijual kepada pemandu yang sedang menunggu lampu isyarat berubah kepada warna hijau.

“Memang kerajaan dah larang sebelum ini tetapi saya terdesak, kalau saya tidak buat begini, siapa nak sara keluarga saya.”

Salah seorang penjaja yang ingin dikenali sebagai Rizal, 27, berkata, dia mula menjual jeruk mangga di persimpangan lampu isyarat itu setelah kehilangan pekerjaan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu.

Rizal yang pernah berniaga di Banting, Kuala Langat itu berkata, walaupun hasil jualan makanan terbabit boleh mencecah sehingga RM900 sehari, namun untung bersih daripada jualan itu hanya sekitar RM200 sahaja setelah membayar gaji pekerja dan pemotong buah, termasuk kos perjalanan dan bahan mentah.

“Kadang-kadang jual ini pun bukan laku sangat, ada masanya gaji pekerja saya hanyalah sekitar RM30 hingga RM70 sehari.

“Sepanjang tempoh saya berniaga, tidak ada kemalangan melibatkan pekerja kerana saya sudah latih mereka untuk lebih berhati-hati untuk mengelak daripada insiden tersebut, selain tidak memaksa memaksa pemandu membeli makanan yang dijual itu.

“Memang kerajaan dah larang sebelum ini tetapi saya terdesak, kalau saya tidak buat begini, siapa nak sara keluarga saya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Selasa.

Dalam perkembangan lain, Sinar Harian turut mendapatkan pandangan orang ramai tentang penjaja yang berniaga di persimpangan lampu isyarat yang rata-rata risaukan keselamatan mereka.
Penjaja mula berniaga di persimpangan lampu isyarat di Seksyen 30, di sini bermula pada jam 9 pagi.
Bagi Nurul Akqmie Badrul Hisham, 35, dia mengakui kurang selesa apabila melihat penjaja menjual di persimpangan lampu isyarat selain dihimpit rasa bersalah dan simpati terhadap golongan berkenaan jika dia tidak membelinya.

Menurutnya, pemandu juga mempunyai titik buta yang menyukarkan mereka untuk mengesan kehadiran penjaja, sekali gus membahayakan golongan tersebut yang terdedah kepada risiko kemalangan.

“Kita risau bila kita nak beli, lampu isyarat berubah hijau. Jadi ia mengganggu proses pembelian dan trafik serta membahayakan diri mereka.

“Kita sebagai pemandu juga mempunyai beberapa titik buta yang mana, kita pun tak nampak di mana mereka (penjaja) berada, jadi kita risau akan mencederakan mereka terutama ketika waktu hujan dan malam,” katanya yang juga seorang pensyarah di sebuah universiti tempatan.

Turut senada dengannya, Nurul Hayati Mohamad Nor, 28, yang bersimpati dan risau terhadap keselamatan penjaja di persimpangan lampu isyarat.

Dia yang tinggal di Ampang berkata, ada masanya dia mudah bersimpati dengan golongan tersebut yang kelihatan terdesak sehingga sanggup berpanas dan berhujan demi mencari pendapatan, walaupun kerajaan telah melarang mereka berbuat demikian.
“Saya mudah simpati dengan orang, jadi saya rasa mereka mesti ada alasan yang kukuh untuk terus menjaja di persimpangan lampu isyarat sehingga sanggup mengabaikan larangan kerajaan untuk berbuat demikian.

“Mungkin mereka benar-benar perlukan wang ataupun menjaja di persimpangan lampu isyarat lebih menguntungkan berbanding di tempat lain, sebab itu saya masih membeli daripada mereka,” ujarnya.

Bagaimanapun pendapat berbeza disuarakan, Nooramalina Roslan, 28, yang menegaskan bahawa dia tidak akan membeli makanan daripada penjaja di persimpangan lampu isyarat kerana bimbangkan

keselamatan mereka yang rata-rata dilihat kurang memberi perhatian terhadap keadaan trafik di lokasi tersebut.

Dakwanya, mungkin penjaja tersebut memilih untuk berniaga di tempat demikian kerana lebih mudah untuk mencari pendapatan di lokasi berkenaan berbanding menjaja di gerai.

“Saya rasa ini merupakan jalan singkat untuk mereka mencari pendapatan, berbanding dengan membuka sebuah gerai tepi jalan.

“Sedangkan pada saya, mereka boleh membuka gerai ataupun letakkan makanan mereka di kedai atau stesen minyak,” katanya yang tinggal di Kajang.

(Gambar hiasan) Seorang lelaki menjalankan aktiviti menjaja di persimpangan lampu isyarat.

Polis Saman 215 Penjaja di Persimpangan Lampu Isyarat

SHAH ALAM, 4 JAN : Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Ops Khas Penjaja Jalanan telah mengeluarkan sebanyak 215 saman dan 137 tindakan advokasi terhadap peniaga yang menjaja di persimpangan lampu isyarat di seluruh negara.

Timbalan Pengarah I, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, sebanyak 11 tindakan rampasan turut diambil dalam Ops Khas yang bermula dari 13 hingga 31 Disember tersebut.

Menurutnya, Ops Khas selama 19 hari berkenaan dijalankan untuk mengurangkan risiko kemalangan terhadap pengguna jalan raya dan penjaja itu sendiri.

“Lokasi yang sering berlakunya aktiviti ini adalah di persimpangan lampu isyarat jalan dengan penjaja menjual makanan jeruk mangga dan lain-lain makanan serta minuman.

“Aktiviti seperti ini sekiranya tidak dikawal boleh mendatangkan risiko bahaya dan kemalangan kepada penjaja itu sendiri dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, aktiviti jualan seumpama itu adalah satu kesalahan di bawah Kaedah 10A (1) Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan 1959 (LN 166/59) yang menyatakan tiada urusan jual beli di persimpangan atau mana-mana jalan raya.

“Individu yang terlibat dalam urusan jual beli boleh didenda tidak melebih RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan jika disabitkan kesalahan,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Nadzri berkata, pihaknya menyeru semua penjaja yang menjual jeruk mangga, atau apa sahaja makanan dan minuman supaya berhenti menjaja di persimpangan lampu isyarat serta persimpangan jalan raya.

“JSPT akan terus menjalankan operasi sebegini supaya mereka mematuhi arahan serta peraturan undang-undang yang telah ditetapkan,” ujar beliau.

*Berita asal di Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published.