Amalan

Selepas tular kanak-kanak R0hingya minta sedekah, ini keadaan terkini di Plaza Imbi dan Bukit Bintang

Kuala Lumpur: Lengang dan tiada langsung kelibat kanak-kanak peminta sedekah dipercayai warga Rohingya kelihatan berlegar di kawasan sekitar ibu kota yang menjadi ‘port’ mereka melakukan kegiatan itu.

Itu hasil tinjauan Harian Metro hari ini bersama jurugambar di empat kawasan dipercayai mencari tempat ‘cari makan’ kumpulan kanak-kanak terbabit.

Tinjauan bermula jam 10 pagi di sekitar Jalan Kampung Pandan iaitu salah satu lokasi yang tular di laman sosial baru-baru ini namun tidak kelihatan seorang pun kanak-kanak berlegar di laluan berkenaan.

Wartawan kemudian meninjau di lokasi berikutnya di sekitar Plaza Imbi dan Bukit Bintang namun tiada juga kelibat kanak-kanak berkenaan selepas kira-kira sejam berada di situ.

Salah seorang peniaga nasi lemak dikenali Amran, 46, berkata dia pernah melihat kanak-kanak terbabit sebelum ini dan mengakui mereka sering berada di situ untuk meminta sedekah daripada orang yang lalu lalang.

“Selalunya mereka sudah ada pada waktu begini (jam 11 pagi) tetapi hari ini tiada pula.

“Saya memang pernah melihat mereka berlegar di sini,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peniaga dikenali Samad, 49, berkata dia juga pernah melihat kanak-kanak peminta sedekah yang tular di laman sosial itu pada hari tertentu.

“Ada hari, dia dan rakannya memang ada di sini cuma tidak tentu masa. Kadang ada, kadang tiada,” katanya.

KEADAAN di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur kelihatan lengang daripada pengemis kanak-kanak warga asing. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Seterusnya, wartawan dan jurugambar meninjau di sekitar pusat beli-belah terkemuka dan sebuah restoran makanan segera di Jalan Bukit Bintang namun yang ada hanya orang ramai dan peminta sedekah dewasa dipercayai bukan warga tempatan.

Seorang peniaga kedai gajet dan aksesori, Arash Arshad, 33, yang ditemui berkata, kali terakhir dia melihat kanak-kanak itu adalah pada malam menjelang Tahun Baru dan 1 Januari lalu.

“Saya pernah melihat kanak-kanak itu kerana memang ini kawasan dia meminta sedekah.

“Cuma, dia selalu ada di sini pada hujung minggu, selalunya pada waktu petang,” katanya.

Sebelum beredar, wartawan memandu di sekitar laluan dan lampu isyarat dekat Jalan Sultan Ismail, di sini yang juga menjadi kawasan kumpulan kanak-kanak terbabit meminta sedekah namun tiada juga kelibat mereka kelihatan.

Sejak beberapa hari lalu, tular di laman sosial video kanak-kanak dipercayai warga Rohingya meminta sedekah daripada pemandu kenderaan di tengah kesibukan jalan raya di ibu kota.

Menerusi video yang tular, kelihatan seorang kanak-kanak lelaki berjalan menghampiri sebuah kereta kemudian mengetuk pintu dan tingkap sambil menunjukkan jari telunjuknya dengan wajah bengis.

Dia turut bertindak agresif ketika meminta sedekah di lokasi lain dalam satu rakaman video yang berlainan.

Menerusi satu lagi video yang tular, kelihatan seorang kanak-kanak lelaki lain menunjukkan isyarat lucah ketika meminta wang daripada pengguna yang memandu di Jalan Sultan Ismail, di sini.

Insiden itu berlaku ketika jalan sesak disebabkan hujan lebat.

Azalina: Jangan salahkan pengemis kanak-kanak…

Sebuah video yang tular di media sosial menunjukkan kanak-kanak mengetuk pintu kereta untuk menuntut wang telah menimbulkan reaksi xenofobia atau ketakutan dan kebencian yang dianggap asing atau pelik.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said berkata mereka tidak harus dipersalahkan apabila sebenarnya, negara yang gagal menghalang mereka daripada dijadikan sebagai pengemis.

“Kanak-kanak Rohingya tidak patut dipersalahkan apabila mereka terjerumus ke jalanan.

“Kita gagal memberikan perlindungan yang sewajarnya apabila mereka menjadi pengemis atas permainan orang dewasa.

“Di mana Majlis Penyelarasan untuk Perlindungan Kanak-kanak?” soal ahli parlimen Umno itu.

Azalina juga adalah penasihat khas mengenai hak asasi manusia kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata Seksyen 32 Akta Kanak-Kanak memperuntukkan denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali bagi sesiapa yang menggunakan kanak-kanak untuk mengemis atau aktiviti haram.

Hukuman yang sama diperuntukkan di bawah Seksyen 33 kerana membuarkan kanak-kanak tanpa pengawasan yang munasabah.

Ahad lalu, video kanak-kanak berkelakuan agresif menuntut wang di jalanan berhampiran Cheras, Kuala Lumpur tular di media sosial.

Budak ‘kurang asam’

Kuala Lumpur: Usia mereka mungkin di bawah 12 tahun namun lagak berani ditunjukkan kanak-kanak dipercayai warga Rohingya ketika meminta sedekah di ibu kota mengundang reaksi pelbagai masyarakat.

Ada yang mengibaratkan golongan kecil itu sebagai samseng dan tidak kurang juga mengutuk kegiatan kanak-kanak berkenaan serta mendesak tindakan tegas diambil kerajaan.
Dalam video tular di media sosial, baru-baru ini, pengemis cilik itu kelihatan meminta sedekah di persimpangan lampu isyarat di bandar raya ini termasuk di Jalan Sultan Ismail dengan mendekati kenderaan pengguna jalan.

Ketika ada pemandu yang merakam perbuatan mereka, terdapat kanak-kanak itu yang dilihat berang, malah mengetuk pintu kenderaan terbabit dan menunjukkan isyarat jari tanda marah.

ANTARA rakaman video tular menunjukkan kanak-kanak warga Rohingya yang meminda sedekah di jalanan di ibu kota. FOTO MEDIA SOSIAL

Rakaman yang tular itu memperlihatkan situasi berbeza dialami orang berlainan namun masih membabitkan kelompok pengemis kanak-kanak itu.

Tinjauan di media sosial mendapati banyak kecaman diterima daripada warganet terhadap aktiviti pengemis cilik itu, malah mereka mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan.

Seorang pengguna Facebook (FB) berkongsi pengalaman buruknya berdepan kanak-kanak terbabit.

“Dulu butik saya di Seksyen 7, Shah Alam. Ramai mereka ini (pengemis cilik). Siap masuk butik kita minta duit. Kalau tak bagi dia keluar, ambil batu dan baling cermin pintu kedai kita.

“Memang dah melampau. Kerajaan kena pantau la. Kalau sudah bagi masuk (Malaysia), hantar la (warga Rohingya) buat kerja ke apa yang berfaedah,” tulisnya.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim ketika dihubungi memaklumkan pihaknya menyedari kegiatan golongan itu yang bergerak dari satu lokasi ke lokasi berlainan.

Katanya, tindakan segera akan diambil bersama agensi berkaitan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu pihaknya.

“Setakat ini kita tidak terima laporan daripada mana-mana pihak (termasuk individu mendakwa didekati pengemis cilik Rohingya),” katanya.

sumber: mkini

Leave a Reply

Your email address will not be published.