Amalan

Di Gelar Itik Patah Kaki, Sekali Zahid Suruh Tukar Profesion Dari Jadi Ahli Politik

PRN JOHOR | Ahmad Zahid Hamidi mempunyai cara tersendiri untuk membalas label yang diberikan Presiden PAS Abdul Hadi Awang ke atas partinya, Umno.

Jelas tidak senang dengan gelaran “itik patah kaki”, presiden Umno terbabit berkata mereka bukanlah haiwan seperti yang disebutkan Abdul Hadi baru-baru ini.

“Saya mengikuti banyak wawancara dan banyak ucapan pemimpin itu. Banyak kiasan yang berkaitan dengan haiwan (digunakan).

“Saya fikir eloklah dia tukar profesion daripada ahli politik kepada ahli zoologi,” katanya dengan sinis.

Ahmad Zahid berkata demikian semasa berucap di majlis pelancaran jentera BN di Stadium Tertutup Kompleks Sukan EduCity, Iskandar Puteri , Johor malam tadi.

Ia turut disiarkan secara langsung melalui platform media sosial.

Turut hadir Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.

Pada 28 Jan lalu Abdul Hadi menyatakan rasa tidak senangnya terhadap Umno yang digambarkan sebagai itik patah kaki selepas kalah dalam pilihan raya umum (PRU) lalu.

Selepas PAS membantu mereka, kata Abdul Hadi, Umno bertindak meninggalkan PAS dan dia menganggap tindakan tersebut sebagai tidak bermoral.

Duta Khas Perdana Menteri itu juga mempersoalkan tindakan Umno-BN menggerakkan langkah secara sendirian bagi mengadakan PRN Johor.

Kata Ahmad Zahid dia juga “bimbang” apabila tuduhan yang dibuat PAS ke atas Umno sebaliknya memakan tuan.

“Saya tahu itu ilmu mantik, tapi saya khuatir jika satu jari dituduh kepada orang (lain) empat jari akan kena pada pada dia,” katanya lagi.

Justeru kata ahli parlimen Bagan Datuk itu lagi, untuk Umno tidak disindir dan dicaci-maki, penyokong parti berkenaan perlu berusaha memenangi PRN Johor yang akan diadakan tidak lama lagi.

“Kita pastikan orang yang menghina kita, yang menyindir kita akan malu sendiri,” katanya.

https://www.youtube.com/watch?v=taAxAtldFOY

SUMBER: MKINI

Leave a Reply

Your email address will not be published.