Amalan

Najib Dedah Bila Masa Terbaik Untuk Pengeluaran Terakhir i-Citra

KUALA LUMPUR, 15 Feb – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berpendapat masa yang paling tepat bagi kerajaan membenarkan pengeluaran khas kali terakhir i-Citra bagi ahli yang terjejas ialah selepas dividen 2021 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibayar kepada pencarum tidak lama lagi dan sebelum hari raya.

Katanya, dengan sokongan yang diumum Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari semalam, beliau lebih optimis bahawa menteri-menteri PN akhirnya tidak lagi membantah tetapi akan menyokong permintaan pengeluaran khas ini dan ianya akan menjadi realiti.

“Harap ketua pemuda PN/PAS seorang ini akan berusaha untuk memujuk presiden PPBM dan PAS serta menteri-menteri PN bagi memberi sokongan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Jelasnya, biarpun prestasi Bursa Malaysia antara paling teruk dalam dunia bagi tahun 2021 lepas akibat darurat menggantung Parlimen serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) separuh masak berbulan-bulan lamanya, ketidakstabilan politik dan aliran keluar dana asing yang sangat besar sejak PIlihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) namun prestasi bursa saham negara-negara lain adalah luar biasa baik dan telah berulang kali mencatat paras tertinggi dalam sejarah.

“Jadi, prestasi KWSP bagi tahun 2021 lepas adalah lebih baik sebab pelaburan luar negara tabung itu terutamanya di Amerika Syarikat mendapat pulangan yang sangat baik.

“Walaupun ianya masih rendah berbanding kadar 6.9% bagi dividen tahun 2017 sebelum ekonomi merudum selepas PRU-14, ramalan dividen antara 5.2% hingga 6% bagi tahun lepas masih pada kadar yang baik,” katanya.

Dahulu ujarnya lagi, ramai yang kecam beliau kerana pernah membuat kenyataan bahawa KWSP mahu membuat pelaburan di Amerika Syarikat dan bukan hanya di Malaysia ketika membuat lawatan ke atas Presiden negara berkenaan.

Di dalam media sosialnya itu juga Najib melampirkan graf yang menunjukkan prestasi Bursa Malaysia berbanding bursa saham negara asing bagi tahun 2021.

Najib ‘nasihat’ Ahmad Fadhli jangan putus asa tuntut pengeluaran KWSP

Terdahulu Datuk Seri Najib Razak ‘menasihati’ Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari agar tidak cepat putus asa membantah cadangan UMNO supaya dibenarkan pengeluaran i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Mantan Perdana Menteri itu berkata, penyelesaian cadangan yang dikemukakan itu akan selesai sekiranya Ahli Parlimen Pasir Mas itu mengajak pemimpin Perikatan Nasional bersama-sama memberi sokongan.

“Penyelesaiannya amat mudah sekiranya hasrat YB benar-benar untuk sokong pengeluaran i-Citra RM10,000 kali terakhir ini.

“Ianya bukan lagi syarat ‘meminang’ Puteri Gunung Ledang atau pun cubaan propaganda kamu bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab kenyataan Ahmad Fadhli menerusi Facebooknya yang menyatakan, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sendiri memaklumkan kerajaan tidak hasrat untuk membenarkan pengeluaran i-Citra KWSP kali kedua.

Pemimpin muda Pas itu kemudiannya menegaskan, bagaimana ada sebahagian pemimpin UMNO berkeras menyebut ia keputusan ‘tanpa rela’ Perdana Menteri?

“Akuilah hakikatnya Perdana Menteri dari UMNO sendiri sebenarnya tidak bersedia laksanakan keputusan ini. Kenapa masih bermain wayang?

“Beri ruang selesa kepada Perdana Menteri untuk buat pertimbangan berasaskan kemampuan kerajaan. Janganlah perlekehkan Perdana Menteri dari parti sendiri seolah-olah jadi ‘puppet’ semata-mata,” tulis Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat itu.


Najib menjawab hantaran facebook Ahmad fadhli Shaari.
Beliau meminta Ahmad Fadhli menggesa pemimpin Pas dan Bersatu mengeluarkan kenyataan umum buat kali pertama bagi meminta Perdana Menteri meluluskan pengeluaran i-Citra RM10,000 kali terakhir itu.

Katanya Najib lagi, Ahmad Fadhli juga perlu meminta kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Abdul Hadi Awang kononnya gesaan itu sebagai antara syarat sokongan mereka bagi kerajaan hari ini.

“Sekiranya Presiden UMNO, Pas dan PPBM sebulat suara mendesak agar permintaan ini diluluskan serta-merta, adakah ada kemungkinan bahawa Perdana Menteri kesembilan akan tolak?

“We are all depending on you now, YB. Sila usahakan,” sindirnya sambil mengingatkan pemimpin muda Pas itu bahawa Ismail Sabri hanya menyampaikan keputusan mesyuarat Kabinet sahaja pada hari itu. – MalaysiaGazette

UMNO ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published.