Uncategorized

P0lis buru suami tvmbuk isteri, punca sebenar buat dia naik angin didedahkan

JITRA – Polis giat memburu seorang lelaki kerana disyaki mencederakan isterinya dengan cara menumbuk belakang badan serta menarik rambut wanita terbabit di Tasik Bandar Darulaman, di sini pada Sabtu lalu.

Video pergaduhan pasangan suami isteri tersebut tular di laman Facebook hari ini.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila suspek yang berusia 33 tahun naik berang selepas mangsa enggan kembali hidup bersamanya.

Katanya, pasangan suami isteri itu kini dalam proses untuk bercerai dan tinggal berasingan sejak 8 November lalu.

“Semasa kejadian, wanita yang berusia 22 tahun itu pergi ke kawasan tasik untuk mengambil anak perempuannya berusia enam tahun yang dijaga sementara oleh suspek.

“Bagaimanapun suspek dipercayai memukul mangsa menyebabkan dia menjerit meminta tolong sebelum orang awam datang membantu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, suspek kemudian berhenti memukul mangsa dan melarikan diri apabila orang ramai menggertak akan membuat laporan polis.

Katanya, susulan kejadian itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah telah memeriksa sebuah rumah tidak bernombor di belakang pasar Changlun dekat sini kira-kira pukul 1 pagi semalam, namun premis tersebut berkunci serta tidak berpenghuni.

“Tindakan mengesan suspek masih giat dijalankan yang mana semakan mendapati suspek turut mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes pukul iaitu mendatangkan kecederaan,” katanya. – K! ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published.