Uncategorized

Peniaga Padang Kota Lama bikin gamat, siap ada pegang kayu macam nak pvkul orang sampai ada ‘teh ais terbang’

KECOH insiden pergaduhan yang berlaku di Kompleks Makanan Medan Renong Padang Kota Lama di Georgetown, Pulau Pinang.

Video yang tular sejak Rabu malam berdurasi 1 minit dan 22 saat itu menunjukkan pergaduhan berlaku ketika pelanggan sedang menjamu selera.

Susulan kekecohan yang berlaku, pelanggan termasuk mereka yang membawa bayi dan keluarga segera bangun dan beredar dari lokasi kejadian.

Turut menjadi tumpuan netizen adalah tindakan seorang pelanggan yang sedang mendukung bayi sempat melemparkan gelas dipercayai berisi teh ais ke arah lokasi pergaduhan.

“Teh ais terbang dalam diam,” komen seorang netizen.

Bercakap kepada mStar, Pengerusi Persatuan Penjaja Kompleks Makanan Medan Renong Padang Kota Lama, Asmadi Mohd Razuki, 55, berkata, insiden berlaku disebabkan perselisihan faham antara peniaga di kompleks tersebut.

Justeru, beliau menafikan dakwaan pergaduhan pada kira-kira pukul 11 malam Selasa lalu itu berlaku antara peniaga dan pelanggan seperti video yang tular di media sosial.

“Ia merupakan masalah dalaman keluarga antara bapa saudara dan anak saudara. Kedua-dua mereka berniaga di dua gerai yang berbeza di situ.

“Sekadar satu perselisihan faham antara mereka. Perkara dah selesai, masing-masing sudah bermaafan,” katanya ketika dihubungi.

Gelas dipercayai mengandungi air teh (bulatan merah) dilemparkan ke lokasi pergaduhan.

Asmadi turut memberitahu tiada kerosakan atau kecederaan akibat kejadian ketika kebanyakan peniaga sedang berkemas untuk menutup gerai masing-masing.

“Bila ada masalah peribadi atau keluarga, jangan bawa sampai ke tempat berniaga. Selesai di luar dengan cara baik.

“Jangan mencemarkan imej di tempat berniaga sehingga boleh memberi kesan kepada peniaga-peniaga lain yang mencari rezeki di kawasan sama,” katanya sambil menambah kira-kira 50 gerai beroperasi di Kompleks Makanan Medan Renong Padang Kota Lama.

Sehubungan itu, beliau memberi jaminan kepada orang ramai bahawa kejadian seumpama itu tidak akan berulang.

Bila ada masalah peribadi atau keluarga, jangan bawa sampai ke tempat berniaga. Selesai di luar dengan cara baik
Mengenai tindakan pelanggan yang membaling gelas minuman ke arah lokasi kejadian, Asmadi berkata, pelanggan tersebut tidak terlibat dengan insiden perselisihan faham.

“Kejadian hanya berlaku antara peniaga yang mempunyai hubungan keluarga. Tindakan pelanggan tersebut mungkin kerana terkejut, tak suka melihat orang bergaduh.

“Situasi itu mungkin dia tak pernah rasa. Saya minta semua pihak tidak melatah atau mensensasikan keadaan,” katanya yang berniaga minuman sejuk dan panas.

Seorang lelaki dilihat memegang sebatang kayu.

Sementara itu, seorang peniaga, Mohamed Hussain Mohamed Sheriff, 58, yang dirakamkan memegang kayu dalam kejadian berkata, dia tidak terlibat dengan perselisihan faham itu.

“Saya datang masa nak habis perselisihan faham dan saya nak meleraikan keadaan. Saya nampak ada seorang pekerja pegang kayu, saya tegur dia.

“Dia tak pukul siapa-siapa. Cuma bila pekerja tu serahkan kayu kepada saya, orang ingat macam saya nak cari gaduh.

“Tapi saya datang sebenarnya untuk meredakan keadaan. Saya amat berharap kejadian itu tidak berulang dan orang ramai tidak perlu bimbang untuk makan di sini,” katanya.

SUMBER: MSTAR

Leave a Reply

Your email address will not be published.