Amalan

Sekali lagi ujian pilu, leher anak bongsu dipercayai tersangkut pada kain buaian di pusat jagaan

SEREMBAN: Selepas kehilangan anak kedua ketika bayi akibat komplikasi kesihatan pada 2020, sepasang suami isteri sekali lagi berdepan ujian memilukan apabila anak bongsu mereka pula meninggal dunia, semalam.

Terdahulu dalam insiden kira-kira jam 3 petang, Nour Rania Asyifaa Yuseri yang berusia 15 bulan, ditemui tidak sedarkan diri selepas dipercayai lehernya tersangkut pada kain buaian di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Taman Nusari Aman 2, Bandar Sri Sendayan, di sini.

Bapa mangsa, Yuseri Yusoff, 39, berkata beliau mendapat tahu akan kejadian itu selepas menerima panggilan telefon daripada isteri yang memaklumkan bahawa Nour Rania Asyifaa telah dibawa ke Klinik Kesihatan Sendayan.

Ketika itu, katanya, beliau sedang berada di rumah mereka di Bandar Sri Sendayan bersama anak sulung berusia tujuh tahun.

“Saya bergegas ke Klinik Kesihatan Sendayan. Ketika itu, doktor sedang berusaha memberi bantuan pernafasan kepada anak. Kira-kira 30 minit kemudian, anak sudah ‘tiada’.

“Pada malam sebelum kejadian, anak tidak menunjukkan sebarang masalah. Namun difahamkan ketika kejadian, anak dikatakan susah mahu tidur, jadi pekerja di pusat asuhan menidurkannya dalam buaian.

“Sebelum ini, anak tidak tidur dalam buaian,” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik, Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), di sini, hari ini.

Yuseri memaklumkan, beliau menghantar mangsa ke pusat jagaan kanak-kanak itu sejak setahun lalu, malah anak sulungnya juga pernah dihantar ke sana sebelum ini.

“Mangsa adalah anak bongsu daripada tiga beradik. Anak kedua juga sudah meninggal dunia ketika masih bayi akibat komplikasi kesihatan.

“Saya menerima kejadian ini kerana perkara telah berlaku. Yang selebihnya, saya serahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan.

“Pihak pusat jagaan ada meminta maaf kepada kami sekeluarga atas kejadian ini. Difahamkan, pihak polis ada merakam percakapan ibu bapa lain yang menghantar anak mereka ke pusat itu,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof, berkata mangsa dikata ditidurkan dalam buaian di sebuah bilik oleh pengasuh.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa diberi minum susu sebelum ditidurkan kira-kira jam 12.30 tengah hari. Pengasuh terbabit kemudian dikatakan keluar dari bilik itu kira-kira jam 2 petang untuk melakukan tugas lain.

“Pengasuh dikatakan masuk semula ke bilik itu kira-kira sejam kemudian dan mendapati mangsa berada dalam keadaan kepala tersangkut pada kain buaian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Yuseri memangku jenazah Nour Rania Asyifaa selepas dibawa keluar dari Jabatan Perubatan Forensik HTJ. – NSTP/AHMAD HASBI

Susulan itu, beliau berkata, pengasuh dikatakan terus mengambil mangsa daripada buaian dan melakukan bantuan kecemasan pernafasan (CPR) tetapi gagal, sebelum mangsa terus dibawa ke Klinik Kesihatan Sendayan.

“Mngsa sempat dirawat doktor, namun disahkan meninggal dunia pada jam 4.30 petang oleh doktor bertugas,” katanya.

Nanda berkata, hasil siasatan juga mendapati mangsa dilaporkan dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan bahagian leher dan kepala terkeluar dari buaian serta tergantung pada kain buaian, manakala badannya masih berada di dalam buaian.

“Ketika kejadian, dua pengasuh wanita berusia 29 dan 37 tahun berada di dalam premis terbabit bersama 15 bayi serta kanak-kanak lain yang berumur dalam lingkungan enam bulan hingga tujuh tahun, termasuk mangsa.

“Mayat mangsa sudah dihantar untuk bedah siasat dan siasatan masih diteruskan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.