Uncategorized

Bapa lima anak mengaku curi mi segera, pakaian dalam wanita, ini hvkuman yg dia terima

MELAKA: Seorang buruh anak lima diperintah menjalani kerja khidmat masyarakat selama tiga bulan selepas mengaku salah mencuri mi segera dan pakaian dalam wanita di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Majistret Mazana Sinin menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd. Halim Harun, 52, yang membuat pengakuan itu sejurus selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati mencuri pelbagai barangan termasuk ubat gegat, mi segera, pakaian dalam wanita dan masker kecantikan bernilai RM83.82 milik Pasaraya Lotus, Cheng kira-kira pukul 9.15 malam, 5 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, tertuduh didapati beredar melepasi kaunter bayaran bersama 11 barangan milik pasar raya berkenaan, yang disedari pembantu pengurus pasar raya tersebut.

Barangan itu dimasukkan ke dalam beg sandang sebelum tertuduh ditahan di pintu keluar pasar raya terbabit.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukumannya diringankan dengan alasan hanya bekerja sebagai buruh dan perlu menanggung lima anak yang masih bersekolah, selain isteri tidak bekerja.

MOHD. HALIM Harun diperintah menjalani kerja kebajikan dua jam sehari selama tiga bulan oleh Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka. – UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

Katanya, tindakan itu dilakukan kerana tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk membayar semua barangan keperluan rumah yang dicuri.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana Nor Sa’ari memohon hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, Mazana memerintahkan tertuduh menjalankan kerja kebajikan dua jam sehari selama tiga bulan mengikut Seksyen 5 Akta Kehadiran Wajib Pesalah-pesalah 1954 (Pindaan 2021) berserta jaminan RM1,000 tanpa cagaran.

Sekiranya gagal mematuhi hukuman berkenaan, tertuduh boleh dikenakan hukuman asal wajib penjara dan denda di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published.