Amalan

Najib terus gesa pengeluaran KWSP, sekali Anwar Ibrahim mula ubah fikiran

Bekas perdana menteri Najib Razak hari ini sekali lagi menggesa kerajaan untuk benarkan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Persaraan (KWSP), mengatakan ia adalah demi memenuhi permintaan rakyat.

Berucap pada perbahasan sidang Dewan Rakyat hari ini, Najib berkata ini adalah kali keempat beliau membuat gesaan tersebut.

“Siapa hendak claim kredit (mendapat nama) tak kisahlah.

“Asalkan permintaan pengeluaran kali terakhir ini, yang sangat diharapkan oleh rakyat dapat dipenuhi kerajaan dengan segera,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Najib adalah antara yang lantang mendesak kerajaan supaya membenarkan pencarum mengeluarkan simpanan mereka dari KWSP walaupun ahli ekonomi dan badan itu mengatakan simpanan pencarum sudah semakin terhad selepas pengeluaran sepanjang pandemik Covid-19.

Pada Disember, KWSP berkata walaupun caruman boleh dikeluarkan sepanjang sekatan pergerakan bagi membendung wabak, namun ia tidak boleh dilaksanakan kerana terikat dengan undang-undang yang memberikan panduan bagaimana caruman pencarum diuruskan.

“Skala dan kesan pandemik Covid-19 yang tidak dijangka serta kejadian bencana alam baru-baru ini menolak perlindungan sosial semasa negara ke tahap maksima, dan pendekatan menggunakan simpanan KWSP untuk keperluan kecemasan pastinya akan memberikan impak yang teruk tatkala ahli sedang berhadapan dengan ketidakcukupan wang simpanan persaraan, ditambah lagi dengan ketidaktentuan lain seperti peningkatan kos penjagaan kesihatan,” kata KWSP.

Gesaan Najib supaya rakyat dibenarkan untuk melakukan “pengeluaran kali terakhir” dibangkitkan semula ketika banjir melanda Kelantan dan Terengganu, selepas sebelum ini menyasarkan serangannya terhadap Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz yang menolak untuk membenarkan pengeluaran simpanan KWSP ketika bencana alam itu melanda beberapa negera akhir tahun lalu.

“Usahlah dengar nasihat menteri kewangan ketinggalan zaman PN,” katanya, merujuk kerajaan Perikatan Nasional.

“Dengarlah rintihan rakyat. Last sekali pengeluaran khas. Lepas itu, fokus untuk bina balik simpanan pendeposit baki rendah dalam KWSP. Banyak caranya,” kata Najib

Dalam ucapannya hari ini, Najib turut berkata beliau menerima permintaan pengikutnya di media sosial yang mahu isu pengeluaran i-Citra dibangkitkan dalam perbahasan Dewan Rakyat.

Tahun lalu, kerajaan memperkenalkan beberapa inisiatif seperti i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra yang membenarkan pencarum KWSP mengeluarkan simpanan mereka.

Namun pada Disember, KWSP berkata langkah tersebut menyebabkan penyusutan sebanyak RM101 bilion melibatkan 6.1 juta pencarum, di mana ia menyebabkan ramai daripada mereka hanya mempunyai baki simpanan kurang dari RM10,000, sementara 2.6 juta lagi pencarum kini memiliki simpanan kurang dari RM1,000.

Anwar Ibrahim ubah fikiran, kini sokong pengeluaran KWSP

DATUK Seri Anwar Ibrahim yang dahulunya tidak mendukung pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kini menggesa ia disegerakan tanpa kerenah birokrasi.

Tegas ketua pembangkang itu, desakan itu dilakukan sejajar keluhan rakyat yang kini berada dalam keadaan terdesak dan tertekan.

Malah, beliau menyifatkan, tindakan itu wajar kerana mendakwa kerajaan Persekutuan gagal menampung kerugian yang dialami rakyat akibat banjir.

“Setelah kita melihat bahawa kerajaan seolah tidak ada jalan untuk merungkai kegagalan ini, saya kini mendukung agar pengeluaran dibenarkan sesegera mungkin dan tanpa ada apa-apa halangan dan kerenah birokrasi.

“Kerajaan juga mesti ambil kira nasib golongan rakyat yang tidak mencarum,” ujarnya dalam kenyataan pada Rabu.

Menjelaskan kenapa pendiriannya berubah, ujar Anwar, ia disebabkan keluhan rakyat yang didengarinya terutama dalam siri jelajahnya di Johor yang berlangsung ketika ini.

“Saya ambil maklum bahawa terdapat desakan di kalangan rakyat yang mahukan pengeluaran KWSP dibenarkan oleh kerajaan.

“Seperti yang saya pernah kemukakan soal ini tahun lalu di Dewan Rakyat, saya agak keberatan untuk mendukung langkah ini kerana ia pasti memberi kesan kepada simpanan mereka di masa hadapan meski saya tahu pendirian ini sangat tidak popular dalam kalangan rakyat.

“Saya turut meletakkan syarat kepada kerajaan saat itu untuk menampung kerugian yang dialami rakyat akibat banjir sekiranya kerajaan enggan untuk membenarkan pengeluaran KWSP.

“Namun, setelah berbulan berlalu, nampaknya kerajaan dan Menteri Kewangan Tengku Zafrul (Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz) tidak mempedulikan desakan ini. Bilangan rakyat yang mengeluh kepada saya terus meningkat,” katanya.

Pada sidang khas Parlimen 20 Januari lalu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson dikatakan bersetuju dengan pendirian kerajaan untuk tidak membenarkan pengeluaran baharu daripada KWSP memandangkan keputusan itu bakal menjejaskan kelestarian kewangan pencarum menjelang usia persaraan.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan tidak patut terus ‘berpeluk tubuh’ terhadap keluhan mangsa banjir yang ingin mengeluarkan dana persaraan bagi memperbaiki kerosakan kediaman, kenderaan dan harta benda rentetan banjir luar biasa, penghujung tahun lalu.

sumber: mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published.