Hiburan

Pengeluaran KWSP: Young Syefura sambut baik, namun ada benda buat dia terkilan

KUANTAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman menyambut baik keputusan kerajaan membenarkan pengeluaran khas wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) RM10,000 seperti mana diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Tidak dinafikan pengeluaran khas wang KWSP ini sedikit sebanyak mampu membantu meringankan beban rakyat yang masih lagi terkesan dengan pandemik Covid-19.

Young Syefura berkata, namun demikian beliau sedikit terkilan kerana pengeluaran khas wang KWSP ini bukan bantuan kewangan daripada kerajaan kepada rakyat seperti mana pemberian Bantuan Sara Hidup (BSH) ataupun Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).

Sebaliknya beliau berkata, ia adalah pengeluaran yang dibuat daripada tabung persaraan rakyat.

“Namun demikian, saya pasti berita ini adalah berita yang ditunggu-tunggu oleh sebahagian daripada rakyat yang benar-benar memerlukan wang untuk meneruskan kehidupan.

“Saya berharap kebenaran pengeluaran khas wang KWSP ini tidak disertai dengan syarat-syarat yang membebankan dan remeh yang akhirnya menyukarkan proses pengeluaran wang KWSP ini,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebooknya di sini hari ini.

Young Syefura juga menasihati orang ramai terutama golongan muda dan yang masih berkemampuan untuk meneruskan kehidupan seharian agar tidak membuat pengeluaran khas wang KWSP ini jika tiada keperluan ataupun kecemasan.

“Ini adalah kerana wang ini adalah simpanan untuk hari tua kita. Kepada yang benar-benar memerlukan wang ini, saya berharap agar ia dapat meringankan beban yang ditanggung dan berharap agar wang ini dapat digunakan sebaik mungkin untuk meneruskan kehidupan,” katanya. – UTUSAN

Pengeluaran khas KWSP: MOF umum perincian dalam masa terdekat

PUTRAJAYA – Butiran terperinci mengenai pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bernilai RM10,000 sebagaimana diumumkan hari ini akan diumumkan Kementerian Kewangan (MOF) dalam masa terdekat.

Perkara tersebut dimaklumkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz dalam satu kenyataan hari ini.

“KWSP juga akan mengumumkan langkah perlu bagi menangani isu dana persaraan ahli-ahli KWSP yang telah berkurangan,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi satu sidang akhbar khas mengumumkan keputusan kerajaan tersebut setelah mendengar, mengkaji dan meneliti permintaan daripada semua pihak untuk mengeluarkan caruman KWSP.

Bagaimanapun, beliau menasihati semua pencarum agar mengekalkan simpanan mereka kecuali keadaan benar-benar mendesak. KOSMO! ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published.