Hiburan

Sekumpulan murid lempar guru ke dalam kolam, rupanya ada sebab mereka buat begitu

Pengorbanan yang dilakukan oleh insan bergelar guru sememangnya tiada tandingan. Sebagai seorang anak murid yang baik, sudah menjadi tanggungjawab untuk membalas jasa mereka dengan sebaik mungkin.

Lain orang, lain cara. Itulah yang dapat disimpulkan tentang satu video tular di laman media sosial apabila sekumpulan murid melemparkan gurunya ke dalam kolam di kawasan sekolah mereka.

Video yang berdurasi selama 20 saat itu telah mendapat perhatian pengguna laman media sosial dengan meraih jumlah tontonan melebihi 2.3 juta dan lebih 320,000 tanda suka.

Dalam video tersebut, kita dapat lihat sekumpulan murid lelaki, beramai-ramai mengangkat gurunya dan kemudiannya melemparkan beliau ke dalam kolam hiasan di sekolah itu.

Kemudian, gurunya yang sudah dibasahi dengan air keluar daripada kolam tersebut dan bersalaman sambil memeluk anak-anak muridnya sebagai pelukan terakhir sebelum guru itu berpindah untuk bertugas di sekolah lain.

Menurut pemilik video, @danielhql, dia dan rakan-rakannya berbuat sedemikian kerana guru kesayangan mereka yang mengajar Bahasa Inggeris akan berpindah tidak lama lagi.

Kejadian itu juga telah mengundang perasaan terharu dan sedih oleh pengguna laman media sosial. Antaranya:

Chempaka Biru: Guru yang baik memang disayangi murid dan boleh menjadi kawan bukan musuh akan dikenang sepanjang hayat.

Iswazura Ishak: Nampak anak-anak murid itu sayang cikgunya. Susah nak mencari anak-anak yang sayang cikgu macam ini, kena pula cikgu dapat tukar ke sekolah lain. Sedihnya. Semoga anak-anak murid dan guru dipermudahkan segala urusan.

Husni Hamid: Mesti cikgu ini baik dengan anak murid. Cikgu kesayangan. Memang sedih apabila cikgu yang kita sayang akan berpindah.

Namun, ada juga yang menganggap tindakan sekumpulan murid itu agak melampau dan tidak menghormati gurunya yang telah banyak berjasa.

Sapri Junai: Menghumban cikgu ke dalam kolam, itu bukan dan tidak akan pernah aku anggap sebagai ‘mesra’.

Ahmad Fetri Ilyas: Itu bukan mesra, itu biadab. Walaupun guru itu merelakan, tetapi perbuatan itu tidak beradab. Jangan jadikan budaya wahai anak-anak. Guru dan murid tetap ada batasan adab. Guru kena dihormati bukan senda gurau sebegini.

Terdapat beberapa adab yang patut dicontohi oleh semua murid terhadap guru.

Hal ini demikian, kerana guru umpama ibubapa kita yang sentiasa mendidik kita tanpa jemu dan lelah.

#1 – Memberikan Salam Kepada Guru

Lihat pada zaman dahulu murid akan mengelak daripada bertembung dengan guru kerana perasaan takut dan hormat yang terlalu tinggi.

Tetapi lain pula yang berlaku pada hari ini guru pula perlu memberi laluan kepada murid kerana murid hari ini beranggapan urusan bersama guru telah selesai apabila diluar bilik darjah.

Jadi, untuk mengembalikan persekitaran pembelajaran yang mesra dan sentosa, budaya memberi salam kepada guru perlu dibaja dalam diri setiap murid supaya dapat mewujudkan suasana hormat- menghormati antara murid terhadap guru.

Di samping itu, salam juga merupakan antara sunnah yang sering dilakukan oleh baginda Rasulullah S.A.W untuk merapatkan hubungan silaturahim.

Daripada Abu Hurairah r.a. daripada Rasulullah S.A.W bersabda:

Orang yang berkenderaan hendaklah memberi salam kepada orang yang berjalan kaki, orang yang berjalan kaki kepada orang yang duduk, kumpulan yang sedikit kepada kumpulan yang ramai, dan orang yang muda memberi salam kepada orang yang tua.
Riwayat al Bukhari dan Muslim

#2 – Jangan Banyak Bercakap

Ketika guru sedang mengajar di hadapan, kita sebagai murid perlu mengelakkan bercakap-cakap dengan teman di sebelah.

Hal ini demikian kerana sikap begitu akan menyebabkan kita tidak dapat memberi tumpuan yang sepenuhnya terhadap ilmu yang disampaikan oleh guru yang menyebabkan kita tidak dapat memahami perkara yang diterangkan oleh guru.

Tambahan lagi, sikap bercakap ketika guru sedang mengajar di hadapan adalah sangat tidak beradab menurut Islam.

Tetapi, lain pula dengan situasi hari ini yang dapat kita lihat ialah murid semakin mendominasi situasi kelas seolah-olah lebih berkuasa daripada guru.

#3 – Jangan Bercakap Jika Tidak Ditanya

Ketika dalam proses pengajaran dan pembelajaran sedang berlangsung, murid seharusnya bercakap apabila perlu sahaja dan jangan bercakap selagi tidak disoal oleh guru.

Hal ini demikian kerana apabila seorang murid bercakap ketika tidak ditanya ia seperti kita tidak beradab dengan orang yang telah mencurahkan ilmu kepada kita sebagaimana firman Allah S.W.T;

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulul-Amri {orang-orang yang berkuasa} dari kalangan kamu”
Surah An-Nisa’ ayat 59

Perkataan Ulul-Amri di dalam ayat tersebut boleh dinisbahkan kepada guru yang mana darjat mereka juga sangat tinggi disisi Allah.

Dan melalui ayat tersebut jelaslah bahawa kita sebagai murid perlu taat dan mendengar setiap arahan guru kita sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Allah.

#4 – Jangan Menyangkal Kata-Kata Guru

Adab yang perlu dititikberatkan oleh murid yang seterusnya ialah jangan sesekali menyangkal kata-kata guru.

Hal ini demikian kerana apabila kita sebagai murid membantah setiap nasihat dan teguran guru yang telah mencurahkan segala ilmunya, kita seolah-olah melawan kata-kata ibu bapa kita sendiri.

Contohnya, guru sedang menerangkan salah satu formula Matematik di dalam kelas, kemudian kita menegur bahawa formula yang diajar oleh guru itu salah di hadapan kawan-kawan sekelas, perkara ini akan menjatuhkan air muka guru yang mungkin menjejaskan pekerjaannya sebagai guru.

Ini kerana terdapat pelbagai medium yang boleh digunakan untuk membuat teguran kepada guru yang mungkin terlepas pandang bahawa berlaku sedikit kesalahan dalam sesi pengajarannya.

#5 – Elakkan Berbisik Di Hadapan Guru

Selain itu, jangan kita berbisik dengan orang di sebelah ketika guru sedang menyampaikan ilmu.

Hal ini demikian kerana perlakuan berbisik itu sangat tidak bagus dan dilarang di dalam Islam sebagaimana hadith daripada Mas’ud r.a beliau berkata: Rasulullah S.A.W bersabda;

“Jika kalian bertiga maka janganlah 2 orang berbicara atau berbisik berduaan sementara yang ketiga tidak diajak sampai kalian bercampur dengan manusia kerana hal ini akan membuat orang yang ketiga tadi bersedih”.
Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim

Menurut hadith tersebut jelaslah bahawa perlakuan berbisik itu akan menyinggung perasaan orang lain yang berada di sekitar kita.

Jika berbisik di hadapan orang ketiga yang mungkin kawan kita juga akan menyebabkan dia tersinggung, apatah lagi pula jika berbisik di hadapan guru yang sedang mengajar di hadapan.

Perkara tersebut mungkin akan menimbulkan prasangka buruk di dalam diri guru tersebut.

#6 – Jangan Berburuk Sangka Kepada Guru

Di samping itu, antara adab yang perlu diamalkan oleh seorang murid terhadap guru ialah jangan pernah berburuk sangka kepada guru.

Hal ini demikian kerana sikap itu tidak perlu ada dalam diri seorang murid kerana seorang murid tidak berhak menilai dan menghukum setiap perlakuan gurunya.

Contohnya, jika seorang murid itu telah melihat gurunya melakukan sesuatu perkara yang pada zahirnya menyalahi ilmunya (bukan menyalahi agama) maka hanya guru itu yang tahu akan segala perbuatannya.

Ini kerana selagi perkara yang dilakukan guru itu tidak menyalahi Islam, maka tidak perlu bagi seorang murid untuk hilang rasa hormat dan tidak beradab ketika bersama guru.

#7 – Berdiri Apabila Guru Bangun

Adab yang perlu dipraktikkan oleh murid yang seterusnya ialah berdiri apabila guru bangun.

Hal ini demikian kerana kedudukan seorang guru itu sangat tinggi di sisi Allah, maka bagi seorang murid yang beradab kita patut berdiri ketika guru berjalan ketika masuk dan keluar kelas kerana itu menandakan yang kita amat menghormati guru.

Contoh lainnya, jika kita terpaksa berselisih dengan guru untuk menggunakan laluan tertentu, sebagai murid kita perlu dahulukan guru untuk menggunakan laluan tersebut.

Jika dilihat pada zaman sekarang, ada segelintir murid seolah-olah tidak kisah perihal bangun menghormati guru masuk dan keluar kelas dan tidak kisah akan cara-cara menghormati guru yang sepatutnya dipraktikkan jika berselisih dengan guru.

Kesimpulannya, walaupun pada hari ini terdapat pelbagai isu berkaitan adab dan akhlak murid yang kian luntur.

Sebagai masyarakat yang melihat perkara ini kita perlulah memainkan peranan penting untuk memperbaiki isu ini dengan memberi teguran dengan cara yang betul.

Sebagaimana yang diketahui umum, guru ibarat ibu bapa kita kerana mereka juga berusaha keras mendidik, membimbing, dan mengajar kita menjadi insan yang berguna.

Jadi, jangan sesekali kita menyangkal kata-kata guru yang telah mencurahkan ilmu mereka kepada kita.

Selain itu, sebagai murid kita haruslah mengelakkan daripada melakukan perkara yang menunjukkan kita tidak beradab ketika di hadapan guru.

Disini jelaslah bahawa kita sebagai murid perlu taat dan mendengar setiap arahan guru kita sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Allah S.W.T.

Akhir kata, bukan hanya 7 adab ini sahaja yang perlu dicontohi oleh seorang murid, malah terdapat banyak lagi adab-adab yang perlu dipraktikkan oleh seorang murid yang berjaya kerana murid yang berjaya merupakan murid yang sangat menjaga adabnya ketika bersama gurunya.

sumber: https://sinarbestari.sinarharian.com.my/

Leave a Reply

Your email address will not be published.