Uncategorized

Selepas teruk diasak, menteri kewangan akhirnya buat keputusan ini utk pengeluaran wang KWSP

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan memberi bayangan tiada lagi pengeluaran khas dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan dibenarkan selepas pelaksanaan skim i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra sebelum ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, skim i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra sebelum ini merupakan pengeluaran pra-persaraan yang hanya diperkenalkan sebagai langkah sementara.

“Tiga program ini hanya langkah sementara bagi membantu kelangsungan hidup ahli KWSP dalam menempuh impak Covid-19 semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKR).

“Negara lain seperti Australia, Chile dan Peru juga membenarkan akses awal kepada simpanan persaraan bagi membantu rakyat, tetapi sekarang tidak lagi dibenarkan.

“Singapura pula langsung tidak membenarkan sebarang pengeluaran dana persaraan atas tujuan Covid-19,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Terdahulu Bekas perdana menteri Najib Razak hari ini sekali lagi menggesa kerajaan untuk benarkan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Persaraan (KWSP), mengatakan ia adalah demi memenuhi permintaan rakyat.

Berucap pada perbahasan sidang Dewan Rakyat hari ini, Najib berkata ini adalah kali keempat beliau membuat gesaan tersebut.

“Siapa hendak claim kredit (mendapat nama) tak kisahlah.

“Asalkan permintaan pengeluaran kali terakhir ini, yang sangat diharapkan oleh rakyat dapat dipenuhi kerajaan dengan segera,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Najib adalah antara yang lantang mendesak kerajaan supaya membenarkan pencarum mengeluarkan simpanan mereka dari KWSP walaupun ahli ekonomi dan badan itu mengatakan simpanan pencarum sudah semakin terhad selepas pengeluaran sepanjang pandemik Covid-19.

Pada Disember, KWSP berkata walaupun caruman boleh dikeluarkan sepanjang sekatan pergerakan bagi membendung wabak, namun ia tidak boleh dilaksanakan kerana terikat dengan undang-undang yang memberikan panduan bagaimana caruman pencarum diuruskan.

“Skala dan kesan pandemik Covid-19 yang tidak dijangka serta kejadian bencana alam baru-baru ini menolak perlindungan sosial semasa negara ke tahap maksima, dan pendekatan menggunakan simpanan KWSP untuk keperluan kecemasan pastinya akan memberikan impak yang teruk tatkala ahli sedang berhadapan dengan ketidakcukupan wang simpanan persaraan, ditambah lagi dengan ketidaktentuan lain seperti peningkatan kos penjagaan kesihatan,” kata KWSP.

Gesaan Najib supaya rakyat dibenarkan untuk melakukan “pengeluaran kali terakhir” dibangkitkan semula ketika banjir melanda Kelantan dan Terengganu, selepas sebelum ini menyasarkan serangannya terhadap Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz yang menolak untuk membenarkan pengeluaran simpanan KWSP ketika bencana alam itu melanda beberapa negera akhir tahun lalu.

“Usahlah dengar nasihat menteri kewangan ketinggalan zaman PN,” katanya, merujuk kerajaan Perikatan Nasional.

“Dengarlah rintihan rakyat. Last sekali pengeluaran khas. Lepas itu, fokus untuk bina balik simpanan pendeposit baki rendah dalam KWSP. Banyak caranya,” kata Najib

Dalam ucapannya hari ini, Najib turut berkata beliau menerima permintaan pengikutnya di media sosial yang mahu isu pengeluaran i-Citra dibangkitkan dalam perbahasan Dewan Rakyat.

Tahun lalu, kerajaan memperkenalkan beberapa inisiatif seperti i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra yang membenarkan pencarum KWSP mengeluarkan simpanan mereka.

Namun pada Disember, KWSP berkata langkah tersebut menyebabkan penyusutan sebanyak RM101 bilion melibatkan 6.1 juta pencarum, di mana ia menyebabkan ramai daripada mereka hanya mempunyai baki simpanan kurang dari RM10,000, sementara 2.6 juta lagi pencarum kini memiliki simpanan kurang dari RM1,000.

Leave a Reply

Your email address will not be published.