Hiburan

Kid Tak Mahu Peminat Berbalah, Din Dedah Mana Satu Kumpulan ‘Search Original.’     

Meskipun Din menegaskan kumpulannya sebagai ‘Search Original’, Kid pula tetap mahukan peminat kumpulan itu – yang kini terpaksa berpecah kepada dua – tidak bertelagah antara satu sama lain.

Kata Kid atau nama asalnya Hamzah Mohd Taib, ia demi memastikan kelangsungan Konsert Search Rockin’ On Rooftop di bumbung Kompleks Campbell, Jalan Dang Wangi, Kuala Lumpur, pada 11 Jun ini tidak berdepan sebarang isu.

“Ada peminat yang suka dengan kumpulan yang ini, ada yang sokong lagi satu, tapi tak perlu bertelagah walaupun ada dua pilihan.

“Mereka boleh dengar dan sokong ikut pilihan masing-masing. Tak perlu peningkan kepala. Sokonglah secara matang.

“Jika bertelagah tak akan beri sebarang faedah dan hal sebegini tak berikan kebaikan langsung,” katanya pada sidang media dan Rumah Terbuka konsert Search Rockin’ On Rooftop di Hotel The Grand Campbell, di ibu kota hari ini.

Tak Pernah Umum Keluar Kumpulan

Din atau nama sebenarnya Noordin Mohd Taib pula berkata, alasan dia menyifatkan kumpulan itu sebagai ‘Search Original’ kerana dia dan Din tidak pernah menyatakan alasan untuk keluar dari kumpulan tersebut sebelum ini.

“Kami (Seach) yang original. Selama ni, kami tak pernah keluar kenyataan nak keluar dari Search dan sebagainya.

“Jika ada kenyataan sebegitu, boleh tunjuk bukti. Kami tak gentar. Kami berani kerana benar,” katanya.

Din (gitar) dan Kid (gitar), menampilkan kelainan dalam kumpulan itu apabila memilih penyanyi dari Indonesia sebagai vokalis mereka, iaitu Denden Gonjales.

Selain itu, Din dan Kid memilih pemain bass, Yan yang pernah menganggotai Search ketika album pertama, Cinta Buatan Malaysia pada 1985.

Pae terus dikekalkan sebagai pemain dram yang sering menggantikan Allahyarham Yazit Ahmad ketika mengalami masalah kesihatan, beberapa tahun lalu.

Untuk rekod, Amy dan Nasir pula bersama barisan baru yang menampilkan anggota asal Search sejak 1981 iaitu Hillary Ang (gitar) dan Man Kidal (gitar).

Bagaimanapun, menurut Din, mereka mengamalkan sikap terbuka.

“Tak mengapalah, kalau peminat anggap Search yang asli wujud bersama Amy. Tak perlu gaduh-gaduh. Kami nak terus berkarya dan bergembira dengan muzik Search,” jelasnya.

Sementara itu, mengulas mengenai penjualan tiket konsert, penganjur, Mozylir Mokhtaruddin berkata, kaunter jualan yang dibuka kira-kira seminggu sebelum Aidilfitri itu menunjukkan perkembangan positif hingga ke hari ini.

“Setakat ini, tiket berharga RM88, sudah habis dijual manakala bagi tiket berharga RM198, mencatatkan kadar jualan sebanyak 60 peratus. Untuk tiket berharga RM298 pula dah terjual sebanyak 30 peratus.

“Saya rasa dengan bantuan dan hebahan dibuat, saya yakin semua tiket akan habis dijual sebelum berlangsungnya konsert, insya-Allah,” katanya

kredit: mkini

Apa kata anda? Kongsikan bersama kami

Leave a Reply

Your email address will not be published.