Hiburan

“Beta Telah menonton Filem Mat Kilau”-Bertuahnya Fattah Amin & Fazura Dpt Tonton Filem ‘MAT KILAU’ Dgn SULTAN SELANGOR

Luar biasa penangan filem Mat Kilau. Tujuh hari ditayangkan, filem arahan Syamsul Yusof tersebut berjaya meraih kutipan mencecah RM23.3 juta! Bukan calang-calang, tak dinafikan ‘sentuhan’ anak Datuk Yusof Haslam ini mencetuskan revolusi baharu dunia perfileman sekaligus menarik peminat seni menonton kembali filem Melayu tempatan.

Fattah Amin, salah seorang bintang filem berkenaan turut menjadi bualan ramai kerana bakat lakonannya yang semakin terkesan di hati penonton. Difahamkan ketika Fattah menjayakan watak Awang dalam filem itu, dia baru mendirikan rumah tangga dengan aktres jelita, Fazura.

Baru-baru ini Fattah dan Fazura sekali lagi menonton filem aksi tersebut. Istimewanya, mereka berdua berpeluang menyaksikan filem Mat Kilau bersama Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin. Untungnya Fattah dan Fazura, bukan sebarangan orang dapat peluang macam tu!

Fattah yang lengkap berkemeja lengan panjang biru kelihatan teruja berkongsi pengalaman sepanjang melakonkan aksi filem itu kepada Sultan Selangor. Malah, filem Mat Kilau turut mendapat pujian daripada Baginda Sultan kerana berjaya mengangkat seni orang Melayu ke tahap lebih tinggi.

Sultan Selangor titah hayati perpaduan Melayu

Menerusi kenyataan Sultan Selangor di Facebook Rasmi Selangor Royal Office, “Beta telah menonton filem Mat Kilau yang memaparkan bagaimana perpecahan di kalangan orang Melayu boleh mengakibatkan pihak-pihak luar mudah menguasai kita.

Jika dihayati dialog yang digunakan di dalam filem ini, ia bertepatan bagi menyampaikan mesej kepada orang Melayu bahawa kekuatan sesuatu bangsa terletak pada semangat perpaduan dan pegangan kepada agama Islam.

Beta menggalakan masyarakat negara ini terutama orang Melayu untuk menonton filem ini agar ia boleh dijadikan sebagai satu tauladan dan pengajaran kepada kita semua bahawa sesebuah tamadun dan negara boleh runtuh seandainya kita tidak bersatu-padu dan bekerjasama di dalam mempertahankannya.

Beta memandang serius terhadap gejala perpecahan di kalangan orang Melayu terutama pemimpin politik Melayu. Beta melihat perbalahan orang Melayu dan pemimpin politik Melayu yang begitu ketara sekarang boleh mengancam perpaduan, keharmonian hidup rakyat pelbagai kaum serta kestabilan politik di negara kita.

Beta tidak berhasrat untuk mencampuri urusan politik dan pentadbiran Negara. Walau bagaimana pun Beta merasa bertanggungjawab untuk memberi nasihat dan pandangan bagi memperbetulkan keadaan di samping menggesa agar perpecahan orang Melayu dan pemimpin politik Melayu dapat segera dihentikan.”

Dalam pada itu, Sultan Selangor turut bertitah agar pemimpin politik Melayu menunjukkan kepimpinan yang baik dan bertanggungjawab supaya kaum lain tidak hilang rasa hormat terhadap mereka.

Selain bekerjasama dnegan pemimpin parti politik kaum lain demi mengutamakan kepentingan dan keselesaan hidup rakyat yang berbilang bangsa.

Ketika menonton filem Mat Kilau, DYMM Sultan Selangor tampil segak dengan kemeja lengan panjang kuning. Sementara Tengku Permaisuri Selangor pula anggun mengenakan blaus polos merah.

Filem epik Mat Kilau berjaya membuka mata orang ramai tentang bakat lakonan yang dimiliki oleh pelakon popular, Fattah Amin.

Watak Awang telah menyerlahkan kemampuan penyandang gelaran Hero Remaja 2011/2012 ini di arena lakonan.

Jika dulu dia sering dilabel sebagai kayu, kini pujian melambung yang diberikan kepada suami Nur Fazura ini di atas keberkesannya membawakan watak Awang yang penuh hasad dengki dengan kehebatan Mat Kilau.

Ramai juga yang mempersoalkan pemilihan Fattah sebagai salah seorang tunjang utama dalam filem epik pahlawan Melayu ini.

Kata mereka, tahap lakonan Fattah belum layak untuk diletakkan sebaris dengan pelakon-pelakon yang lain seperti Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy dan Johan Asaari.

Tetapi benar bak pepatah Inggeris, jangan menilai sesebuah buku dari kulitnya. Buktinya, nama Fattah sohor kini di media sosial dengan puji-pujian terhadap lakonannya.

Mungkin ramai yang tidak tahu, Fattah mempunyai asas dalam ilmu persilatan malah pernah memasuki pertandingan silat mewakili Kuala Lumpur sewaktu zaman remajanya.

Jadi tidak hairanlah kenapa dia mampu beraksi hebat dalam babak-babak pertarungan di dalam filem Mat Kilau.

Sewaktu tayangan perdana filem Mat Kilau, Fattah mengakui bahawa watak Awang adalah watak terbaik yang pernah dibawanya.

“Saya harap siapa yang belum tonton filem ini akan nampak watak Awang sebagai salah satu elemen kejutan dalam filem ini,” katanya.

Ditanya tentang pengalaman yang tidak dapat dilupakan sewaktu penggambaran, kata Fattah antara babak paling mencabar adalah apabila dia perlu menyelam di dalam sungai pada jam empat pagi.

“Saya menyelam seorang diri di dalam Sungai Perak. Jurugambar semua di atas darat. Air sungai keruh. Bila saya masuk dalam tu, saya tawakal saja ada apa dalam sungai tu. Pengarah cakap ‘action’ pun saya dengar tak dengar.

“Bila dah selesai penggambaran baru mereka beritahu saya bahawa sungai tu ada banyak sejarah. Ada orang pernah mati dan ada buaya di situ. Alhamdullilah tiada apa-apa yang tidak dingini berlaku. Dan hasilnya memang cantik,” kongsinya.

Sementara itu, pengarah filem Mat Kilau, Syamsul Yusof mempunyai alasan tersendiri kenapa dia memilih Fattah Amin untuk membawakan watak Awang.

“Saya melihat Fattah sebagai seorang pelakon yang suka menimba ilmu. Saya pula pengarah yang sukakan pelakon macam tu, yang mahu belajar dan sanggup memberikan 110 peratus untuk wataknya.

“Walaupun ada kekurangan tetapi masih mahu belajar. Saya suka dengan kesungguhan Fattah dan yakin dia boleh bawa watak Awang.

“Walaupun ada segelintir netizen yang memberikan respons negatif, tetapi itulah tanggungjawab saya sebagai pengarah, untuk memberi dorongan dan tunjuk ajar kepada Fattah di set penggambaran.

“Fattah sendiri sanggup masuk kelas silat dan memanah untuk menjayakan watak ini. Syukur alhamdulillah, kini sudah terbukti lakonan Fattah berjaya membuka mata dan membidas kata-kata mereka yang beranggapan Fattah tidak sesuai untuk berlakon dalam filem Mat Kilau ini,” katanya kepada Getaran.

Tahniah diucapkan kepada Fattah Amin kerana berjaya menggalas tanggungjawab dengan baik.

Syamsul Yusof Pecah Rekod Sendiri, Kutipan ‘Mat Kilau’ Terus Melonjak

Pada Sabtu lalu, dalam tempoh masa sehari sahaja, Mat Kilau berjaya membuat kutipan sebanyak RM7.3 juta. Dan selepas itu, dalam masa 11 hari, filem arahan Syamsul Yusof ini berjaya mengumpul sebanyak RM47 juta.

“Mengikut momentum luar biasa yang semakin hari semakin naik, nampak gayanya Mat Kilau memang akan memecahkan rekod filem saya sendiri iaitu Munafik 2.

“Saya sangat bersyukur pada Allah. Terima kasih kepada penonton-penonton filem Malaysia yang masih mahu menerima sentuhan Syamsul Yusof.

“Saya terharu mereka masih memberikan sokongan bukan untuk filem Mat Kilau sahaja, tetapi filem-filem saya yang terdahulu,” kata Syamsul kepada Getaran.

Kongsi Syamsul lagi, jumlah kutipan keseluruhan filem Munafik 2 sebelum ini adalah sebanyak RM48 juta (dalam masa 50 hari).

Melihat sambutan hangat yang masih diberikan oleh penonton di Malaysia, dia yakin filem Mat Kilau dengan mudah bakal mencantas kutipan rekod Munafik 2.

“Saya sebenarnya bersaing dengan diri saya sendiri. Bagi saya ini adalah kejayaan yang sangat istimewa.

“Perkara ini akan berterusan. Insya-Allah mungkin di masa hadapan, perkara ini akan memberi motivasi dan pembakar semangat bukan sahaja untuk diri saya sendiri, bahkan buat pengkarya-pengkarya lain untuk hasilkan filem yang menepati cita rasa penonton dan memberikan mesej yang baik,” ujarnya.

Sejak mula ditayangkan di pawagam bermula 23 Jun lalu, filem Mat Kilau telah memberikan impak positif kepada rakyat Malaysia. Dikhabarkan ramai ibu bapa yang sudah mula mendaftarkan anak mereka untuk mengikuti kelas seni pertahankan diri silat.

Semoga akan ada lebih banyak filem berkualiti seperti Mat Kilau dihasilkan dan dapat memupuk jati diri serta kesedaran dalam setiap jiwa menonton

kredit: https://www.nona.my/, getaran, ig syamsul

Leave a Reply

Your email address will not be published.