Hiburan

“Bila dia letak harga begitu, kami terkejut”-Ayu Puteh Terpaksa ‘Tutup Mata’, Sampai Kena Beri Harga Lain Untuk Khatijah Tan

Kuala Lumpur: Penerbit Pencil Pictures & Records Sdn Bhd, Datuk Ayu Puteh terkejut dengan harga rendah yang diletakkan pelakon veteran, Khatijah Tan untuk filem terbaharu terbitannya berjudul Saadiah : Bekal Kasih Merdeka.

Enggan mendedahkan harga yang diletakkan pelakon berkaliber itu, Ayu atau nama sebenarnya Normashayu Puteh berkata, walaupun pernah menerima pelbagai penghargaan dan anugerah, tetapi Khatijah tidak berkira atau meletakkan harga tinggi untuk membintangi filem itu.

“Saya ingatkan bila mak (panggilan Khatijah) sukakan projek ini selepas selesai baca skrip dan pihak saya memang mahukannya dia akan letak harga ‘potong kepala’, tapi dia bukan macam itu seperti segelintir pelakon.

“Dia teruja kerana ini projek filem epik dan memegang watak Saadiah. Kalau nak diikutkan, dia bintang utama di dalam filem ini sebenarnya. Dia pun bukan bagi sikit-sikit, dia berikan ‘roh’ untuk filem ini.

“Bila tengok babak lakonannya di set penggambaran Saadiah, ia buat kami rasa kagum. Memang bakat mak ‘gifted’ sebagai seorang pelakon,” katanya.

Menurut Ayu, apabila melihat komitmen dan semangat Khatijah, dia sudah berbincang untuk memberikan bayaran yang lebih baik.

“Bila dia letak harga begitu, kami terkejut. Saya dan pengarah Ellie Suriaty saling memandang. Jadi mengenangkan bakat dan penghargaan kepada mak, kami ‘tutup mata’ dan berikan harga lain untuk dia. Ini kerana dialah yang menghidupkan keseluruhan cerita.

Pada awalnya dia letak sejumlah harga kerana ingatkan ini adalah projek telefilem dan tak masuk panggung, tapi skala naskhah ini besar.

“Mak masuk set dengan babak penuh air mata, jadi saya beritahu Ellie untuk menambah bayaran lakonan selepas tiga hari penggambaran dan kami saling memahami,” katanya.

Ditanya mengenai persembahan Khatijah Tan menerusi Saadiah, Ayu kagum dan berpuas hati.

“Saya sangat puas hati, tiada komen. Pertama kali ambil mak berlakon, saya sudah jatuh cinta dengan dia. Mak juga tidak ‘diva’ dan mudah berikan kerjasama. Begitu juga dengan pelakon lain alhamdulillah. Bagi saya, bakat lakonan yang dimiliki ini tidak boleh dibeli dengan duit,” katanya.

Saadiah : Bekal Untuk Merdeka diinspirasikan daripada kisah balu anggota polis, Saadiah Abdullah yang menghantar makanan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik, Perak selama 37 tahun sebagai mengenang Allahyarham suaminya, Alias Nik Daud yang meninggal dunia pada 1975 dalam serangan hendap pengganas komunis sewaktu bertugas sebagai jurupandu bot di balai berkenaan.

Filem yang turut dibarisi Azrel Ismail, Kaka Azraff dan Faizal Hussien itu bakal ditayangkan di pawagam tahun depan.

KHATIJAH (kanan) bersama barisan pelakon filem Saadiah: Bekal Untuk Merdeka iaitu Kaka Azraff, Azrel Ismail dan Fian Ali.

Khatijah Tan sudah tak minat berlakon?

Sejak kehilangan pelakon dan pengarah, Pierre Andre dari radar seni, ibunya yang juga pelakon senior, Khatijah Tan sering menjadi tempat pertanyaan pelbagai pihak yang masih berminat mendapatkan khidmat anak sulungnya itu.

Meskipun puas memujuk, namun, Khatijah akui, kecewa dan putus asa membuatkan Pierre bulat hati tidak mahu terbabit dalam industri yang pernah menaikkan namanya, suatu ketika daahulu.

“Tak dinafikan, ramai bertanya ke mana Pierre menghilangkan diri. Ada yang menyatakan hasrat mahu bekerjasama, saya sendiri pernah berborak mengenai isu ini dengannya.

“Pierre masih rindukan bidang seni seperti berlakon dan mengarah. Namun, perasaan kecewa terhadap industri membuatkannya sudah tidak berminat untuk kembali aktif.

“Saya akui, Pierre seorang yang sensitif dan jangkaannya terhadap industri sangat tinggi. Apabila tidak dapat apa yang dimahukan, itu yang membuatkannya kecewa,” katanya kepada HIP.

Mengulas lanjut, pelakon filem Jangan Pandang Belakang itu berkata, sebagai orang kreatif, Pierre mempunyai pelbagai idea menarik untuk diketengahkan, namun, pengalaman masa lalu membuatkannya serik.

“Bukanlah niat nak puji anak sendiri, tetapi Pierre seorang yang sangat kreatif. Ada banyak skrip yang dihasilkan, tetapi tak nak jual pada orang lain kerana tidak dapat apa yang dikehendaki.

“Mungkin juga Pierre berjumpa orang yang salah sehingga menyebabkan skrip dan ideanya tidak berkembang serta terbantut menyebabkannya merajuk,” ujar pelakon berusia 62 tahun ini.

Ditanya adakah kebanyakan idea Pierre melangkaui masa atau lebih ke hadapan menyebabkan karyanya itu sukar untuk dilaksanakan, aktres berkaliber ini tidak menolak tanggapan itu.

“Agak sukar bekerjasama dengan orang yang boleh faham dengan jiwanya. Ada beza antara orang kreatif dengan bisnes.

“Kita hendak berkarya, tetapi fikiran orang berniaga lain. Bila terdapat banyak kekangan seperti bajet rendah, itu yang membuatkan mereka tidak serasi,” luah Khatijah ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Tiga Janda Melawan Dunia, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Khatijah berkata, peminat boleh melepaskan kerinduan terhadap karya anaknya menerusi saluran YouTube, Andre Brothers Pictures.

“Selain Pierre dan adiknya, Mikail Andre, saya juga terbabit dalam platform berkenaan. Ia memandangkan perkongsian Pierre lebih kepada kisah seram, penceritaan saya di pelantar itu juga lebih menjurus kepada pengalaman mistik yang pernah dilalui,” katanya.

Berkongsi perkembangan terbaharu, Khatijah yang sudah lapan tahun menetap di Ipoh, Perak memaklumkan, dia kini lebih selektif dalam memilih watak.

“Kalau ikutkan, saya sudah tidak berminat berlakon. Ini kerana saya tidak mahu membawakan watak sama seperti ibu.

“Antara sebab mengapa saya terima tawaran berlakon dalam filem Tiga Janda Melawan Dunia ini kerana saya perlu menyanyi rap.

“Jiwa saya lebih kepada keroncong. Apabila orang seperti saya kena menyanyi rap, sudah tentu ia satu cabaran buat saya,” kata Khatijah.

KREDIT: MSTAR

Leave a Reply

Your email address will not be published.