Uncategorized

‘Dia dalam keadaan lapar mulanya minta hantar ke balai polis’ – Pemandu e-hailing

BERITA kehilangan Zalina Azman yang tular sejak Isnin lalu semakin hangat diperkatakan apabila pelbagai pihak tampil menyalurkan maklumat dalam usaha mencari bekas personaliti televisyen TV3 berkenaan.

Ada pihak mendakwa melihat individu menyerupainya singgah di sebuah kafe di Seksyen 9, Shah Alam selain di beberapa lokasi lain seperti Seksyen 3, Taman Tasik Shah Alam dan beberapa lokasi lain.

Bagaimanapun, hasil siasatan dan semakan rakaman litar tertutup (CCTV) oleh pihak polis mendapati wanita yang dikatakan Zalina itu ialah seorang gelandangan.

Sahabat baik Zalina, Senator Datuk Ras Adiba Radzi turut melakukan misi selama dua hari berturut-turut mencari dan cuba menjejak Zalina di sekitar Shah Alam namun usaha itu masih belum mendatangkan hasil.

Terbaharu, seorang pengguna Instagram yang dikenali sebagai Nadhir Agito mendakwa pernah bertemu dengan seorang wanita menyerupai Zalina di Jalan Maarof, Bangsar, Kuala Lumpur.

Pada Khamis, polis mengesahkan kelibat wanita mirip Zalina adalah gelandangan.
Menceritakan perkara itu, Nadhir yang meninggalkan komen di Instagram Senator Datuk Ras Adiba Radzi mendakwa, ketika itu dia sedang bertugas sebagai pemandu e-hailing dan terserempak dengan seorang wanita menyerupai Zalina sekitar pukul 6.45 pagi.

“Pada mulanya saya tidak dapat mengenal pasti disebabkan badannya yang kurus dan ketinggiannya rendah. Selepas melihat perkongsian you (Ras Adiba) dengan dia, ya saya berani dan yakin itu memang Zalina Azman.
“Saya pemandu Grab dan terserempak dengannya ketika waktu Subuh. Dia datang dekat kereta saya untuk minta bantuan namun dia kelihatan keliru tentang apa yang dia inginkan,” tulisnya di ruangan komen Instagram Ras Adiba.

Nadhir juga mendakwa berdasarkan pemerhatiannya, wanita mirip Zalina itu kelihatan seperti mengalami masalah amnesia dan mudah lupa.
Berkongsi lanjut mengenai perkara itu, Nadhir berkata, dia ada menawarkan bantuan untuk menghantarnya ke balai polis namun individu itu menolak.

Pengguna Instagram berkongsi kebarangkalian bertemu Zalina di Bangsar.
“Pada awalnya dia minta saya menghantarnya ke balai polis tetapi selepas itu dia macam menolak, tukar pula hendak pergi makan kerana lapar.

“Memang tangannya kelihatan menggigil. Saya cuba membantunya dengan mengambil gambarnya, tetapi dia menolak kerana berfikir saya akan melakukan perkara buruk kepada dia,” tambahnya.

Jelas Nadhir, tujuannya ingin mengambil gambar wanita itu kerana ingin memuat naik di laman sosial agar viral supaya keluarganya dapat mengetahui keberadaannya.

Pada malam Isnin lalu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam memaklumkan kehilangan seorang wanita berbangsa Melayu bernama Zalina Shaharah Azman berusia 58 tahun.
Fizikal Zalina disifatkan sebagai berkulit hitam manis, bertubuh kecil selain alamat terakhirnya di Seksyen 3, Shah Alam, Selangor.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim memberitahu anak lelaki personaliti itu,membuat laporan tentang kehilangan ibunya sejak 29 November tahun lalu.

Laporan itu dibuat selepas pengadu gagal mencari dan menghubungi ibunya sejak 24 November 2021 bagi memaklumkan bapa Zalina dimasukkan ke hospital.

Carian di kediamannya sebelum itu mendapati keadaan rumah tidak tersusun selain menemui beg duit yang mengandungi kad pengenalan, lesen memandu, kad bank, kad kresit, kunci kereta serta wang tunai RM600.

Sehubungan itu, IPD Shah Alam menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menyalurkan info kepada pegawai penyiasat kes, Sarjan Sabturia Lorong atau Balai Polis Seksyen 6 Shah Alam di talian 03-5519 4622.

Zalina sebelum ini cukup terkenal sebagai pembaca berita program Money Matters yang bersiaran di TV3.

kredit:mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published.