Uncategorized

Genap 9 Bulan, Lambat Hebah Kehilangan Zalina Azman, Ini Respons Pihak Polis – “Tiada Rekod Pergerakan”

Kehilangan personaliti TV3, Zalina Azman sejak November lalu ternyata mengejutkan ramai pihak termasuklah rakan-rakan terdekatnya.

Malah, berita mengenai kehilangan beliau yang tular sejak Isnin kini mendapat perhatian ramai pihak yang mengharapkan agar beliau ditemui dalam keadaan selamat.

Meskipun kehilangan beliau kini genap 9 bulan, namun itu tidak bermaksud pihak polis tidak menjalankan siasatan seperti yang dipersoalkan oleh segelintir warganet.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, hasil siasatan mendapati Zalina tidak pernah melakukan pergerakan ke luar negara ataupun menerima rawatan perubatan dimana-mana hospital malah, nombor telefon beliau juga tidak aktif sejak dilaporkan hilang pada November.

Selain itu, pihak polis juga turut bertukar maklumat dengan pelbagai agensi termasuklah Jabatan Imigresen, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan syarikat telekomunikasi.

Dan, pertukaran maklumat ini mengambil masa yang agak lama serta membabitkan proses tertentu sebelum mendapat keputusan.

Difahamkan juga, pihak polis sudah menjalankan siasatan sebaik sahaja laporan kehilangan mangsa dibuat oleh anak lelaki beliau, Mikhael Norman, 33, pada 29 November 2021 sebaik sahaja gagal menghubungi ibunya untuk memaklumkan yang datuknya dimasukkan ke hospital.

Sementara itu, keadaan rumah bekas personaliti TV3 ini juga berada dalam keadaan tidak tersusun dan pengadu turut menemui beg duit milik ibunya yang mengandungi kad pengenalan, lesen memandu, kad bank, kad kredit, kunci kereta, serta wang tunai berjumlah RM600.

Dan, hebahan orang hilang kepada umum adalah langkah terakhir dalam usaha menjalankan siasatan kes orang hilang.

“Polis tidak melambatkan hebahan, sebaliknya kita mengambil masa untuk membuat semakan dengan beberapa agensi berkaitan dalam usaha mengesan mangsa.

“Ia adalah perkara biasa dalam siasatan kes orang hilang, dan hebahan ini juga membolehkan orang awam menyalurkan maklumat.

“Usaha mengesan mngsa memang ada dijalankan selama ini, cuma kita melipatgandakan lagi usaha berkenaan,” katanya.

Gambar ini jadi kenangan pertemuan terakhir Ras Adiba dan Zalina pada 2020. – Foto IG Ras Adiba Radzi

‘Pelukan terakhir beri bayangan kesedihan Zalina’

Personaliti televisyen (TV), Senator Datuk Ras Adiba Radzi, 54, dapat merasai kesedihan dilalui sahabat baiknya, Zalina Azman ketika pertemuan terakhir, dua tahun lalu sebelum pandemik COVID-19 memuncak.

Malah, pada pertemuan itu, Ras Adiba dapat merasai pelukan terakhir Zalina bagaikan memberikan bayangan kesedihan yang dilalui.

“Masa itu, saya dapat merasai kesedihannya ketika kami berpelukan. Cuma, mengenali Zally (Zalina), dia cukup menjaga privasi, jadi kami ada batasan.

“Malah, dia mengajak saya ke rumahnya. Saya perhatikan berat badannya amat menyusut seperti gambar yang saya kongsi dalam laman Instagram (IG).

“Selepas itu, kami hanya berhubung menerusi telefon bimbit, tidak lagi bertemu,” katanya ketika dihubungi BH Online.

Ras Adiba berkata, perubahan fizikal bekas pengacara yang begitu sinonim dengan program Money Matters itu mengundang pertanyaan ramai mengenai masalah yang dilalui.

“Namun, saya fikir soal perubahan bentuk badan sangat subjektif. Pada usia tertentu, ada antara kita yang akan jadi terlampau kurus atau tembam.

“Cuma, saya tidak mahu bertanyakan lanjut kenapa semakin kurus pada pertemuan itu. Saya menghormati privasi Zally.

“Bagi saya, kita semua tidak sempurna dalam kehidupan ini. Setiap kita pasti ada cerita yang tersendiri.

“Mungkin juga dia banyak memendam rasa atau sebagainya. Tetapi, sebagai teman, kami akan sentiasa menyokong antara satu sama lain. Kami akan berada di sisi ketika memerlukan,” katanya.

Zalina dilaporkan hilang selepas anaknya, Mikhael Norman gagal menghubunginya pada November, tahun lalu.

Ras Adiba turut memaklumkan, dia dan suami, Mohamed Azam Ali akan mencari Zalina sekitar Shah Alam, malam ini.

“Suami meminta bantuan teman-teman termasuk geng pacuan empat roda dan otai TV3 untuk mencarinya.

“Saya pun akan turun padang turut serta selepas urusan kerja selesai,” katanya.

Terdahulu, berita mengenai kehilangan penyampai yang sinonim dengan program Money Matters ini tular selepas selebriti popular, Datuk Aznil Haji Nawawi berkongsi mengenai kehilangan beliau menerusi hantaran di Instagram miliknya pada Ahad.

Sumber/kredit foto: BH, Harian Metro, Instagram

Leave a Reply

Your email address will not be published.