Hiburan

‘Hati tak tenteram’ – Youtuber Tarik Tudung Kongsi Pengalaman Tidur Dlm Lokap

“Ini dugaan daripada Allah, saya kena hadap, saya kena bertanggungjawab dengan apa saya buat,” kata YouTuber, Nick yang menerima hukuman kerana membuat dan muat naik kandungan YouTube mengenai tarik tudung muslimah.

Luah pemilik nama sebenar Fakhrul Rushdan Roslan, 24, apa yang berlaku memberi kesan mendalam kepada dirinya, terutama apabila ditahan di lokap sepanjang kesnya disiasat.

Katanya, ketika ditahan polis pada 7.30 malam Isnin lalu, hatinya sudah tidak tenang dan dia juga banyak muhasabah diri, memikirkan kembali kesalahan dilakukan.

“Bila di lokap itu (Balai Polis Wangsa Maju), saya memang tidak boleh tidur. Hati tak tenteram kerana fikirkan keluarga. Sedih dan tak boleh terima apa diri saya buat.

“Saya faham perkara itu berkait dengan soal agama tetapi ketika saya buat (video) itu, saya tak berfikir panjang. Apabila jadi begini barulah saya terfikir kesannya.

“Silap saya sebab tak buat penjelasan awal, yang ia adalah eksperimen sosial hingga ramai salah faham,” katanya ketika ditemui Harian Metro di Jalan Ampang, di sini hari ini.

Nick menerima hukuman atas kesilapan itu apabila didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, kelmarin dan dikenakan denda atas kesalahan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan/ Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Katanya lagi, ibunya insan yang paling sedih atas apa yang berlaku dan dia belum berkesempatan bersemuka dengan wanita berkenaan di rumah keluarga di Rawang.

“Saya hanya berhubung di telefon dan menjelaskan hal sebenar. Emak, ayah dan abang tahu semuanya dan mereka sedih, tapi emak yang paling terkesan.

“Saya hanya mampu berterus terang, mengakui kesilapan saya dan meminta maaf. Saya beritahu akan selesaikan semuanya dan menjaga air muka mereka,” katanya yang sedar keluarganya marah dengan tindakan melulu itu.

Akuinya, sejak kisahnya tular, dia menerima kecaman berterusan selain ugutan untuk mencederakannya, dan dia sudah membuat laporan polis bagi melindungi diri.

“Nak cakap sedia (untuk keluar dan menghadap masyarakat) masih 50-50 lagi, sebab ramai tak boleh terima apa saya buat. Buat masa ini, saya selesa duduk rumah dahulu sehingga kes selesai,” katanya.

Berkongsi mengenai video yang mencetuskan perdebatan warganet itu, Nick berkata, ia ideanya untuk eksperimen sosial mengenai keteguhan wanita muslimah mempertahankan aurat dan mengaku membayar dua rakan sebagai ‘pelakon’.

“Saya faham netizen marah kerana ingat mereka orang awam tetapi sebenarnya mereka kawan saya,” katanya yang turut mendapat bantuan rakan, Erwinsyah Sumadi, 36, yang membayar ikat jamin RM3,500 selain turut menasihatinya.

VIDEO PENJELASAN SEBELUM DIA DITAHAN POLIS

Sumber : HMETRO ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published.