Hiburan

Mempunyai lebih empat juta pengikut di TikTok, ini reaksi Raffa Bila Ada Org Tak Suka Dia Cover Lagu Tiara

Raffa Affar, penyanyi cover Indonesia yang baru-baru ini dikecam pelbagai pihak dan individu susulan tindakannya menyanyikan lagu popular, Tiara dari kumpulan Kris, dengan alunan dan nada dianggap tidak sesuai, tampil menjelaskan bahawa dia hanya mengikut arahan dari syarikat rakaman.

Raffa yang mempunyai lebih empat juta pengikut di TikTok berkata, setiap orang bebas memberikan pendapat dan dia tidak boleh memaksa orang untuk suka atau sebaliknya.

“Kalau mereka suka, Alhamdulillah, kalau tak ada yang suka, berterima kasih juga. Versi nyanyian saya ini juga adalah arahan daripada syarikat rakaman dan sudah dipersetujui oleh penerbit. Jadi, saya tak buat sesuka hati,” katanya.

Jelas pelantun lagu Cinta Sampai Mati itu berkata, dia tahu lagu Tiara popular pada 1991 di mana liriknya sangat puitis dan memilih lagu berkenaan untuk dinyanyikan semula mengikut versinya sendiri.

“Saya tahu lagu itu popular pada 1991, saya tahu daripada syarikat rakaman dan saya pun mendengarkannya. Jadi, saya suka lagu yang mendayu-dayu sebegitu. Saya cuba membuat versi ‘cover’ sendiri.

“Lagu ini dekat dalam hati saya dan saya berasa bahagia apabila dapat menyanyikan lagu ini. Lirik lagu Tiara ini sangat puitis dan saya mahu dengarkan lagunya yang lain,” katanya.

Dalam pada itu, Raffa berkata, dia dalam perancangan untuk membuat ‘cover version’ lagu daripada Dinamik dan Lestari. Malah, dia juga meminati kumpulan Floor 88 dengan lagunya berjudul Hutang yang dikatakan sangat popular di Indonesia.

“Insya-Allah, saya juga akan berduet dengan penyanyi Malaysia iaitu Aiman Tino atau Khai Bahar. Jadi, doakan semoga perancangan ini dapat dicapai,” katanya.

Peminat, Dato Hattan ber4ng, Raffa Affar r0sakkan lagu Tiara

Terdahulu, penyanyi Indonesia iaitu Raffa Affar merakamkan semula lagu Tiara nyanyian kumpulan Kris sehingga mencecah 22 juta tontonan di saluran YouTube miliknya walaupun baru sebulan dilancarkan.

Nyanyian semula sebuah lagu balada rock malar segar, Tiara dendangan asal kumpulan era 1980–an, Kris kini menjadi perdebatan peminat dalam laman sosial.

Semua itu susulan cara dendangan seorang penyanyi popular dari Indonesia, Raffa Affar yang dikatakan telah merosakkan melodi dan keaslian lagu berkenaan.

Menerusi satu klip video dari seberang yang tular ketika ini menyaksikan penyanyi yang pernah mencipta fenomena dengan lagu tular, Cinta Sampai Mati itu menyanyikan kembali lagu Tiara dalam sebuah program hiburan rancangan siaran langsung.

Meninjau komen-komen, penyanyi yang mempunyai pengikut lebih 22 juta dalam YouTube itu menerima pelbagai kecaman dan dituduh merosakkan lagu tersebut.

Orang ramai terutamanya peminat dari Malaysia menganggap penyanyi muda itu tidak layak untuk menyanyikan kembali lagu berstatus ‘legenda’ ciptaan Datuk M . Nasir itu.

“Rosak lagu alunan tidur aku, lagu ni legenda Malaysia, tak faham juga suara tak ada nada macam ni ada peminat berjuta.

“Suara tak lepas konon mendayu-dayu kemudian ‘claim’ lagu mereka, ” jelas Armada Jaafar.

“Dia ni kalau secara langsung memang rosak la lagu, kalau rekod pun tak sedap mana suara dia.

“Hilang mood aku nak dengar lagu pilihan hati ni, Tiara ini antara lagu terhabat zaman 80-an dulu, ” jelas Irfan Nor.

Dalam pada itu Penyanyi otai, Datuk Hattan meminta penyanyi baharu di Indonesia supaya mendapatkan kebenaran daripada pihak bertanggungjawab sebelum merakamkan semula lagu ‘hit’ Malaysia yang menjadi siulan dahulu.

Menerusi satu posting di laman Instagram, penyanyi berusia 57 tahun itu menegaskan, tindakan tersebut perlu dilakukan kerana mereka menghasilkan susunan muzik baharu.

“Sekarang ni banyak betul ‘Budak Baru Nak Up’ (BBNU) orang seberang (Indonesia), dia rakam balik lagu ‘hit’ kita dulu-dulu. Okay je kalau kau nak rakam. Tapi kau dah minta kebenaran belum?

“Sebab kau buat muzik baharu tu. Benda tu kau kena minta kebenaran, ibarat kau dah buat lagu baharu menggunakan lagu sini. Nak rakam boleh, biar betul caranya,” katanya baru-baru ini.

Selain itu, Hattan juga meluahkan rasa kesal apabila lagu lama 90-an bertukar menjadi ‘lembik’ oleh BBNU negara tersebut seolah-olah tidak menghormati hasil karya orang Malaysia.

“Lagu satu… yang kau lembik-lembikkan lagu tu kenapa? Macam ular kena pukul pula. Belajar menghormati lagu lah, BBNU seberang. Kau rakam lagu orang, entah jadi apa bunyi. Kau tukar-tukar melodi.

“Siapa entah nama, Raffa ke Zinedine Zidane lah. Kau jangan memandai-mandai. Kau nak rakam, rakam elok-elok. Kalau kau tak bayar royalti, tu dah kira cetak rompak,” ujarnya.

Sumber: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published.