Uncategorized

Mereka Berjaya Kumpul RM40K, Ini Yg Akan Mereka Buat Dengan Duit Yg Lebih

Kumpulan peguam Lawyers for Liberty berjaya mengumpulkan dana awam sebanyak RM40,000 untuk membayar wang ikat jamin seorang wanita dan kekasihnya yang didakwa menghina Islam dalam satu persembahan komedi.

“Kami sudah kumpulkan RM40,000.

“Wang yang terus masuk selepas ini kami akan pulangkan kembali kepada penderma yang memberikan butiran terperinci,” kata R Sivaraj, peguam kepada Nuramira Abdullah, kepada pemberita.

Bagaimanapun peguam tidak pasti sama ada Nuramira dan Alexander Navin Vijayachandran akan dibebaskan hari ini, bergantung sama ada mahkamah sempat memproses bayaran itu.

“Memandangkan mereka berada di Beranang atau Kuala Kubu Bharu, kita tidak pasti hari ini atau esok,” katanya.

Wanita hina Islam, dapat sokongan penderma seluruh dunia’

“Ramai yang memberi sumbangan dan ada yang menawarkan untuk membayar yuran guaman Siti Nuramira Abdullah,” katanya seperti dilaporkan oleh portal dalam talian, FMT.

Katanya, pasukannya juga telah dihubungi oleh penderma dari seluruh dunia yang berminat untuk membuat sumbangan terhadap perjuangan Siti Nuramira di sisi undang-undang.

“Bayaran wang jaminan itu dijangka dibuat esok pada pukul 9 pagi,” katanya sambil menambah akan mengembalikan wang yang dibiayai orang ramai, sebaik sahaja kes anak guamnya selesai dan wang ikat jamin dibebaskan mahkamah.

Terdahulu, Siti Nuramira mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menimbulkan rasa tidak harmoni dalam kalangan masyarakat Islam ketika melakukan persembahan di Kelab Komedi Crackhouse di Taman Tun Dr Ismail pada 4 Jun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen, Siti Aminah Ghazali, membenarkan Siti Nuramira diikat jamin RM20,000 oleh seorang penjamin dan turut memberi amaran kepadanya supaya tidak mengulas mengenai kes itu.

Pada hari yang sama, Navin, 38, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memuat naik kandungan menghina di media sosial.

Bagi pertuduhan pertama, Navin didakwa berkongsi di akaun Instagramnya pada 5 Jun dengan niat untuk menghina orang lain.

Manakala pertuduhan kedua, dia didakwa berkongsi kandungan melalui akaun YouTubenya pada 16 Jun dengan niat untuk menghina orang lain.

Hakim Mahkamah Sesyen, Azrul Darus membenarkan Navin diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 September untuk sebutan semula kes.

kredit: bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published.