Amalan

Tokti Kongsi Pengalaman Temui Lailatul Qadar & Malaikat, Buat Netizen Meremang Dengar

Tular sebuah video memaparkan penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza mendakwa dia melihat satu kejadian luar biasa ketika menjadi tetamu Allah di Tanah Suci Mekah.

Baru-baru ini, menerusi akaun Facebook Kaki Video Champ, video dipercayai rakaman lama itu memaparkan Siti Nurhaliza atau mesra dipanggil Tokti berkongsi pengalaman dalam mencari malam Lailatul Qadar.

Bercerita dalam sebuah program di TV AlHijrah yang dihoskan ustaz Don Daniyal, Siti berkata dia sentiasa berdoa di 10 terakhir Ramadan agar dipertemukan dengan Lailatul Qadar dan juga malaikat.

“Sampai malam ke-27 ketika itu. Sewaktu saya baru saja selesai tawaf sunat juga. Saya balik ke hotel, ketika itu kan doa qunut dibacakan dalam pukul 3 pagi.

“Waktu doa yang panjang tu lah kebetulan saya balik ke hotel, berehat sekejap dan terus ke satu tempat tu di tempat yang terbuka dan tempat tinggi. Saya dan juga suami. Sebab hati saya terlalu kuat cakap.

“Saya ajak suami ‘jom kita duduk kat balkoni yang terbuka ni’ dan dia boleh menghadap Kaabah jelas dan persekitaran Kaabah pun saya boleh nampak,” katanya.

Siti berkata, ketika imam membaca doa qunut itulah dia mendakwa melihat kejadian menakjubkan sekali gus sebak kerana hajatnya dimakbulkan Allah SWT.

“Di situlah bila doa qunut yang dibacakan oleh imam, di saat doa-doa yang terakhir tu semuanya menangis, amin dalam hati.

“Saya tak tahu apa yang tergerak hati saya untuk pandang ke langit dan di situ lah saya lihat. Saya dapat tengok apa yang saya minta tu Allah tunjukkan,” ujarnya.

Video berdurasi kira-kira empat minit itu mendapat 7,500 perkongsian dan 1,600 komen netizen yang meninggalkan pelbagai reaksi mengenai pengalaman dirasai penyanyi tersebut.

Rata-rata netizen seperti meragui apa yang diperkatakan oleh penyanyi berusia 43 tahun itu dengan berpendapat bahawa bukan mudah bagi seseorang untuk bertemu Lailatul Qadar apatah lagi malaikat.

Bagaimanapun, segelintir netizen menyifatkan Siti beruntung kerana diberi peluang untuk melihat malam penuh mulia dan keberkatan itu, lebih-lebih lagi di Tanah Suci.

Bila dah jumpa malam tu, sepatutnya jadi warak


Alhamdulillah! Allah muliakan dia dengan macam2 nikmat


Sepatutnya, biarlah rahsia…

Terdahulu Siti Nurhaliza Berkongsi Pengalaman Menangis Depan Kaabah – “Ini Yang Saya Rindu Sebenarnya… Orang Tak Kenal Saya, Semua Berebut Berdoa.”

“Ini yang saya rindu sebenarnya, saya dapat jadi orang biasa… saya dapat hidup macam ni.

“Saya dapat duduk dengan orang-orang biasa macam ini buatkan saya jadi manusia yang sekecil-kecilnya.

“Saya suka duduk macam ni, dengan ramai-ramai macam ini. Orang tak kenal saya pun dan masing-masing pun tengah berdoa, semua berebut untuk berdoa,” katanya sambil menyeka air mata.

Apapun, sama ada benar atau tidak, hanya Siti dan Allah SWT yang mengetahui. Semoga kita juga berpeluang untuk melalui kejadian istimewa berkenaan! Amin.

Terdapat satu malam istimewa yang dipanggil malam Lailatul Qadar sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-Qadr ayat 1-5 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, (1) Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? (2) Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. (3) Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); (4) Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.”

Jelas bahawa Lailatul Qadar adalah malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Bayangkan ia adalah malam yang sangat mulia di mana para malaikat turun membawa rahmat Allah bagi orang-orang yang terpilih bertemu dengannya.

Lailatulqadar akan berlaku pada salah satu malam sahaja di dalam bulan Ramadan.

Ada sebab Allah menyembunyikan waktu Lailatulqadar, termasuklah;

1. Menunjukkan kehebatan Allah

Allah Maha Mengetahui segala-galanya yang telah diciptakan termasuklah waktu malam Lailatul Qadar seperti mana firman-Nya dalam Surah Al-Baqarah ayat 30 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.”

2. Supaya manusia dalam keadaan ibadah

Apabila kita tidak tahu bilakah waktu Lailatul Qadar yang sebenarnya, ia akan menjadikan kita ingin beribadah pada semua malam dan tidak fokus pada satu malam sahaja.

Hal ini menjadikan orang-orang yang beriman sibuk dengan ibadah sepanjang Ramadan khususnya pada 10 malam terakhir untuk mencari Lailatul Qadar.

3. Supaya manusia digandakan pahala

Bayangkan jika kita sudah tahu waktu malam Lailatul Qadar, sudah tentu kita abaikan waktu malam yang lain di bulan Ramadan. Sebab itulah Allah menyembunyikan waktu tersebut bagi memberi pahala yang berlipat ganda pada hamba-Nya yang sentiasa berusaha beribadah dan istiqamah berdoa kepada Allah.

4. Supaya manusia tidak melakukan maksiat

Banyak di antara kita yang tidak dapat mengelak dari perbuatan maksiat. Betapa bahaya dan malangnya mereka jika mereka mengetahui malam tersebut adalah malam Lailatul Qadar, sedangkan mereka masih berani melakukan dosa dan maksiat.

Malam Lailatul Qadar adalah peluang bagi orang Islam mendapat sebesar-besar keampunan dari Allah Taala. Oleh itu, sama-samalah kita tingkatkan diri dalam beribadah sementara Ramadan masih berbaki beberapa hari sahaja lagi.

Semoga Allah menerima ibadah kita, ampuni dosa kita serta mengizinkan kita untuk bertemu dengan malam Lailatul Qadar.

Sumber: Facebook Kaki Video Champ

Leave a Reply

Your email address will not be published.