Hiburan

Vanidah Imran Kembali Bergelar Isteri. Ini Pekerjaan Suami Baru, Bukan Biasa2

PELAKON Vanidah Imran selamat melangsungkan perkahwinan dengan seorang jurutera dikenali sebagai Arifabillah Idris dengan sekali lafaz kira-kira pukul 12.12 tengah hari pada Khamis.

Pasangan itu dinikahkan oleh Pendaftar Nikah Cerai Rujuk, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Muhammad Fairudz Saderi dengan berwalikan adik Vanidah, 49, iaitu Johan Imran di sebuah premis di Titawangsa, Kuala Lumpur.

Vanidah menerima mas kahwin berbentuk seutas rantai emas daripada Arifabillah, 43, selain masing-masing berbalas dua dulang hantaran namun wang hantaran dirahsiakan jumlahnya.

Vanidah merahsiakan hubungannya dengan suami sebelum ini.
Majlis itu dihadiri oleh 50 tetamu terdiri daripada kalangan keluarga dan tempat rapat kedua-dua mempelai.

Dalam majlis berlangsung sederhana namun penuh bermakna itu sentuhan perancang perkahwinan @ezsconcept, Vanidah mengenakan pakaian rekaan Rizman Ruzaini dan solekan oleh Syed Faizal.
Kembali bergelar isteri, kata Vanidah, ia bukan sesuatu yang mudah, namun berkat restu seluruh ahli keluarga dan sokongan rakan-rakan, niat baik itu dipermudahkan oleh Allah.

Justeru, sebelum tiba hari bahagia itu, Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-20 itu memilih mengunci mulut tanpa menghebahkannya.

“Sejujurnya yang tahu saya dan Arifabillah mempunyai hubungan istimewa hanyalah kawan rapat selain keluarga dan dua anak saya, Mikail Aimran dan Maryam Rashika.

“Kawan rapat pun hanya dimaklumkan beberapa hari sebelum majlis pernikahan. Ada di antara mereka terkejut dengan berita ini, namun dalam masa tumpang gembira terhadap keputusan dibuat,” ujarnya.

Kata Vanidah, sejujurnya dia gembira dan bersyukur kerana bertemu jodoh dengan Arifabillah yang memiliki persamaan dengannya.

Pernikahannya turut dihadiri oleh kedua-dua anaknya.

Jelas Vanidah, dia dan suaminya, berpengalaman melalui kegagalan dalam perkahwinan pertama serta dikurniakan anak, justeru, persefahaman lebih mudah dicapai.
“Kami pernah berkahwin. Masing-masing pernah melalui pengalaman hidup berumah tangga. Dia sebelum ini berstatus duda kepada empat cahaya mata.

“Jadi paling utama dalam memutuskan soal membina masjid kami, perasaan dan hati anak-anak perlu diutamakan,” kata Vanidah yang kini bertugas sebagai pensyarah Kolej Seni Kreatif, Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Sebelum ini, Vanidah pernah berkahwin dengan aktor Rashidi Ishak pada 1 Oktober 2000 namun rumah tangga yang dibina selama 17 tahun itu berakhir dengan perceraian pada 9 Ogos 2018.

kredit:mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published.