Hiburan

Baru tiga hari ditayangkan, jumlah kutipan Air Force The Movie hampir menyamai rekod filem Mat Kilau

Selepas tiga hari ditayangkan di pawagam, filem aksi terbaharu, Air Force The Movie: Selagi Bernyawa berjaya meraih hasil kutipan sebanyak RM6 juta.

Kutipan pantas filem ini hampir menyamai rekod kutipan filem aksi inspirasi sejarah, Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan yang berjaya meraih sebanyak RM7 juta sepantas tiga hari ditayangkan.

Berita gembira itu dimuat naik sendiri oleh pihak penerbitan menerusi satu hantaran di laman Instagram rasmi mereka pada semalam.

“#AirForceTheMovie berjaya mengutip RM6 juta dalam 3 hari tayangan! Terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana menyokong filem ini!,” tulis kapsyen akaun rasmi filem tersebut.

Dalam pada itu, para pelakon filem bertemakan ketenteraan itu turut menzahirkan rasa syukur dengan kejayaan yang diperolehi.

Antara pelakon Air Force The Movie: Selagi Bernyawa yang berkongsi rasa gembira itu adalah sosok tubuh yang pernah memegang watak pahlawan sebuah filem inspirasi sejarah, Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan iaitu Datuk Adi Putra.

“Alhamdulillah. Pertama dalam sejarah selama tiga hari tayangan dengan kutipan RM 6,000,000.00. Terima kasih pada semua yang menyokong,” maklum Datuk Adi Putra di Instagram miliknya semalam.

Dalam pada itu, pelakon lain yang turut membintangi filem aksi tersebut, Aiman Hakim Ridza turut sama tidak terkecuali menyatakan rasa syukurnya.

“Terima Kasih atas sokongan anda semua! Teruskan menyokong filem tempatan! Filem #airforcethemovieselagibernyawa berjaya mengutip RM6 juta dalam masa 3 hari tayangan!,” jelas Aiman di Instagram.

“#AirForceTheMovie berjaya mengutip RM6 juta dalam 3 hari tayangan! Terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana menyokong filem ini!,” kata Nas-T di Instagram miliknya.

Untuk makluman, filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa merupakan hasil karya pengarah Zulkarnain Azhar dan Frank See.

Dalam filem ini, ia turut dibintangi beberapa pelakon terkenal tanah air seperti Aiman Hakim Ridza, Datuk Adi Putra, Nas-T, Luqman Hafidz, Johan As’ari, Pablo Amirul, Jack Tan dan Sara Ali.

Air Force The Movie: Selagi Bernyawa mula ditayangkan bermula 25 Ogos lalu di Malaysia.

Imbas kembali laporan terdahulu, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan pernah mencatat rekod hampir sama dengan Air Force The Movie: Selagi Bernyawa iaitu mencatat kutipan lebih RM5 juta ringgit seawal tiga hari ditayangkan.

Malah tidak kurang juga, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan juga dinobat filem terpantas ‘laku keras’ di Malaysia dengan meraih RM47 juta kutipan dalam masa 11 hari tayangan.

Kenyataan itu dimuat naik oleh pengarahnya sendiri, Syamsul Yusof menerusi laman Instagram miliknya, syamsulyusoffilm.

“Mat Kilau merupakan filem terpantas meraih kutipan sebanyak RM47 juta dalam tempoh 11 hari. Bakal mengatasi box office rekod Munafik 2 tahun 2018 (RM48 juta),” katanya ketika itu.

Syamsul menyatakan rasa syukurnya yang tidak terhingga selepas filem inspirasi sejarah berkenaan mendapat sambutan yang memukau daripada seluruh rakyat tempatan.

“Hilang kata. Limpah kurnia dariNya. Alhamdulillah terima kasih semuanya. Majulah filem bangsa & negara,” tulisnya dalam kenyataan itu yang dimuat naik dua bulan lalu.

Biodata Adi Putra

Nama sebenarnya, Mohamed Hadi Putera bin Halim. Menggunakan nama komersial, Adi Putra.

Kelahiran Singapura pada 26 Februari 1981. Kini berumur 39 tahun.

Memegang status sebagai warganegara Malaysia.

Kediamannya terletak di Kuala Lumpur.

Anak bongsu daripada tiga orang adik-beradik.

Seorang pelakon, penyanyi dan pengacara yang mula aktif dalam dunia hiburan sejak tahun 2002.

Antara drama dibintanginya seperti Cinta Bollywood 2, Spa Q, Akukah Tanggang, Tentang Dhia, Sehangat Asmara, Cinta Si Wedding Planner dan Bahagia Bukan Bidaan.

Termasuk telefilem Juminten, Kehangatan Lantana, Air Mata Salina , Jauh, Serindu Taj Mahal, 3 Hari Menanti Mati dan banyak lagi.

Pembabitannya di layar perak, antaranya menerusi filem 1957: Hati Malaya, Anak Halal, Akhirat, Histeria, KL Gangster, Aku Terima Nikahnya dan Mat Kilau.

Juga terlibat dalam bidang teater menerusi pementasan Rubiah, Sri Mersing, Akulah dan Di Bawah Lindungan Ka’bah.

Turut melebarkan sayap dalam cabang seni muzik menerusi penghasilan album studio solo perdananya yang berjudul Kelahiran terbitan tahun 2008. Antara single dipopularkannya termasuk Tentang Dhia, Tiada

Kasih Tiada Cinta dan Dia Untukku.

Penyandang gelaran Artis Lelaki Anggun Bergaya di Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke–25 pada 2011, Anugerah Harapan Seri Temasek di Anugerah Seri Temasek (2012), Anugerah Artis Sensasi di

Anugerah Melodi ke–3 (2013) dan Selebriti Lelaki Paling Seksi di Anugerah Stail EH! (2014).

Laman sosial Instagramnya yang menggunakan nama @adpadiputra sehingga kini mencatatkan lebih 1.3 juta pengikut.

Fakta Menarik

Berketinggian 1.72 meter.

Juga dikenali sebagai Hadi Putera dan Ady Putra.

Bekas penuntut Institut Pendidikan Teknikal Singapura dalam bidang Kejuruteraan.

Sebelum bergelar selebriti, beliau pernah menyara kehidupan sebagai seorang penghantar Pizza Hut, kakitangan kedai serbaneka 7-Eleven dan juruteknik penghawa dingin.

Selesai menjalani khidmat negara, pekerjaan sepenuh masanya yang pertama ialah sebagai juruteknik pencahayaan untuk sebuah produksi siri televisyen Cina MediaCorp.

Mula terjun dalam bidang seni di Singapura sebagai model, pelakon dan pengacara di MediaCorp Suria.

Berpindah ke Malaysia pada 2004 untuk melebarkan kerjaya seninya sebelum diterima baik peminat seni hiburan tempatan.

Mengumumkan dirinya termasuk isteri dan anak-anak telah menerima status warganegara Malaysia, menerusi laman Instagram pada April 2018.

Pada 24 Oktober 2017, beliau menerima anugerah Peringkat Kedua Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa kepada gelaran Datuk.

Perkahwinan

Mendirikan rumah tangga dengan Zuhaida Yusof pada 14 April 2006 sebelum dihadirkan dengan Zara Adelia sebagai cahaya mata sulung pada 18 Oktober 2012.

Mereka bagaimanapun memutuskan untuk bercerai pada Mac 2017 sebelum kembali bernikah pada Januari 2018.

Selain itu, beliau pernah berkahwin dengan Norshahida Dzolkifly pada 20 Jun 2016, namun berpisah pada Mac 2017.

Sumber: https://siakapkeli.my/

Leave a Reply

Your email address will not be published.