Amalan

Mahkamah Persekutuan Tolak Rayuan Akhir , Ini Hukuman Dan Denda Yang Akan Najib Tempuhi

MAHKAMAH Persekutuan Putrajaya menolak rayuan akhir Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengetepikan sabitan hukuman dan denda yang dikenakan terhadapnya berhubung penyelewengan dana Syarikat SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membuat keputusan yang betul dan tidak terkhilaf apabila mensabitkan Najib terhadap tuduhan berkenaan.

Susulan keputusan itu, bekas Perdana Menteri berkenaan, diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Status terakhir Najib di facebook beliau

حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ
Cukuplah Allah sebagai penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik pelindung
(Surah Al-Imran 3:173)

Rayuan akhir: Najib ragu bebas dari tuduhan, keluar bertemu penyokong

DATUK Seri Najib Tun Razak mengakui timbul perasaan ragu-ragu sama ada beliau akan mendapat peluang yang adil untuk dibebaskan daripada tuduhan yang dikenakan ketika ini.

Beliau turut memberitahu Mahkamah Persekutuan Putrajaya bahawa situasi yang dihadapi membuatkannya berasa tidak selesa.

Ketika memberi kenyataan sebelum mahkamah menjatuhi hukuman, bekas Perdana Menteri itu menyatakan, tidak pernah ada satu kes dalam sejarah undang-undang di Malaysia, di mana peguam dalam perbicaraan jenayah atau rayuan dihalang daripada melepaskan dirinya daripada mewakili anak guamnya.

“Sepanjang prosiding berlangsung minggu lalu, saya dapati peluang saya untuk mengecapi kejayaan pada rayuan ini perlahan-lahan terhakis.

“Bukan kerana kekurangan merit tetapi kerana saya tidak diwakili,” katanya di hadapan lima panel diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Turut bersidang ialah empat panel hakim iaitu Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Datuk Abang Iskandar Abang Hashim serta tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah. – Sinar Harian

Panel hakim (dari kiri) Tun Tengku Maimun Tuan Mat (Ketua Hakim Negara), Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim (Hakim Besar Sabah dan Sarawak), Datuk Nallini Pathmanathan (Hakim Mahkamah Persekutuan). Bawah kiri: Datuk Mary Lim Thiam Suan (Hakim Mahkamah Persekutuan) dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah (Hakim Mahkamah Persekutuan).

Leave a Reply

Your email address will not be published.