Amalan

Malam Pertama Najib Di Penjara Kajang, Ini Suasana Yang Berlaku Di Sepanjang Pintu Masuk

Kes Najib: Undi bawa perubahan politik tidak sia-sia

Keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara selama 12 tahun dan denda sebanyak RM210 juta terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung penyelewengan RM42 juta dana SRC International harus menjadi peringatan kepada rakyat di negara ini bahawa setiap undi yang membawa kepada perubahan politik adalah sangat penting dan tidak sia-sia.

Ketua Penerangan Gerakan Tanah Air (GTA), Datuk Nizam Mahshar berkata, apa yang berlaku juga didorong oleh perubahan politik yang berlaku pada Mei 2018, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Justeru katanya, GTA mengharapkan kejayaan keputusan pengadilan yang dibuat akan memberi harapan kepada rakyat untuk terus kuat berusaha memperbaiki Malaysia demi menjadi negara yang maju dan bermaruah.

“Setiap undi berharga. Setiap undi itu adalah langkah kecil yang menghantar mereka yang menyeleweng dan menjarah harta rakyat ke penjara.

“Keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini harus menjadi peringatan untuk kita terus melakukan kerja-kerja pembetulan demi mengembalikan negara serta etika dan moral rakyatnya ke landasan yang betul,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mahkamah Persekutuan pada Selasa mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Datuk Seri Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat ketika membacakan keputusan lima panel hakim itu berkata, mahkamah tidak mendapati sebarang kesalahan dalam penghakiman yang dibuat Hakim Bicara ketika itu iaitu Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Mengulas lanjut, Nizam berkata, keputusan itu juga membuktikan dengan jelas bahawa kepimpinan politik Melayu juga harus melakukan perubahan kerana politik Melayu hari ini sudah seperti sinonim dengan politik rasuah, politik wang dan penyalahgunaan kuasa.

Katanya, walaupun masih ada penyokong-penyokong tegar Najib dan UMNO masih mahu menegakkan benang basah, mahkamah telah berjaya menunjukkan dengan bukti demi bukti bahawa penyalahgunaan kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram telah berlaku.

“Keputusan hari ini memberi justifikasi kenapa politik Melayu harus diubah secara menyeluruh dan membuktikan kepimpinan politik Melayu mampu menampilkan kepimpinan yang berwibawa yang mampu menguruskan dan memajukan negara dengan baik dan memberi keadilan kepada semua.

“Ini adalah asas kepada penubuhan GTA untuk memberi tawaran baharu kepada orang Melayu bahawa politik mampu dimurnikan dan kita masih punya kepimpinan politik berwibawa untuk ditawarkan,” katanya.

Kes Najib: Undi bawa perubahan politik tidak sia-sia

Tiada kelibat penyokong Najib di Penjara Kajang

KAJANG – Tiada penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat hadir di Penjara Kajang di sini berikutan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman dan sabitan terhadapnya dalam kes SRC International Sdn Bhd.

Setakat jam 8 malam, wartawan daripada beberapa media dilihat berkumpul di sepanjang pintu masuk penjara tempat Najib diarah menjalani hukuman penjara 12 tahun.

Walaupun suasana sunyi, pihak berkuasa dilihat memasang halangan kawat berduri berhampiran pintu masuk.

Tiada penjelasan diberikan mengenai sebab pemasangan halangan terbabit.

Suasana di hadapan pintu Penjara Kajang iaitu tempat di mana Najib diarahkan menjalani hukuman penjara selama 12 tahun bermula Selasa.

Mahkamah Persekutuan pada Selasa menolak rayuan akhir Najib untuk mengetepikan sabitan hukuman dan denda yang dikenakan terhadapnya berhubung penyelewengan dana syarikat SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membuat keputusan yang betul dan tidak terkhilaf apabila mensabitkan Najib terhadap tuduhan berkenaan.

Susulan keputusan itu, Najib yang juga bekas Perdana Menteri diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Leave a Reply

Your email address will not be published.