Amalan

Selepas Hakim Jatuh Hukuman Penjara 12 Tahun Dan Denda RM210 Juta. Ini Yang Berlaku Di Rumah Najib

KUALA LUMPUR – Suasana kediaman Datuk Seri Najib Tun Razak di Jalan Langgak Duta di sini tenang selepas keputusan rayuan akhir berhubung penyelewengan dana Syarikat SRC International Sdn Bhd.

Tinjauan Sinar Harian pada jam 5 petang mendapati keadaan sunyi dan tenang berhampiran rumahnya.

Tiada pergerakan anggota polis berhampiran rumahnya kecuali anggota polis yang bertugas di pondok pengawal polis di rumahnya.

Keadaan pada Selasa berbeza dengan situasi ketika siasatan kes itu terhadap bekas Perdana Menteri itu pada 2018.

Ketika itu, jalan berhampiran rumahnya dipenuhi oleh wartawan tempatan dan asing menunggu untuk melaporkan perkembangan terkini.

Pada Selasa, Mahkamah Persekutuan di sini menolak rayuan akhir Najib untuk mengetepikan sabitan hukuman dan denda yang dikenakan terhadapnya berhubung penyelewengan dana Syarikat SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membuat keputusan yang betul dan tidak terkhilaf apabila mensabitkan Najib terhadap tuduhan berkenaan.

Keadaan tenang di sekitar rumah Najib di Jalan Langgak Duta pada Selasa.

Susulan keputusan itu, Najib yang juga bekas Perdana Menteri diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Apa nasib Umno selepas ‘Bossku’ masuk penjara?

PUTRAJAYA: “Tindak balas” Umno dalam menangani natijah Najib Razak menjalani hukuman penjara 12 tahun mulai hari ini, kini menjadi tumpuan, memandangkan bekas perdana menteri itu dilihat amat berpengaruh dalam parti, walaupun tidak lagi memegang jawatan tertinggi.

Persoalan juga akan dilontar mengenai masa depan politik Najib sendiri. Pada usia 69 tahun, hukuman penjara begitu lama mungkin “pukulan maut” untuk kerjaya politik anak sulung Abdul Razak Hussein yang mula menjadi Ahli Parlimen Pekan pada usia 23 tahun.

Perdana menteri ke-6 kelihatan tabah di mahkamah, menerima keputusan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang sebulat suara menolak rayuan untuk membatalkan sabitan tujuh tuduhan, hukuman penjara 12 tahun, dan denda RM210 juta membabitkan penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Pelbagai usaha pasukan peguam bela Najib untuk mengemukakan keterangan baharu selain membawa dakwaan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat bersikap berat sebelah diketepikan mahkamah tertinggi negara.

Akhirnya, panel lima hakim sebulat suara menolak rayuan Najib dan memerintahkan hukuman penjara dan denda dikenakan ke atas bekas presiden Umno itu dilaksanakan.

Dengan berakhirnya prosiding mahkamah bersabit kes SRC hari ini, perhatian rakyat kini menjurus kepada persoalan sama ada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob akan menyegerakan pilihan raya umum (PRU) atau sebaliknya.

Setakat ini, beliau tidak memberi petanda jelas, namun bayangan dan isyarat beliau membawa erti naib presiden Umno itu tidak akan tergesa-gesa akur kepada desakan pimpinan tertinggi parti untuk menyegerakan PRU15, meskipun diberi “amaran” oleh Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi supaya berbuat demikian.

Namun, dengan keputusan mahkamah hari ini, timbul persoalan apakah Umno masih boleh berasa yakin menawan semula Putrajaya tanpa “Bossku” sebagai “frontliner”, sekalipun tuntutan Zahid dipenuhi dan PRU diadakan tahun ini.

Umno hilang tonggak penting?

Selepas memikul tanggungjawab atas kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) pada PRU lalu, Najib menjadi faktor penting yang memenangkan Umno-BN dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK) dan pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor.

Beliau berjaya mengharungi pelbagai tuduhan parti lawan dan musuh politik, termasuk Dr Mahathir Mohamad untuk menjenamakan diri semula sebagai pemimpin yang menawarkan penyelesaian kepada masalah rakyat.

Meski tidak memegang jawatan tinggi dalam Umno, pengaruh Najib dalam parti diakui oleh semua, baik di dalam mahupun di luar parti.

Kini, dengan tonggak utamanya dalam penjara, apakah pimpinan Umno di luar berupaya mengemudi parti itu kepada kejayaan pada PRU15?

Kejayaan itu tentunya memerlukan semua pemimpin tertinggi bersatu padu namun Umno kini terbahagi dalam beberapa kem dan belum tentu sama ada nasib yang menimpa Najib akan menyatupadukan pimpinan parti atau dijadikan peluru untuk mencari kelebihan politik.

Sudah tentu, pemimpin Umno yang setia bersama Najib selama ini akan berusaha menampilkan apa dilihat mereka sebagai ketidakadilan yang berlaku dalam proses mahkamah, khususnya di Mahkamah Persekutuan terhadap Najib.

Mereka dijangka membawa kes Najib ke “mahkamah rakyat” – sesuatu yang tentunya akan mempengaruhi sentimen pengundi apabila PRU diadakan, tidak kira tahun ini atau tahun depan.

Bagi bekas presiden Umno dan bekas perdana menteri itu sendiri, nasib Umno-BN dalam pilihan raya tentunya sesuatu yang beliau akan mengikuti dengan amat rapat di sebalik “tirai besi”.

Desakan Umno mahukan PRU15 disegerakan amat lantang, dengan parti itu dilaporkan menghantar delegasi tertinggi untuk mengadakan pertemuan dengan Ismail malam tadi bagi menuntut beliau membubarkan Parlimen seberapa segera. Hasil mesyuarat itu belum diketahui.

Apa pun, dalam ketiadaan “Bossku” di barisan depan, timbul persepsi Umno kehilangan taring utama dalam memastikan Umno-BN menawan semula Putrajaya pada PRU.

Persepsi itu disokong hujah ramai pihak yang mengaitkan kemenangan bersiri Umno-BN pada hampir semua PRK dan PRN Melaka dan Johor banyak berkait kepada karisma Najib dan kebolehan beliau mengatur jentera parti.

Kebolehan itu dilihat sebagai faktor penting Umno menewaskan musuh politik utamanya, PAS, Bersatu, Pakatan Harapan (PH) dan Pejuang pada PRN Melaka dan Johor serta yakin untuk mengulanginya pada PRU15.

Namun, apakah Umno mampu mempunyai keyakinan sebegitu dengan Najib kini dalam penjara?

Beberapa pemimpin Umno sudah pun “mengisytiharkan” Najib sebagai mangsa pendakwaan politik yang kemudian menjadi mangsa kepada sistem penghakiman yang menafikan beliau hak untuk membentangkan pembelaan berwibawa.

Najib didakwa semasa era pemerintahan PH yang menawan Putrajaya daripada kerajaan pimpinan beliau pada Mei 2018.

kredit: https://www.freemalaysiatoday.com/

Leave a Reply

Your email address will not be published.