Amalan

Atuk 73 Tahun Sanggup Sembunyi Atas Siling, Ini Penjelasan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Undang2 Syariah

KOTA BHARU: Seorang lelaki warga emas berusia 73 tahun sanggup memanjat siling rumah setinggi lebih satu meter bagi mengelak ditahan anggota Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) yang melakukan Ops Banteras untuk mencegah maksiat sempena Hari Malaysia, malam tadi.

Bagaimanapun, tindakan warga emas itu berjaya dihidu anggota Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah (BPUS) JAHEAIK apabila dia ditahan jam 11.45 malam kerana bersekedudukan dengan seorang wanita berusia 40-an di sebuah rumah di bandar ini.

Ketika disoal siasat, warga emas itu mendakwa ke rumah wanita berkenaan untuk mengutip sewa rumah.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah JAHEAIK, Mohd Fadzuli Mohd Zain, berkata ketika serbuan seorang wanita membuka pintu sebelum anggotanya membuat pemeriksaan dan mendapati seorang lelaki warga emas memanjat siling rumah.

Seorang lelaki warga emas berusia 73 tahun yang memanjat siling rumah antara yang ditahan dalam Ops Banteras untuk mencegah maksiat sempena Hari Malaysia di sekitar bandar Kota Bharu, awal pagi tadi. – Foto ishan JAHEAIK

“Pasangan berkenaan kemudian ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

“Dalam operasi di hotel bajet sekitar bandar ini pula, lima individu berusia 20-an, termasuk dua pasangan yang berada di dalam sebuah bilik ditahan kira-kira jam 5.10 pagi tadi.

“Dua pasangan yang juga penuntut sebuah kolej itu mendakwa mereka menginap di hotel terbabit untuk membuat tugasan berkumpulan yang diberikan oleh pensyarah.

“Terdahulu, anggota penguat kuasa terpaksa menunggu lebih setengah jam sebelum pasangan itu membuka pintu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, semua mereka ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 50 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Bil (1) 2019.

“Operasi akan diteruskan dari semasa ke semasa dan masyarakat dinasihatkan supaya tidak melakukan perbuatan maksiat,” katanya.

kredit: bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published.