Hiburan

Isu Jemputan Ke Konsert Raihan, Ini Kata2 Padu Nazrey Johani

PETALING JAYA – Penasyid juga bekas anggota kumpulan Raihan, Nazrey Johani langsung tidak berasa terkilan sekiranya tidak dijemput untuk membuat persembahan di Konsert Garis Masa Raihan yang dijadualkan berlangsung di Shah Alam pada 26 November depan.

Vokalis bersuara lunak itu bagaimanapun berlapang dada dan tidak akan menolak sekiranya dipelawa oleh kumpulan nasyid popular itu untuk sama-sama memeriahkan persembahan menjelang malam konsert.

“Sejujurnya saya tidak terkilan jika Raihan enggan memanggil saya sebab bagi saya, acara itu pun sukar untuk direalisasikan. Jadi, apabila mereka dapat buat, saya pun turut gembira dan bersyukur.

“Sekiranya dijemput, saya akan pergi. Kalau tidak, buat apa saya mahu bising kerana itu hak mereka untuk hendak panggil saya atau tidak,” kata, Nazrey, 50, pada sidang akhbar Konsert Nasyid Legenda 2022 di Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) di sini semalam.

Baru-baru ini, kumpulan Raihan mengumumkan bakal mementaskan Konsert Garis Masa Raihan bagi meraikan ulang tahun ke-26 pembabitan mereka dalam industri muzik.

Konsert Garis Masa Raihan bakal dianjurkan di Stadium Malawati, Shah Alam pada 26 November depan.

Mengenai permintaan peminat yang mahukan dia turut terbabit dengan konsert berkenaan, Nazrey sedar mengenai hal tersebut namun enggan merosakkan setiap perancangan Raihan.

“Saya sedar tentang peminat mencari Nazrey dan bagi mereka jika saya ada, maka lengkaplah Raihan.

“Situasi tersebut ibarat, sebelah tangan ada lima jari tetapi jika kurang satu memang tidak lengkaplah. Sekiranya dijemput, maka lengkaplah persembahan Raihan.

“Apa pun saya tidak ada masalah sekiranya dijemput atau tidak. Dua-dua saya okey dan alhamdulillah. Perasaan ini bukan rekaan tetapi saya memang tidak mempunyai masalah pun,” komennya.

Kali terakhir Nazrey membuat persembahan bersama kumpulan yang terkenal menerusi lagu Iman Mutiara itu adalah ketika di Kanada pada 2005.

Sementara itu, peminat yang merindui persembahan Nazrey boleh mendapatkan tiket menyaksikan Konsert Nasyid Legenda di Dewan Sivik MBPJ pada 29 Oktober depan.

Konsert tersebut dianjurkan bagi mengenang jasa penyanyi nasyid sejak era 1970-an seperti kumpulan Al-Jawaher dan Al-Mizan.

Selain Nazrey, barisan penyanyi dan kumpulan nasyid popular yang akan menjayakan konsert tersebut ialah Ustaz Akhil Khay, Hijjaz, Rabbani dan In-Team.

“Takkan Timbul Islam Agama Yang Keras” – PU Syed Balas Pandangan Raihan Isu Konsert Artis Antarabangsa

Jika sebelum ini kumpulan nasyid terkenal negara, Raihan memberikan pendapat di mana tidak perlu untuk mengharamkan konsert artis antarabangsa, sebaliknya memperketatkan atau menyediakan garis panduan yang baik ketika mereka membuat persembahan di Malaysia.

Kenyataan itu mendapat perhatian pendakwah bebas, PU Syed yang menyatakan bahawa teguran yang diberikan sebelum ini adalah lebih menjurus kepada tujuan penganjuran konsert diadakan.

Menurut Syed menerusi entri di akaun Instagram miliknya, berkata teguran yang diberi adalah khas untuk konsert yang melalaikan dan terdapat unsur-unsur tidak baik yang membuatkan manusia lupa akan Allah SWT.

Secara asasnya hiburan tak menjadi masalah..Cuma yang menjadi teguran adalah penganjuran konsert yang melalaikan manusia dari ingat kepada Allah dan percampuran unsur-unsur lagha dlm persembahan.”

Tambahnya lagi, tidak akan timbul tanggapan buruk terhadap Islam jika konsert-konsert sedemikian diharamkan jika ianya sesuatu kemungkaran yang perlu diperangi.

Takkan timbul Islam agama yang keras atau lembut bila bertembung dengan sesuatu kemungkaran. Baginda Rasul seorang yang lemah lembut, namun tatkala bertembung dengan kemungkaran..Baginda bersikap tegas..begitulah juga dengan para sahabat.”
Walau bagaimanapun, Syed tidak menghalang penganjur untuk menjalankan konsert sekiranya dapat mematuhi syariah yang ditetapkan.

KOSMO!

Leave a Reply

Your email address will not be published.