Uncategorized

Minta wanita bangkit dari tidur, jangan bangun lambat… Ini Penjelasan Rosyam Nor

PELAKON dan usahawan Datuk Rosyam Nor tidak berhasrat untuk menjatuhkan maratabat kaum wanita selepas dia dituduh mengeluarkan kata-kata yang dianggap kasar ketika mempromsikan Program Keusahawanan Wanita Bangkit@KPWKM anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Selasa.

Rosyam berkata, perkataan yang dituturkannya tidak perlu difahami secara negatif sebaliknya hendaklah dilihat daripada sudut positif iaitu untuk memberi semangat dan kesedaran agar golongan itu bangkit memajukan diri masing-masing.

“Program yang saya jalankan itu memberi semangat dan kesedaran buat kaum wanita untuk bangkit dalam perniagaan. Jadi, tidak timbul isu saya bercakap kasar atau menjatuhkan kaum wanita,” katanya kepada mStar.

Rosyam diminta mengulas selepas video yang dimuat naik di laman TikTok Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun mendapat perhatian orang ramai selepas mereka tidak berpuas hati cara aktor popular itu mempromosikan program dengan merendah-rendahkan kaum wanita.

Selebriti ini minta jangan pandang negatif, sebaliknya terima secara positif.
Dalam rakaman itu Rosyam meminta kaum wanita agar jangan lambat dan bangkit daripada tidur selain menggunakan perkataan hendak ‘belasah’ kepala mereka pada majlis itu.

“Bangun lambat, bangun lambat semuanya lambat. Wanita ni semuanya lambat. Eh bangkitlah, bangun daripada tidur.

“Esok di WTCKL, program saya dan Datuk Seri Rina, korang datang sahaja pada pukul 9 pagi, saya nak belasah kepala korang. Baru kita bangkit,” kata Rosyam seperti dipetik dalam rakaman video itu.

Rosyam menambah, perkataan ‘belasah’ yang dituturkan pula adalah bermaksud mencuci otak iaitu memberi semangat kepada mereka untuk bangkit dalam bidang perniagaan.

“Perkataan belasah kepala yang saya sebut itu bermaksud ‘mencuci’ otak. Program yang saya jalankan itu memberi semangat dan kesedaran buat kaum wanita untuk bangkit dalam perniagaan. Jadi, tidak timbul isu saya bercakap kasar atau menjatuhkan kaum wanita,” ujarnya.

Rosyam juga menjelaskan ada individu yang mengambil kesempatan memutarbelitkan video viral tersebut. Jika apa yang dikatakan beliau itu diambil secara positif, maka isu ini tidak akan timbul.

Rosyam turut menjayakan Program Keusahawanan Wanita Bangkit@KPWKM.
Katanya, bagi orang lain mungkin perkataan ‘belasah’ itu sesuatu yang negatif, tetapi peserta yang menyertai program itu adalah dari golongan B40.

“Golongan ini tidak ada masalah dengan perkataan yang disebut kerana saya percaya mereka faham tentang apa yang dimaksudkan,” jelasnya.

Usahawan ini turut menjelaskan maksud ‘bangun lambat’ yang menerima kecaman netizen, lebih-lebih lagi pada golongan wanita.

Ia hanya perkataan metafora yang digunakan bagi menggesa para usahawan merebut peluang dan bukannya bangun lambat dari tidur.

“Perkataan bangun lambat itu adalah metafora yang saya gunakan untuk golongan usahawan dan bukannya merujuk kepada para wanita yang bangun tidur lambat,” tambahnya lagi.

Bagaimanapun dalam video itu, Rosyam turut bergurau dengan Rina selepas menteri itu berkata, di sebalik kejayaan seseorang lelaki, ada wanita di sisi mereka namun di sebalik kejayaan wanita, belum tentu adanya lelaki.

Bagi menjawab ungkapan itu Rosyam turut bertanya kepada Rina, kalau wanita menangis, siapa yang pujuk, sambil tetamu yang mendengarnya ketawa.

kredit:mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published.